Diana Danielle, Francis Roman bawa semangat perpaduan
Tampil dengan pendekatan berbeza menerusi kolaborasi bersama rapper yang sedang meningkat naik dalam single raya terbaharu berjudul Raya Macam Mana?.
KUALA LUMPUR, 13 Mac 2026 – Menjelang sambutan Aidilfitri yang semakin hampir, pelakon dan penyanyi terkenal, Diana Danielle tampil dengan pendekatan berbeza menerusi kolaborasi bersama rapper yang sedang meningkat naik, Francis Roman dalam single raya terbaharu berjudul Raya Macam Mana?.
Lagu tersebut mengetengahkan rentak ceria dan moden yang memberikan kelainan berbanding kebanyakan lagu raya tempatan yang sering sarat dengan elemen nostalgia. Menariknya, lagu ini disampaikan dalam bentuk dialog muzik yang unik apabila Francis mengemukakan persoalan tentang sambutan Hari Raya, manakala Diana menjawab sambil menjelaskan tradisi perayaan itu.
Keunikan lagu ini turut terserlah apabila Diana menyelitkan lirik dalam bahasa Mandarin. Pendekatan tersebut bukan sahaja mencerminkan proses pembelajarannya terhadap bahasa itu, malah melambangkan kepelbagaian budaya dalam masyarakat Malaysia. Secara tidak langsung, elemen tersebut menonjolkan semangat perpaduan apabila rakyat daripada pelbagai latar belakang turut sama meraikan budaya antara satu sama lain.

Selain itu, segmen rap bertenaga yang dibawakan oleh Francis menambahkan lagi sentuhan kontemporari dalam lagu ini. Mesej yang disampaikan juga jelas bahawa kemeriahan Hari Raya boleh difahami dan dirasai oleh semua, tanpa mengira latar belakang budaya atau bahasa.
Bagi melengkapkan pelancarannya, single ini turut disertakan dengan video muzik rasmi yang memaparkan suasana meriah sambutan Aidilfitri. Video tersebut menampilkan Diana dan Francis bersama rakan-rakan mereka yang mula menghayati kemeriahan raya, daripada mengenakan pakaian tradisional, berdepan kesesakan trafik ketika pulang ke kampung halaman, sehinggalah menikmati hidangan klasik seperti nasi impit, rendang dan Snek Ku.
Turut dipaparkan ialah detik-detik pertemuan semula ahli keluarga serta suasana rumah terbuka yang penuh kemeriahan. Visual tersebut diserikan lagi dengan gerak tari santai yang dikoreograf bersama oleh Francis serta dekorasi raya yang berwarna-warni.

Secara keseluruhannya, Raya Macam Mana? bukan sekadar lagu perayaan, malah menjadi gambaran keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan bahasa—semangat yang terus menjadi identiti negara setiap kali Syawal menjelang.
Tonton video muzik rasmi di https://www.youtube.com/watch?v=TOt0h9twR54
