BAPA atau suami memainkan peranan yang amat penting dalam sesebuah keluarga.
Bapa sebagai ketua keluarga menggalas pelbagai bentuk tanggungjawab moral, ekonomi, emosi, pendidikan dan lain-lain sebagai asas dan pemandu arah utama dalam keluarga.
Kestabilan dan kesejahteraan keluarga bergantung kuat kepada peranan yang dimainkan oleh si bapa.
Bapa atau suami bertindak sebagai pelindung kepada seluruh ahli keluarga dalam mengharungi pelbagai bentuk dugaan dan cabaran dalam kehidupan.
Paling penting, bapa memberi pengaruh besar kepada pembentukan identiti dan personaliti anak-anak.
Karakter, tingkah laku mahupun apa jua yang ditonjolkan oleh bapa memberi kesan terhadap perkembangan karakter, nilai dan kepercayaan anak-anak.
Banyak kajian di dalam dan luar negara menunjukkan bahawa wujudnya perkaitan yang kukuh di antara kehadiran figura bapa dengan perkembangan anak-anak.
Bapa yang memainkan peranan dengan baik, jelas tanggungjawab sebagai ketua keluarga, mempunyai ciri-ciri pemimpin sebagai seorang ketua keluarga, dapat membantu perkembangan dalam pelbagai aspek bagi anak-anak mereka.
Sebaliknya, anak-anak yang tidak mempunyai figura bapa dalam keluarga berhadapan dengan lebih banyak kesukaran untuk mendapatkan contoh yang boleh diikuti akibatnya mengganggu perkembangan mereka.
Sesetengah kajian lepas juga melaporkan bahawa kehadiran figura bapa di mana bapa memainkan peranan aktif dalam keluarga, dapat membantu mengurangkan penglibatan anak-anak dalam kegiatan sosial yang tidak berfaedah seperti jenayah, penyalahgunaan dadah, keciciran akademik dan lain-lain.
Bahkan, anak-anak yang dibesarkan dengan mempunyai figura seorang bapa yang bertanggungjawab sebagai pemimpin keluarga, lebih seimbang dari segi emosi dan mempunyai kemahiran sosial yang lebih baik.
Kehadiran figura seorang bapa sebagai pemimpin dalam keluarga amat penting.
Bapa haruslah memainkan peranan aktif untuk terlibat dalam urusan penjagaan dan didikan anak-anak.
Bapa perlu mengambil tanggungjawab mengajarkan nilai ketegasan, disiplin dan dalam masa yang sama mempunyai sikap keterbukaan terhadap anak-anak.
Anak-anak yang berinteraksi rapat dengan bapa cenderung lebih bijak mengurus hubungan sosial.
Seorang bapa juga harus memodelkan dirinya sebagai seorang yang bertanggungjawab dalam mengatasi cabaran hidup, bekerja keras dan menjaga keluarganya.
Selain itu, bapa juga perlu memainkan peranan dalam membentuk identiti jantina yang positif, bukan hanya sebagai penjaga tetapi juga sebagai rakan komunikasi yang membantu anak memahami dunia mereka.
Tidak dinafikan bahawa dengan kesibukan seorang bapa sebagai pencari nafkah utama dalam keluarga mungkin mengehadkan masa bersama anak-anak dan keluarga.
Lantas lebih selesa menyerahkan urusan didikan dan penjagaan anak-anak kepada si isteri sepenuhnya.
Dalam erti kata lain, wujud kesukaran untuk menyeimbangkan antara tuntutan tanggungjawab keluarga dan kerjaya.
Namun tidak dinafikan wujud juga bapa yang melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada si isteri meskipun mereka bukan pencari nafkah utama untuk keluarga.
Pandangan bahawa tugas ibu lebih utama dalam penjagaan anak, menyebabkan bapa kurang memberi perhatian kepada peranan mereka.
Perkara ini bagaimanapun tidak seharusnya dibiarkan berlarutan dalam tempoh yang panjang kerana akan memberi kesan kepada perkembangan dan emosi anak-anak, di mana anak-anak mungkin tidak merasai ‘kehadiran’ bapa dalam hidup mereka meskipun jasadnya wujud dalam kehidupan anak-anak.
Lantas, anak-anak ini lebih menjadikan orang lain sebagai figura yang boleh diikuti dalam hidup mereka ekoran ketiadaan figura bapa yang jelas dalam keluarga.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila anak-anak memodelkan figura yang negatif atau tidak bersesuaian hingga membawa mereka ke arah tingkah laku yang tidak sesuai sehingga mempengaruhi pembentukan karakter, emosi dan sosial seterusnya diteruskan dari satu generasi ke generasi seterusnya dalam keluarga.
Maka rantaian yang tidak sesuai ini harus dihentikan.
Kurangnya kesedaran tentang peranan bapa dalam penjagaan dan didikan anak-anak mungkin menjadi salah satu punca ketidak wujudan atau tidak jelas figura bapa sebagai pemimpin dalam sesebuah keluarga.
Dalam hal ini, seminar atau kempen kesedaran kepada ibubapa tentang tentang kepentingan ibu dan bapa dalam memainkan peranan masing-masing dalam keluarga mungkin dapat membantu meningkatkan kesedaran tersebut.
Selain itu, bapa boleh mengambil bahagian dalam aktiviti harian seperti membantu dalam pembelajaran anak, peluang masa bersama anak, atau terlibat dalam tugas rumah tangga.
Bapa perlu menonjolkan ciri-ciri kepimpinan kepada anak-anak dengan mempamerkan sikap yang sesuai di rumah supaya anak-anak dapat merasai kehadiran seorang pemimpin dalam keluarga.
Ini akan membantu khususnya anak-anak lelaki untuk membina identiti diri sebagai seorang lelaki yang mempunyai ciri kepimpinan.
Tidak bersikap terlalu mendominasi, seorang bapa seharusnya menjadi pendengar yang baik kepada pasangan dan anak-anak.
Bapa menyediakan ruang perbincangan dalam memahami permasalahan anak-anak.
Secara tidak langsung, bapa menjadi contoh dalam tingkah laku, pengurusan emosi dan cara menangani konflik dalam rumah tangga.
Tidak hanya itu, ia juga membolehkan bapa membina hubungan yang lebih rapat dan saling memahami dengan anak-anak serta memenuhi tangki emosi anak-anak.
Banyak kebaikan apabila bapa memainkan peranan aktif dalam keluarga.
Kehadiran bapa yang aktif memberikan kestabilan dan kebahagiaan dalam keluarga, mengurangkan tekanan yang dirasai oleh si ibu.
Anak-anak yang mempunyai hubungan yang kuat dengan bapa lebih cenderung untuk menjadi individu yang bertanggungjawab, bijak membuat keputusan dan memberi impak positif kepada masyarakat.
Justeru, kesedaran tentang pentingnya sesebuah keluarga untuk mempunyai figura bapa sebagai pemimpin dalam keluarga amatlah penting.
Pembentukan identiti generasi muda yang lebih bertanggungjawab dan berjaya bermula dari dalam keluarga itu sendiri.
Justeru ibu dan bapa haruslah saling melengkapi dalam usaha mendidik anak-anak.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.