Jerebu dan keselamatan jalan raya
Jerebu meningkatkan risiko kemalangan jalan raya akibat jarak penglihatan terhad. Pemandu perlu memperlahankan kenderaan dan mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.
Oleh: PROF. MADYA IR. DR. NUR IZZI MD YUSOFF dan PROF. MADYA DR. FAUZAN MOHD JAKARNI
JEREBU yang kembali melanda negara kita ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan awam, malah turut membawa ancaman yang tidak kurang serius kepada keselamatan pengguna jalan raya.
Keadaan udara yang dipenuhi partikel halus dan asap menyebabkan jarak penglihatan semakin terhad, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan, khususnya pada awal pagi dan lewat petang. Namun, persoalan yang perlu kita fikirkan ialah sejauh manakah pengguna jalan raya di Malaysia bersedia mengubah gaya pemanduan mereka apabila berhadapan dengan keadaan sedemikian?
Berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS), beberapa kawasan di Semenanjung telah merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat. Keadaan ini menunjukkan bahawa jerebu bukan lagi sekadar isu pencemaran udara, tetapi turut memerlukan perhatian serius daripada aspek pengurusan keselamatan jalan raya.
Tragedi di Johor
Dalam kita membincangkan risiko pemanduan ketika jerebu, negara dikejutkan dengan tragedi yang meragut nyawa tiga beradik di Pontian, Johor, pada 8 Oktober lalu. Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 7.20 pagi di Jalan Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong, melibatkan sebuah motosikal yang dinaiki tiga beradik dan sebuah lori dari arah bertentangan.
Mangsa terdiri daripada seorang abang berusia 18 tahun serta dua adiknya yang masing-masing berusia 11 dan lapan tahun. Ketiga-tiganya meninggal dunia akibat kemalangan tersebut. Lebih menyayat hati, mereka dilaporkan dalam perjalanan pulang setelah mengetahui sekolah ditutup berikutan keadaan jerebu.
Menurut laporan media, jarak penglihatan yang terhad akibat keadaan berjerebu dan berkabus dipercayai mungkin menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan tersebut. Walau bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa. Justeru, adalah tidak wajar untuk kita membuat kesimpulan bahawa jerebu merupakan punca utama kemalangan berkenaan tanpa bukti yang muktamad.
Namun begitu, tragedi ini seharusnya membuka mata masyarakat bahawa perubahan keadaan persekitaran boleh meningkatkan risiko kemalangan dalam sekelip mata. Jalan yang biasa dilalui setiap hari tidak semestinya mempunyai tahap keselamatan yang sama apabila keadaan cuaca berubah.
Jarak Penglihatan dan Jarak Berhenti Kenderaan
Daripada perspektif kejuruteraan keselamatan jalan raya, antara faktor terpenting yang mempengaruhi keselamatan pemanduan ialah jarak penglihatan. Secara ringkasnya, jarak penglihatan merujuk kepada sejauh mana seseorang pemandu dapat melihat keadaan jalan, kenderaan atau sebarang halangan di hadapannya.
Dalam keadaan biasa, pemandu mempunyai ruang dan masa yang mencukupi untuk mengenal pasti sesuatu bahaya, membuat keputusan dan mengambil tindakan. Namun, apabila jerebu semakin tebal, jarak penglihatan menjadi lebih pendek sedangkan kenderaan masih bergerak pada kelajuan yang sama.
Sebagai contoh, sebuah kenderaan yang bergerak pada kelajuan 90 kilometer sejam menempuh jarak 25 meter dalam masa satu saat. Sekiranya pemandu mengambil masa dua saat untuk mengenal pasti bahaya dan bertindak menekan brek, kenderaan tersebut telah bergerak sejauh 50 meter sebelum membrek.
Dengan mengambil kira jarak membrek, kenderaan memerlukan kira-kira 95 meter untuk berhenti sepenuhnya. Sebaliknya, pada kelajuan 60 kilometer sejam, jarak berhenti berkurangan kepada sekitar 50 meter, berdasarkan keadaan jalan yang rata dan kering.
Dalam keadaan jerebu tebal, jarak penglihatan mungkin lebih pendek daripada jarak berhenti yang diperlukan. Bayangkan sekiranya pemandu hanya mampu melihat sejauh 50 meter, sedangkan kenderaan memerlukan 95 meter untuk berhenti.
