DKSH, Hygiena perluaskan kerjasama penyediaan penyelesaian keselamatan makanan dan diagnostik kesihatan
PETALING JAYA, 21 Januari 2025 – Unit Perniagaan Teknologi DKSH telah menjalin kerjasama dengan Hygiena, penyedia terkemuka bagi penyelesaian pengesanan, pemantauan dan pengenalpastian mikrob secara pantas.
Melalui perjanjian ini, DKSH akan menyediakan analisis pasaran yang menyeluruh, pemasaran, jualan, pengedaran dan perkhidmatan selepas jualan untuk memastikan produk inovatif Hygiena dapat memenuhi keperluan industri utama di Malaysia.
Kerjasama ini adalah lanjutan daripada kejayaan kolaborasi di Kemboja, Laos, dan Myanmar.
Produk inovatif Hygiena, termasuk sistem Pengesahan Pembersihan Adenosine Triphosphate (ATP), direka untuk mengekalkan standard kebersihan yang ketat dan memastikan keselamatan di pelbagai industri.
Dengan kerjasama yang diperluaskan ini, Hygiena berhasrat untuk memperkukuh kehadiran pasaran dan meningkatkan reputasi jenamanya melalui kepakaran tempatan yang mendalam dan rangkaian pengedaran yang kukuh dari DKSH.
Perkhidmatan menyeluruh DKSH akan merangkumi sektor kritikal seperti makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, hospitaliti, pembuatan farmaseutikal, ujian kualiti air, kosmetik dan penjagaan peribadi, pengangkutan dan logistik, serta institusi pendidikan.
“Kami berbesar hati untuk memperluaskan kerjasama kami dengan DKSH di Malaysia, susulan daripada
kejayaan kolaborasi kami di Kemboja, Laos dan Myanmar.
“Kepakaran terbukti DKSH dan kehadiran pasaran yang kukuh menjadikan mereka rakan kongsi yang ideal untuk membantu kami menyediakan penyelesaian diagnostik inovatif kami, memastikan keselamatan dan pematuhan di sektor penting di Malaysia,” kata Pengurus Jualan Serantau, Asia Tenggara di Hygiena, Khun Surada Ketruang.
Penolong Pengurus Besar, Instrumen Saintifik di DKSH Malaysia Technology, Jasmine Keller pula berkata: “Perluasan kerjasama kami dengan Hygiena ke Malaysia merupakan bukti hubungan kerjasama erat yang telah kami bina.
“Perkongsian eksklusif ini selari dengan komitmen kami untuk menyediakan penyelesaian teknologi canggih. Dengan memanfaatkan kepakaran pasaran dan rangkaian pengedaran meluas DKSH bersama produk inovatif Hygiena, kami yakin dapat mendorong pertumbuhan bersama dan memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin berkembang di Malaysia.”