Advantech meterai tiga MoU strategik di ASEAN Connect Conference 2026

Persidangan ini turut menjadi platform untuk pertukaran pandangan, pameran penyelesaian serta penerokaan peluang dalam bidang Edge AI, Industrial IoT dan inovasi industri.

Feature Image

PULAU PINANG, 6 April 2026 — Advantech Co., Ltd., peneraju global dalam bidang kecerdasan industri dan penyelesaian Edge, telah memeterai tiga Memorandum Persefahaman (MoU) pada hari pembukaan Advantech ASEAN Connect Conference 2026 (APC 2026).

MoU berkenaan dimeterai bersama Open RE Sdn. Bhd., dari Malaysia, Get On Technology Co., Ltd., dari Thailand, Qonnect (BIIC Co., Ltd.) dari Thailand serta Pacific Automation Pty Ltd., dari Australia.

Melalui kerjasama ini, pelbagai usaha akan diperkenalkan termasuk dalam bidang rangkaian industri, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), router selular industri dan aplikasi berkaitan CNC serta penyelenggaraan ramalan (predictive maintenance) di beberapa pasaran serantau terpilih.

Secara keseluruhannya, ketiga-tiga MoU ini menandakan peralihan jelas daripada pembangunan teknologi kepada pelaksanaan sebenar, dengan tumpuan kepada penyelesaian yang standard, boleh diskala dan mempunyai aplikasi komersial segera. Ia juga memperkukuh usaha Advantech dalam mempercepatkan tempoh pelaksanaan serta menterjemahkan keupayaan AI kepada hasil operasi yang nyata.

APC 2026 berlangsung dari 2 hingga 3 April 2026 di Penang Waterfront Convention.

Persidangan ini turut menjadi platform untuk pertukaran pandangan, pameran penyelesaian serta penerokaan peluang dalam bidang Edge AI, Industrial IoT dan inovasi industri.

Naib Presiden Sektor Automasi IoT, Advantech Co., Ltd., Chingpo Lin berkata, “Transformasi industri hari ini semakin ditentukan oleh keupayaan untuk menterjemahkan teknologi kepada penyelesaian yang praktikal, boleh diulang dan sedia untuk dilaksanakan.

“MoU ini mencerminkan hala tuju strategik kami untuk bekerjasama lebih rapat dengan rakan industri dalam membangunkan penyelesaian standard yang lebih bersedia untuk pasaran, sekali gus membantu industri memanfaatkan AI dan kecerdasan industri bagi menghasilkan nilai operasi yang nyata.”

Pengarah Urusan Asia dan Rantau Intercontinental (AInterCon), Advantech Co., Ltd., Vincent Chang berkata, “ASEAN kini memasuki fasa kematangan dalam transformasi industri, di mana perniagaan memerlukan penyelesaian yang bukan sahaja terbukti dari segi teknikal tetapi juga relevan secara komersial dan mampu diskala.

“MoU ini menunjukkan bagaimana Advantech bekerjasama dengan rakan serantau untuk mempercepat pelaksanaan go-to-market dan menyampaikan penyelesaian yang memberi impak perniagaan sebenar serta boleh diperluaskan ke pasaran global.”

MoU pertama bersama Open RE Sdn., Bhd., akan menyokong pembangunan dan peluasan pasaran bagi penyelesaian BESS di Malaysia. Kerjasama ini menggabungkan platform perkakasan Edge AI dan IoT Advantech dengan perisian pengoptimuman tenaga Open RE bagi menyokong pemantauan, prestasi serta pengurusan kitar hayat sistem bateri.

Kedua-dua pihak juga merancang untuk meneroka projek perintis, tender dan program tenaga strategik. Penyelesaian ini dijangka membantu pengguna industri mengoptimumkan kos tenaga sambil menyokong agenda tenaga boleh diperbaharui dan kelestarian negara.

MoU kedua bersama Get On Technology Co., Ltd. memberi tumpuan kepada pembangunan pasaran bersama di Thailand. Kerjasama ini merangkumi penyelesaian router selular industri Advantech untuk segmen pasaran yang dipersetujui, selain mempromosikan penyelesaian berkaitan CNC kepada integrator sistem dalam sektor operasi industri.

Ia turut melibatkan aktiviti jualan bersama, lawatan pelanggan, seminar, bengkel serta demonstrasi proof-of-concept. Melalui usaha ini, kedua-dua pihak menyasarkan untuk mempercepat pelaksanaan penyelesaian serta memperkukuh amalan pendigitalan industri yang lebih konsisten dan berskala.

MoU ketiga bersama Qonnect (BIIC Co., Ltd.) dan Pacific Automation Pty Ltd. akan menyokong pembangunan dan peluasan penyelesaian penyelenggaraan ramalan di Australia dan seluruh ASEAN.

Kerjasama ini menggabungkan platform perkakasan Advantech, kepakaran perisian dan diagnostik Qonnect, serta keupayaan pembangunan perniagaan, kejuruteraan dan sokongan tempatan Pacific Automation. Ia bertujuan membantu pelanggan industri meningkatkan pemantauan peralatan dan perancangan penyelenggaraan, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan gangguan tidak dirancang.

Selain majlis pemeteraian MoU, APC 2026 turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk ucaptama eksekutif, sesi padanan perniagaan serta pameran WISE Co-Creation Solution Showcase yang memaparkan inovasi dalam pembuatan pintar dan peralihan tenaga.

Berbeza daripada format persidangan konvensional, acara ini turut menawarkan lawatan ke kilang pelanggan seperti DUFU Technology dan Multitrade Asiapac, memberikan pengalaman secara langsung mengenai pelaksanaan Edge AI di dunia sebenar.