Keadaan ini meningkatkan risiko pelanggaran, walaupun brek ditekan sebaik sahaja bahaya dikesan. Justeru, pemandu perlu menyesuaikan kelajuan mengikut jarak penglihatan sebenar. Jika kita tidak mampu melihat cukup jauh untuk berhenti dengan selamat, bermakna kita sedang memandu terlalu laju.
Walau bagaimanapun, jarak berhenti sebenar bergantung kepada beberapa faktor lain, termasuk keadaan permukaan jalan, prestasi sistem brek, keadaan tayar dan tahap kepekaan pemandu. Perbandingan ini jelas menunjukkan bahawa pengurangan kelajuan, walaupun hanya sebanyak 30 km/jam, mampu memberikan perbezaan yang ketara terhadap jarak berhenti kenderaan.
Dalam keadaan berjerebu, apabila jarak penglihatan semakin terhad, pengurangan kelajuan bukan lagi sekadar langkah berjaga-jaga, sebaliknya merupakan satu keperluan penting bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
Ini menunjukkan bahawa kelajuan memainkan peranan yang sangat besar terhadap keupayaan seseorang pemandu mengelakkan kemalangan. Apabila jarak penglihatan menjadi lebih pendek daripada jarak yang diperlukan untuk memberhentikan kenderaan, risiko pelanggaran meningkat dengan ketara.
Oleh itu, prinsip paling asas ketika memandu dalam keadaan berjerebu ialah memastikan kelajuan kenderaan sentiasa bersesuaian dengan jarak penglihatan yang tersedia. Had laju yang dipaparkan pada papan tanda bukan bermakna kelajuan tersebut sentiasa selamat dalam semua keadaan cuaca.
Ubah Gaya Pemanduan
Antara kelemahan yang sering diperhatikan dalam kalangan pengguna jalan raya ialah kecenderungan mengekalkan gaya pemanduan biasa walaupun keadaan persekitaran telah berubah. Pemandu masih bergerak laju, mengekori kenderaan terlalu rapat dan melakukan tindakan memotong tanpa memastikan jarak penglihatan yang mencukupi.
Ketika jerebu, pemandu perlu mengamalkan pendekatan pemanduan defensif, iaitu sentiasa menjangkakan kemungkinan berlakunya bahaya dan mengambil tindakan lebih awal untuk mengelakkannya. Pertama, kelajuan kenderaan hendaklah dikurangkan secara beransur-ansur mengikut tahap penglihatan.
Pengurangan kelajuan bukan sahaja memberikan lebih banyak masa untuk bertindak, malah mengurangkan jarak membrek yang diperlukan. Kelajuan yang sesuai perlu ditentukan berdasarkan keadaan sebenar, bukannya semata-mata mengikut had laju maksimum.
Jarak antara kenderaan perlu ditingkatkan. Dalam keadaan biasa, kaedah jarak dua saat sering digunakan sebagai panduan minimum. Namun, apabila jarak penglihatan berkurangan, jarak ini wajar ditambah kepada sekurang-kurangnya empat hingga enam saat, atau lebih lama sekiranya keadaan memerlukan.
Tambahan, penggunaan lampu kenderaan perlu diberikan perhatian. Lampu hadapan rendah lebih sesuai digunakan ketika jerebu kerana membantu kenderaan dilihat oleh pengguna jalan raya lain. Penggunaan lampu tinggi pula boleh menghasilkan pantulan cahaya daripada partikel di udara sehingga mengganggu penglihatan. Lampu kecemasan juga tidak sepatutnya digunakan ketika kenderaan sedang bergerak seperti biasa kerana boleh mengelirukan pemandu lain.
Akhirnya pemandu perlu mengelakkan perbuatan memotong, khususnya di jalan dua hala yang tidak mempunyai pembahagi fizikal. Dalam keadaan penglihatan terhad, keupayaan untuk menganggarkan jarak dan kelajuan kenderaan dari arah bertentangan menjadi semakin sukar.
Sekiranya keadaan jerebu terlalu tebal sehingga pemanduan tidak lagi selamat, pilihan terbaik ialah menangguhkan perjalanan atau berhenti di lokasi yang benar-benar selamat, jauh daripada laluan trafik.
