Iklan raya ada nostalgia tersendiri, luahan rasa berdasarkan peredaran zaman
Nostalgia wujud tanpa disedari ekoran daya kreativiti dalam menterjemahkan keadaan sambutan merentas masa ke semasa.

MINAT penulis pada hasil karya kreatif video iklan raya bukanlah pada tahap biasa-biasa. Sejak dahulu, pengamatan pada video iklan raya sememangnya mempunyai daya tarikan tersendiri apabila menjelangnya sambutan hari raya. Nostalgia wujud tanpa disedari ekoran daya kreativiti dalam menterjemahkan keadaan sambutan merentas masa ke semasa.
Segenap aspek kehidupan diperjelaskan dengan gaya yang mampu untuk bertahan lama tanpa ada tarikh luputnya. Mesej yang diangkat berdasarkan saduran kisah berbeza mempunyai fungsinya tersendiri dalam menggamit memori, luahan rasa dan memalarkan kesegaran sambutan hari raya. Suka dan duka berbaur dalam mencipta suasana yang diingini.
Lebih lengkap sekiranya karya kreatif iklan raya dikatakan sebagai diolah dengan suntikan identiti baharu yang dilakar bersama semangat sambutan hari raya mengikut zaman diterbitkan iaitu menjurus kepada kepelbagaian naratif semasa yang melingkari masyarakat.
Naratifnya disusun satu persatu dengan segala keadaan persekitaran sebagai rangkuman yang mewakili tahun terbitannya. Situasi harus disusun dengan baik bersesuaian dengan penampilan baharu berpaksikan kisah penceritaan, cabaran semasa, gimik yang diolah, pemilihan lagu atau melodi dan mesej yang disadur dengan maksud yang mendalam.
Paling utama, kepelbagaian yang ada dalam iklan raya mampu untuk memanjangkan hayat atau fungsi yang relevan pada karya berkenaan agar sesuai merentasi masa demi untuk sebuah nostalgia penghayatan dan pembelajaran kepada masyarakat melalui tarikan yang ada.
Ternyata sifatnya yang berstruktur, ungkapan pemahaman yang mudah, ringkas dan bersahaja namun membawa maksud yang kadangkala berlapis-lapis dalam urat nadi serta budaya masyarakat Malaysia. Tuntasnya, iklan raya mampu menghidupkan latar suasana dengan menyusun mesej melalui pelbagai unsur perlambangan atau semiotik yang memerlukan kebijaksanaan masyarakat untuk menilai dalam tafsiran sendiri.
Sebagai contoh sebuah iklan raya popular yang pernah dihasilkan mengungkapkan perbualan antara watak ayah dan anak yang dipersembahkan dalam dua latar zaman yang berbeza. Mungkin ramai yang masih ingat dengan ungkapan soalan dan jawapan yang terukir berulang kali iaitu “Burung apa? Burung Murai”. Situasi yang santai diperlihatkan namun mampu memberikan pemahaman berbeza.
Dengan gaya nukilan kreatif yang digarap telah berjaya membentuk citra seorang insan melalui cerita sebagai pengajaran kepada masyarakat. Pengajaran yang diperoleh daripada pengalaman tersebut dilihat mampu membawa kesedaran yang tinggi dari sudut kefahaman psikologi dan menurut kias berdasarkan perbandingan yang luahkan.
Betapa perkara atau perbuatan yang sama tetapi terpakai pada pihak lain sebagai penutur mampu untuk menjelmakan kelainan dari sudut penerimaan dan kesan berbeza. Mesej yang cuba disampaikan sangat memberi impak kepada sesiapa sahaja yang menonton agar menilai perbuatan yang pernah dilakukan agar berlaku adil jika keadaan sebaliknya.
Kepada anak-anak yang menjaga ibu atau ayah yang sudah uzur akan memahami konteks yang diperkatakan bahawa ibu bapa kebiasaannya akan kerap bertanya seperti yang dipertontonkan menerusi iklan tersebut. Mesej yang sangat mendalam jika difikirkan dengan kewajarannya.
