MR. DIY raikan ulang tahun ke-20 dengan konsert gergasi di Stadium Merdeka
Konsert itu bakal menghimpunkan pelbagai nama besar dalam industri muzik, termasuk penyanyi terkenal Penny Tai, Ella, Awie, Amy Search, Jaclyn Victor, Shila Amzah, Lee Pei Ling serta kumpulan sensasi 3P.

KUALA LUMPUR, 27 Mei 2025 – MR.DIY, peruncit kelengkapan rumah terkemuka negara akan meraikan ulang tahun ke-20 penubuhannya dengan penganjuran sebuah konsert mega bertaraf bintang yang dijadual berlangsung pada 11 Julai ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Konsert bertemakan ‘MR.DIY 20th Anniversary’ itu dijangka menjadi antara acara hiburan terbesar tahun ini, menampilkan barisan artis popular tanah air serta persembahan pentas yang penuh warna-warni.
Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan atas sokongan berterusan selama dua dekad, MR. DIY melancarkan kempen penebusan tiket bermula 31 Mei. Pelanggan yang berbelanja minimum RM40 dalam satu resit di mana-mana cawangan MR. DIY di seluruh negara layak menebus dua tiket percuma untuk menyaksikan konsert tersebut.
Menurut kenyataan syarikat itu, penebusan tiket boleh dibuat menerusi imbasan kod QR pada poster rasmi di kedai atau melalui laman web rasmi MR. DIY. Penebusan dihadkan kepada 3,000 pelanggan terawal sahaja.
Konsert itu bakal menghimpunkan pelbagai nama besar dalam industri muzik, termasuk penyanyi terkenal Penny Tai, Ella, Awie, Amy Search, Jaclyn Victor, Shila Amzah, Lee Pei Ling serta kumpulan sensasi 3P. Kesemua artis akan membuat persembahan secara langsung pada malam tersebut.
Selain persembahan muzik, acara turut dimeriahkan dengan pertunjukan cahaya laser, bunga api, aneka juadah makanan dan minuman, sudut fotografi interaktif, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti lain.
“Stadium Merdeka akan berubah menjadi pusat tumpuan ribuan peminat yang ingin berkongsi kegembiraan ulang tahun ke-20 MR.DIY dalam suasana penuh kemeriahan dan kenangan,” menurut kenyataan itu lagi.
Maklumat lanjut serta syarat penebusan tiket boleh didapati melalui laman web rasmi di www.mrdiy.com/concert2025 atau menerusi saluran media sosial rasmi MR.DIY di Facebook dan Instagram.