Penunggang Motosikal Lebih Terdedah Kepada Risiko
Perhatian khusus juga perlu diberikan kepada penunggang motosikal. Berbanding pengguna kereta, penunggang motosikal mempunyai perlindungan fizikal yang jauh lebih rendah sekiranya berlaku pelanggaran.
Dalam keadaan berjerebu, motosikal juga mungkin lebih sukar dikesan oleh pemandu kenderaan lain, terutamanya di jalan yang mempunyai pencahayaan terhad. Oleh itu, penunggang perlu memastikan lampu berfungsi dengan baik, menggunakan pakaian yang mudah dilihat dan mengelakkan pergerakan yang sukar dijangka oleh pengguna jalan raya lain.
Aspek pematuhan undang-undang, termasuk penggunaan topi keledar yang sempurna, larangan membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan dan pematuhan syarat lesen, juga tidak boleh diketepikan. Keselamatan jalan raya perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan hanya bergantung kepada keadaan cuaca.
Peranan Pihak Berkuasa dan Pengurusan Jalan Raya
Walaupun tanggungjawab utama keselamatan pemanduan terletak pada pengguna jalan raya, pihak berkuasa juga memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko kemalangan ketika jerebu.
Antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah meningkatkan pencahayaan di lokasi berisiko, memastikan garisan jalan dan papan tanda mudah dilihat, serta menggunakan papan tanda elektronik untuk memberikan amaran tentang keadaan penglihatan dan keperluan mengurangkan kelajuan.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dilaporkan akan melanjutkan tempoh operasi lampu jalan miliknya sehingga dua jam ketika jerebu bagi membantu pengguna jalan raya. Langkah positif ini amatlah dialu-alukan, khususnya di kawasan yang mengalami jarak penglihatan terhad pada awal pagi.
Walau bagaimanapun, pencahayaan jalan sahaja tidak mencukupi. Penilaian keselamatan perlu turut memberikan perhatian kepada jalan luar bandar, persimpangan tanpa lampu isyarat, kawasan sekolah dan laluan yang mempunyai pergerakan motosikal yang tinggi.

Penggunaan maklumat IPU juga wajar dilengkapkan dengan pemantauan jarak penglihatan setempat kerana kedua-duanya mengukur perkara yang berbeza. Bacaan IPU menggambarkan tahap pencemaran udara, manakala jarak penglihatan menentukan sejauh mana pemandu dapat melihat bahaya di hadapannya.
Keselamatan Bermula Dengan Perubahan Sikap
Tragedi yang menimpa tiga beradik di Johor merupakan kehilangan yang amat menyedihkan dan seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak tentang kepentingan keselamatan jalan raya. Dalam kita menunggu hasil siasatan sebenar, terdapat pengajaran penting yang boleh diambil, iaitu setiap perubahan keadaan persekitaran memerlukan penyesuaian terhadap cara kita menggunakan jalan raya.
Kita tidak boleh mengawal sepenuhnya keadaan jerebu, tetapi kita mampu mengawal kelajuan, jarak antara kenderaan, tahap kewaspadaan dan keputusan sama ada sesuatu perjalanan perlu diteruskan.
Budaya pemanduan selamat tidak seharusnya hanya diamalkan ketika berlakunya kemalangan besar atau apabila keadaan cuaca menjadi buruk. Sebaliknya, ia perlu menjadi sebahagian daripada sikap dan tanggungjawab setiap pengguna jalan raya.
Akhirnya, persoalan yang perlu kita tanyakan bukanlah berapa cepat kita boleh sampai ke destinasi, tetapi sama ada kita mampu tiba dengan selamat. Ketika jerebu melanda, memperlahankan kenderaan bukan tanda kelemahan atau kelewatan, sebaliknya satu keputusan bijak yang mungkin menyelamatkan nyawa.
Dalam keadaan penglihatan yang terbatas, jangan biarkan kelajuan mengatasi kemampuan kita untuk melihat, bertindak dan berhenti. Kerana di jalan raya, beberapa saat yang kita jimatkan tidak pernah lebih berharga daripada nyawa yang mungkin terkorban.
* Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