Begitu juga iklan raya yang bertajuk ‘baru balik dari London’ dengan pengkisahan seorang pemuda yang baru pulang ke tanah air untuk menyambut hari raya di kampung halaman. Perjalanan pulang dengan menaiki teksi diungkap teliti dalam menyantuni mesej yang cuba disampaikan. Dialog yang ringkas berkembang namun hal ini membawa kepada plot yang berbeza iaitu perihal yang menonjolkan tentang kejayaan seorang individu yang mungkin menganggap dirinya lebih dari orang lain.
Hakikatnya jelas melalui dialog dan lantunan suara yang digunakan berupaya mengungkap niat penuturnya. Cuma, kadangkala kita tidak sedar di mana kita berada dan berapa lama kita berada dalam ruang waktu yang asing dalam diri hinggakan akhirnya sisi sebenar terserlah jua.
Tanpa sebarang sebab yang jelas, kita sendiri telah memisahkan identiti diri sebenar dengan niat tertentu. Namun dengan hanya satu ucapan ringkas yang sebati dalam diri telah terluah tanpa direncana dan membuktikan bahawa sejauh mana pun kita cuba lari, akhirnya akan tetap pulang jua kerana kerinduan pada asal usul kita.
Begitulah hebatnya bagaimana iklan raya mampu menjadi penghubung yang mampu menyampaikan pemikiran melalui karyanya.
Itu antara contoh iklan raya yang pernah dihasilkan suatu ketika dahulu yang masih meninggalkan nostalgia pada penonton yang membesar pada zaman tersebut. Banyak lagi iklan raya yang popular dan sarat dengan ulasan kehidupan yang berjaya menambat hati penonton.
Kini, pembikinannya telah memacu ke arah satu tahap yang sangat menyakinkan dari sudut persembahan kreatif apabila hal ini diadun dengan durasi yang sedikit panjang dari sebelumnya.
Di sisi lain, pihak penerbit mempunyai lebihan masa untuk meneruskan penceritaan agar lebih mendalami watak dan berkesan dari sudut plot penceritaan, galur emosi dan kepelbagaian mesej pengajaran yang mampu untuk digayakan. Diolah dalam bentuk gagasan baharu bersesuaian dengan zaman diterbitkan, adalah suatu pembaharuan dan perkembangan yang positif dalam mengetengahkan idea-idea bernas berlandaskan cara hidup serta gaya berfikir pada zaman ini.
Hal ini akan menjadi penentu fakta dalam merangkumkan semangat hari raya berteraskan perkara atau situasi yang dapat dilihat oleh masyarakat melalui kaca mata seni. Daya menjelajah pemikiran dalam mempersembahkan idea baharu melalui pengamatan kehidupan masyarakat adalah seharusnya kita raikan sewajarnya.
Dari aspek kualiti pula kepesatan teknologi penyiaran amat menyokong perkembangan pembikinannya. Tidak hanya bergantung pada stesen televisyen tempatan malah ia disebarluaskan melalui pelbagai platform digital dan media baharu yang semakin mendapat perhatian masyarakat. Ternyata kepelbagaian persembahan teruji dengan kreativiti audio visual yang mampu membawa penonton meneroka ke suatu dimensi yang berbeza.
Kesimpulannya, boleh dikatakan bahawa pembikinan iklan raya adalah proses berfikir terhadap suatu perkara dan keinginan untuk dikongsikan melalui sentuhan kritis bagi menjelmakan ekspresi penonton yang perlu dinikmati.
Penonton pula perlu mengimbangi tanggapan yang berbeza dengan ketelitian dalam menilai jalur fikiran dan ilham penerbit secara terbuka. Sama ada untuk menemukan titik persamaan atau membahaskannya berdasarkan aturan ekspresi yang berbeza.
Akhirnya, semua pengalaman dan penghayatan terhadap iklan raya akan terjawab dengan cita rasa masing-masing dalam menilai naratif penceritaan, pertambahan kebijakan kepada penonton dan penawaran rujukan berbentuk hiburan bermakna untuk tatapan generasi akan datang.

