Makanan di dalamnya mikroplastik tidak ‘tayyib’
Hari ini, umat manusia berdepan satu bentuk pencemaran moden yang halus namun membahayakan iaitu mikroplastik dalam makanan.

AIDILFITRI bukan sekadar pesta makan dan minum. Ia adalah tanda kemenangan rohani setelah melalui sebulan tarbiah Ramadan yang mengajar kita erti kesabaran, kawalan diri dan keikhlasan.
Namun dalam kita meraikan hari raya, satu persoalan yang jarang diteliti dari sudut agama ialah adakah makanan yang kita nikmati benar-benar tayyib iaitu baik, bersih dan tidak memudaratkan?
Hari ini, umat manusia berdepan satu bentuk pencemaran moden yang halus namun membahayakan iaitu mikroplastik dalam makanan.
Mikroplastik racun halus dalam makanan harian
Mikroplastik ialah zarah plastik yang sangat kecil (kurang daripada 5 milimeter) yang terhasil daripada pereputan plastik besar, botol air, pembungkus makanan serta fabrik sintetik. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), manusia boleh menelan lebih 50,000 partikel mikroplastik setahun melalui makanan, minuman dan udara.
Kajian oleh Universiti Cornell pada tahun 2024 mendapati, rakyat Malaysia dianggarkan menelan sehingga 12 gram mikroplastik sebulan, bersamaan hampir tiga keping kad kredit!
Zarah-zarah ini kini dikesan dalam ikan, garam, air minuman, sayur-sayuran dan pelbagai makanan yang kita anggap ‘bersih’. Ia wujud melalui beberapa rantai pencemaran alam sekitar hasil daripada penggunaan plastik yang berleluasa dan pengurusan sisa yang lemah.
Apabila plastik dibuang ke laut atau sungai, ia akan terurai menjadi zarah-zarah kecil disebabkan cahaya matahari, ombak dan proses semula jadi.
Ikan dan haiwan laut seperti kerang, sotong, udang dan ketam menelan mikroplastik secara tidak sengaja ketika menyaring air laut atau memakan plankton yang tercemar.
Begitu juga proses menghasilkan garam melibatkan penyejatan air laut dan jika air itu sudah tercemar dengan mikroplastik, maka zarah-zarah itu akan kekal dalam garam yang dikristalkan.
Mikroplastik juga boleh ditemui dalam air paip dan air botol akibat pencemaran dari sistem bekalan air atau proses pembungkusan.
Pencemaran yang berpunca dari manusia
Oleh itu, punca utama mikroplastik adalah daripada perbuatan manusia sendiri. Ketika musim raya, penggunaan plastik meningkat, pembalut kuih, bekas makanan pakai buang, plastik bungkusan rendang atau gelas air sirap semuanya menyumbang kepada pencemaran.
Sebagai contoh, bila bekas plastik digunakan untuk makanan panas seperti rendang atau kuah kari, haba boleh mempercepatkan penguraian mikro daripada permukaan plastik. Ini lebih kritikal jika plastik digunakan berulang kali atau dipanaskan dalam ketuhar gelombang mikro.
Selepas raya, berapa banyak pula plastik dibuang tanpa dikitar semula? Allah SWT telah memberi amaran berkenaan kerosakan alam yang dilakukan oleh manusia sendiri: “Telah zahir kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum, ayat 41)
Daripada kefahaman ayat di atas, kerosakan ini termasuklah pencemaran yang kembali memudaratkan manusia sendiri, dalam bentuk makanan yang sudah tidak lagi bersih atau selamat.
Apakah kedudukan makanan ini dari sudut Islam?
Konsep makanan yang baik dalam Islam bukan sekadar halal tetapi juga ‘halalan tayyiban’. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 168: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi tayyib dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan.”
Makanan yang disediakan mengikut hukum syarak (halal) belum tentu tayyib jika mengandungi bahan berbahaya seperti racun atau pencemar moden seperti mikroplastik.
Tayyib menuntut bahawa makanan itu tidak memudaratkan kesihatan manusia iaitu dari segi zatnya, cara penyimpanannya, bahkan kesan jangka panjangnya.
Maka, setiap makanan yang kita sajikan, apatah lagi dalam suasana penuh ibadah seperti Aidilfitri perlu bersih, suci, tidak tercemar dan tidak membahayakan.
Israf dan pembaziran dalam budaya raya
Dalam budaya masyarakat moden kini, kita terlalu mudah membeli dan membuang. Makanan berlebihan, bekas plastik pakai buang, pinggan dan cawan plastik yang hanya digunakan sekali, semuanya mencerminkan israf yang ditegah dalam Islam.
Firman Allah: “Dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raf, ayat 31)
Amalan berlebihan dan pembaziran ini bukan sahaja mencemarkan bumi, malah memberi kesan kepada keberkatan rezeki. Umat Islam adalah khalifah di muka bumi, bukan sekadar pengguna pasif.
Tanggungjawab khalifah tidak hanya dilihat pada ibadahnya pada Allah tetapi juga akhlaknya terhadap makhluk Allah yang lain termasuk tumbuhan, haiwan dan alam sekitar.
Maka, setiap pencemaran yang kita lakukan tanpa sedar melalui pembaziran plastik atau kealpaan dalam menjaga alam adalah perlanggaran terhadap amanah Allah.
Raya yang mesra syariat dan alam
Sehubungan itu ada beberapa langkah boleh diambil bagi memastikan sambutan raya selaras dengan prinsip Islam yang syumul.
Pertama, gunakan bekas makanan yang boleh diguna semula (bukan pakai buang). Kedua, kurangkan pembelian makanan berbalut plastik, terutama kuih raya komersial. Ketiga, beri kesedaran kepada keluarga tentang bahaya mikroplastik dan tanggungjawab Islam terhadap alam. Keempat, sokong kempen zero waste, kitar semula dan pengasingan sisa.
Rumusannya, Aidilfitri seharusnya menjadi lambang keinsafan dan perubahan diri, bukan hanya daripada aspek dosa dan pahala tetapi juga dari segi gaya hidup dan akhlak terhadap alam.
Mikroplastik boleh dikatakan sebagai simbol zaman moden yang mendedahkan betapa jauhnya manusia telah menyimpang daripada fitrah.
Maka, raya bukan masa untuk merosakkan alam tetapi untuk kembali kepada fitrah, bersih hati dan bersih bumi.
Inilah erti halalan tayyiban dalam erti kata sebenar: makanan yang selamat, alam yang terpelihara dan jiwa yang tunduk syukur kepada Tuhan.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.