Toleransi, bukan normalisasi pluralisme agama

MALAYSIA merupakan sebuah negara berbilang kaum, bangsa dan agama.

Bertahun-tahun lamanya rakyat Malaysia hidup dalam keadaan sinergi yang harmoni antara setiap kaum, bangsa dan agama.

Memasyarakatkan sikap saling hormat menghormati setiap adat dan tradisi rakyat Malaysia yang ada adalah kunci kepada keharmonian antara kaum di Malaysia.

Namun, di dalam usaha menegakkan sikap terpuji ini, sebagai seorang Islam yang berpegang dengan rukun dan prinsip keIslaman yang dianuti, perlunya ada batas yang jelas yang tidak boleh dilanggar.

Perlu diletakkan sebuah garisan halus antara toleransi dan pluralisme.

Benar sekali, garisan itu perlu dilukis dan diwujudkan, tidak sesekali ia boleh diputuskan!

Toleransi bukan bermaksud menerima bulat-bulat, bahkan ia sebuah perasaan yang timbul daripada sikap saling hormat menghormati dan dasar menegakkan keterbukaan dalam kalangan masyarakat atau entiti sosial.

Ia juga membawa konotasi mempelajari sesuatu daripada perbezaan individu atau di dalam konteks ini, perbezaan dengan agama yang lain serta mempelajari gaya hidup dan tradisi mereka.

Di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, toleransi adalah sebuah sikap atau sifat toleran yang ada di antara berbagai keturunan di Malaysia yang dengannya mampu mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan maju.

Namun, toleransi perlu ada hadnya kerana jika terlebih, ia akan melahirkan pelbagai permasalahan di dalam masyarakat, antaranya fahaman pluralisme agama.

Pluralisme agama boleh difahami sebagai sebuah usaha menyamaratakan setiap agama yang ada, dengan mengakui kesamarataan dan kesaksamaan semua agama.

Dalam erti kata lain, ia sebuah gerakan yang menerima bahawa semua agama adalah benar dan mempunyai persamaan serta mengakui bahawa semua agama akan membawa penganutnya ke daerah keselamatan (iaitu syurga).

Perlu difahami bahawa meskipun Islam sebuah agama yang mengangkat nilai rahmat kepada seluruh alam (rahmatun lil-‘alamin) iaitu dengan membawa dasar keterbukaan dan keselamatan; sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Anbiya’ ayat 107: “Dan tidaklah kami mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam”, tetapi sifat rahmat itu ada tafsiran dan takwilannya yang tersendiri.”

Menurut tafsir Ibnu Kathir, Allah SWT menyatakan bahawa Dia menjadikan Nabi Muhammad sebagai rahmat bagi semua umat (dari zaman baginda sehingga hari Kiamat).

Orang yang menerima rahmat ini dengan beriman dan membenarkannya akan mendapat rahmat Allah manakala orang yang melakukan sebaliknya akan kehilangan rahmat tersebut, baik di dunia mahu pun di akhirat.

Islam juga sebuah agama yang bersifat holistik dan universal yang mana padanya telah diletakkan sebuah batu asas yang jelas dalam permasalahan beragama.

Surah al-Kaafirun diturunkan kerana kaum kafir Quraisy di Mekah mendakwa agama yang dibawa oleh Nabi SAW adalah sama sahaja dengan agama mereka yang menyembah berhala-berhala.

Maka Allah SWT menyebutkan di dalam Surah al-Kaafirun sebuah jawapan tuntas yang telah diberikan kepada Nabi Muhammad SAW terhadap tawaran kaum Quraisy kepada baginda ketika itu.

Apabila baginda ditawarkan harta yang lumayan, pilihan mana-mana wanita yang diingini untuk dikahwini, dan kekuasaan politik dan kepemimpinan, dengan gadaian sama ada dihentikan dakwah Islam atau dibuat penggiliran beragama, maka Allah SWT memberikan sebuah jawapan yang jelas lagi tegas: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! (1) Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.(2) Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. (3) Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. (4) Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. (5) Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku. (6)”

Melalui 6 ayat Surah al-Kaafirun, dapat difahami bahawa Allah SWT tidak menghalang toleransi di dalam beragama tetapi Allah SWT sesekali tidak membenarkan adanya usaha menyamaratakan antara agama.

Ini kerana agama Islam itu agama yang benar, padanya keselamatan dan kemakmuran dan ia membawa rahmat yang besar kepada penganutnya, manakala agama-agama lain yang dianuti oleh manusia adalah agama yang salah, yang akan membawa setiap penganutnya ke jalan kesesatan dan kehancuran.

Jika kamu masih berpegang dengan agama kamu, maka tunggu dan rasailah kedahsyatan azab Allah kelak.

Itulah kebenaran dalam agama Islam, bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.

Al-Quran telah menjawab dan mengajarkan kita dengan jelas kedudukan agama dan implikasi kepada mereka yang mencari kebenaran dari agama lain selain dari agama Islam.

Allah SWT telah menyebutkan di dalam Surah Ali ‘Imran ayat 85: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi.”

Di dalam Surah al-Maidah ayat 3 pula, Allah SWT menjelaskan bahawa satu-satunya agama yang benar di sisi Allah ialah Islam yang sekaligus menidakkan adanya kebenaran pada agama-agama lain, meskipun ada beberapa persamaan Islam dengan mereka dari segi ontologi, soteriologi dan epistemologi.

Allah SWT berfirman: “…pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…”

Konklusinya, setiap entiti masyarakat perlu jelas bahawa toleransi bukan jalan menghidupkan pluralisme agama bahkan ia sebuah dasar keharmonian antara masyarakat tanpa melibatkan penerimaan dan kesamarataan dari sudut agama.

Menormalisasikan pemahaman sebegini dalam masyarakat sama ada melalui gerakan-gerakan pro-kerajaan, NGO, autoriti agama negeri atau sebagainya adalah sebuah langkah yang merbahaya, bertentangan dengan ajaran agama serta perlu dihentikan dengan segera, demi kemurnian dan kesucian agama Islam.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Malaya Newsroom.