Suka cari perhatian termasuk tanda penyakit mental?
Gangguan personaliti histrionik menyebabkan penghidapnya memerlukan perhatian yang tinggi daripada orang lain.

MASYARAKAT digesa menjauhi trend hantaran di media sosial yang bukan budaya kita dinegara ini.
Kejadian menari ketika menerima duit raya sempena Aidilfitri seperti yang baru-baru ini seakan-akan menjadi fenomena tular dalam video-video pendek di media sosial kerana ia dinilai sebagai kita semakin jauh daripada tradisi kita sebenarnya.
Ini turut memburukkan keadaan apabila ada yang cuba merasionalkannya dengan menyandarkan kepada kemajuan dan berfikiran terbuka kononnya.
Banyak lagi perbuatan pelik yang dijadikan hantaran di media sosial pada Aidilfitri kali ini yang akhirnya menghilangkan kemuliaan Aidilfitri itu sendiri.
Perbuatan seperti ini tidak sepatutnya menjadi ikutan kerana mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan adab ketimuran.
Sebagai masyarakat timur ini bukan cara kita meraikan Aidilfitri. Pergerakan dalam tarian itu ada yang melompat-lompat sekadar untuk mendapat duit raya. Perkara sebegini tidak sopan diamalkan apatah lagi melibatkan wanita dan mereka yang telah matang dalam berfikir.
Kalau mengikut teori Barat pula perbuatan-perbuatan ini diklasifikasikan sebagai penyakit gangguan perasaan yang diberi nama histrionik atau kurang perhatian. Pernahkah kita bertemu atau mempunyai rakan yang kelihatan sentiasa dahagakan perhatian orang sekeliling?
Apabila tiada sesiapa yang memberi perhatian, orang itu kelihatan resah, gelisah dan sentiasa cuba sesuatu untuk mencari perhatian. Adakah kita sedar bahawa ini boleh dikaitkan dengan penyakit mental yang dipanggil gangguan personaliti histrionik? Apa itu sebenarnya histrionik?
Gangguan personaliti histrionik menyebabkan penghidapnya memerlukan perhatian yang tinggi daripada orang lain.
Selalunya golongan penghidap gangguan ini akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan perhatian. Orang yang mengalami gangguan personaliti histrionik sering bimbang tentang penampilan mereka, dramatik apabila bercakap, dan suka mencari perhatian.
Mengenal Gangguan Personaliti Histrionik dan Puncanya
Setiap manusia mungkin sukakan perhatian, tetapi biasanya hanya dalam kes tertentu atau sekali-sekala. Namun, ternyata ada syarat yang boleh membuatkan seseorang itu sangat memerlukan perhatian daripada orang lain.
Ini termasuk dalam penyakit mental yang dipanggil gangguan personaliti histrionik. Orang yang mengalami gangguan ini menikmati dan sentiasa mahu menjadi pusat perhatian.
Apabila diabaikan, penghidap penyakit mental biasanya berasa tidak selesa dan juga cemas. Pada tahap yang lebih teruk, orang yang mengalami gangguan personaliti histrionik boleh terlibat dalam tingkah laku provokatif untuk mendapatkan perhatian orang lain. Selain suka mencari perhatian, penghidap gangguan ini biasanya juga mengalami kesukaran untuk berfikir secara logic dan bertindak melakukan perkara luar kebiasaan.
Selain mencari perhatian, gangguan ini juga dicirikan oleh perasaan tidak selesa apabila tidak menjadi pusat perhatian, tindakan provokatif yang kerap, ekspresi emosi yang cepat dan cetek, gaya bercakap yang impresionistik dan kurang terperinci, dan secara konsisten menggunakan penampilan fizikal untuk menarik perhatian.
Orang yang mengalami gangguan ini juga sering bertindak secara dramatik, meluahkan emosi secara berlebihan dan sangat mudah dipujuk dan dipengaruhi oleh orang atau keadaan lain.
Gangguan ini dikatakan lebih cenderung berlaku keatas wanita berbanding lelaki. Seperti kebanyakan gangguan personaliti lain, gangguan personaliti histrionik biasanya berkurangan mengikut intensiti dengan usia.
Terdapat beberapa faktor yang dikatakan sebagai pencetus kepada seseorang untuk mengalami keadaan ini, bermula daripada faktor biologi dan genetik, faktor persekitaran sosial dan faktor psikologi tetapi penting untuk diingat bahawa tidak ada faktor tunggal yang bertanggungjawab untuk keadaan ini.
Pemeriksaan diperlukan untuk mengesahkan keadaan ini dan mengetahui puncanya dan tingkah laku seseorang individu di media digital itu perlu diperhatikan.
Selain gangguan personaliti histrionik, pencarian perhatian juga boleh menjadi tanda gangguan narsisistik. Secara umum, gangguan narsis sering dicirikan oleh gejala mencari perhatian, mementingkan diri sendiri dan menuntut kekaguman untuk diri sendiri.
Ini bermakna orang yang mengalami gangguan ini cenderung sentiasa memerlukan pengiktirafan daripada orang sekeliling.
Narsisisme adalah sejenis gangguan mental yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Sebenarnya, berasa sedikit narsis dan ingin bermegah-megah tentang diri sendiri adalah fitrah manusia.
Bagaimanapun, ia menjadi mudarat jika ini berlaku pada tahap yang melampau dan berlebihan. Kerana, ia boleh menjadi tanda gangguan personaliti narsis. Dalam jangka masa panjang, gangguan ini dikatakan boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental.
Punca sebenar gangguan personaliti histrionic
Punca sebenar gangguan personaliti histrionik tidak diketahui. Para saintis percaya ia adalah hasil daripada kedua-dua faktor persekitaran dan genetik.
Mungkin juga kekurangan disiplin atau kurang nasihat positif ke atas tingkah laku dramatik pada zaman kanak-kanak. Seorang kanak-kanak mungkin mempelajari tingkah laku ini sebagai cara untuk mendapatkan perhatian daripada ibu bapa mereka.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.