Ibadah tanpa sempadan: Manfaat teknologi pada bulan Ramadan

Aplikasi seperti Quran Pro, Muslim Pro dan MyQuran membolehkan umat Islam mengakses al-Quran dengan mudah di mana-mana sahaja.

Feature Image (4)

PADA era digital ini, teknologi bukan sekadar alat komunikasi dan hiburan tetapi juga menjadi medium yang mempermudah umat Islam dalam menjalani ibadah, terutamanya di bulan Ramadan. Dengan pelbagai aplikasi dan platform dalam talian, amalan seperti membaca al-Quran, mendengar ceramah agama dan bersedekah kini boleh dilakukan dengan hanya beberapa sentuhan di skrin telefon.​

Aplikasi al-Quran & Tafsir Digital

Dahulu, kita bergantung pada mushaf fizikal untuk membaca al-Quran, tetapi kini, aplikasi seperti Quran Pro, Muslim Pro dan MyQuran membolehkan umat Islam mengakses al-Quran dengan mudah di mana-mana sahaja. Aplikasi ini bukan sahaja menyediakan teks al-Quran dalam pelbagai resam tetapi juga tafsir, bacaan audio oleh qari terkenal, serta ciri penanda halaman untuk memudahkan pengguna menyambung bacaan.​

Aplikasi Waktu Solat & Azan

Kesibukan harian kadangkala menyebabkan seseorang terlepas pandang waktu solat. Namun, dengan adanya aplikasi seperti Waktu Solat Malaysia, pengguna boleh menerima notifikasi azan tepat pada waktunya, memastikan ibadah solat dilakukan tanpa lengah.

Dilaporkan, aplikasi ini telah dimuat turun lebih daripada 6.6 juta kali dan mempunyai 1.3 juta pengguna aktif setiap bulan. Selain itu, ia turut menyediakan arah kiblat serta doa harian bagi memudahkan pengguna menghidupkan Ramadan dengan amalan sunat. ​

Platform Streaming Ceramah

Ramadan adalah bulan yang penuh dengan majlis ilmu dan kini sesi ceramah boleh diikuti secara langsung melalui YouTube, Facebook Live dan Spotify. Pelbagai tokoh agama terkenal berkongsi ilmu dan tazkirah harian, membolehkan umat Islam mendekatkan diri dengan agama tanpa perlu hadir secara fizikal ke masjid atau surau. Dengan adanya siaran ulangan, sesiapa sahaja boleh mengakses ilmu mengikut masa yang sesuai.​

Aplikasi Zakat & Sedekah Digital

Bersedekah pada bulan Ramadan kini menjadi lebih mudah dengan pelbagai platform digital seperti Tulus, e-Wallet (Touch ‘n Go, Boost, MAE) dan aplikasi bank digital. Aplikasi Tulus, yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu, menyediakan perkhidmatan atas talian bagi pelbagai urusan amal jariah merangkumi zakat, wakaf, infaq, dan sedekah.

Teknologi, apabila digunakan dengan bijak, boleh menjadi alat yang sangat berkesan dalam meningkatkan kualiti ibadah di bulan Ramadan. Dengan kemudahan di hujung jari, umat Islam kini boleh menghayati Ramadan dengan lebih efisien, menjadikannya lebih bermakna dan produktif.