Anjuran berkorban relevan dalam kehidupan harmoni di dunia
Doktrin pengorbanan dalam Islam bukanlah sesuatu yang kosong atau bersifat simbolik semata-mata, tetapi ia adalah teras pembentukan jiwa.

Dalam hidup ini, kita semua sedang menjalani satu perjalanan yang penuh dengan pilihan antara yang mudah dan susah, batil dan benar, antara kehendak diri dan tuntutan jiwa.
Disinilah sebenarnya terletaknya makna korban. Ia bukan sekadar satu ibadah yang berlaku pada hari-hari tertentu atau mengikut musim, tetapi satu falsafah hidup yang mendalam.
Melepaskan sesuatu yang kita sayang demi sesuatu yang lebih besar nilainya di sisi Tuhan Rabbul Jalil.
Adakalanya kita terpaksa mengorbankan masa tidur demi bangun awal untuk menunaikan tanggungjawab. Kadang-kadang, kita perlu melepaskan rasa marah demi menjaga silaturahim.
Ada waktunya, kita perlu mendiamkan diri bukan kerana kalah tetapi kerana mahu elak dosa. Semuanya ini, merupakan bentuk-bentuk korban yang sangat besar ertinya dalam kehidupan seseorang yang ingin dekat dengan Tuhannya.
Korban juga hadir dalam bentuk kesabaran. Bila kita pendam rasa kecewa dalam diam kerana tahu setiap ujian itu ada hikmahnya.
Kita korbankan rasa ingin mengeluh, ingin berduka atau meratap tetapi kita gantikan dengan doa dan bina strategi untuk bangun dan terus mara bagi hendak mencapai sesuatu target. Ada juga kita korbankan rasa ingin membalas dan gantikan dengan memaafkan.
Setiap kali kita tundukkan nafsu, kita sedang membuat satu pengorbanan yang sangat mulia yang mungkin orang lain tak nampak tetapi Allah tahu.
Kadang-kadang, korban itu datang dalam bentuk melepaskan, melepaskan seseorang yang kita sayangi, melepaskan impian yang tidak kesampaian atau melepaskan masa lalu yang menyakitkan. Ia perit tetapi ada ketenangan yang menanti selepas itu.
Bukan semua yang kita sayangi harus kita miliki, bukan semua kita nak capai akan tercapai dan bukan semua yang kita korbankan akan membuat kita kehilangan.
Kadang-kadang, melalui pengorbanan itulah kita akan temui versi diri kita yang lebih tenang, lebih kuat dan lebih dekat dengan Pencipta.
Jadi, kalau kita rasa hidup ini sukar, penuh dengan pilihan yang memerlukan kita mengalah atau menyerah itu tandanya kita sedang belajar erti korban.
Dalam setiap korban yang ikhlas, selalu ada ganjaran yang tak terduga. Bukan dari manusia tetapi daripada Tuhan yang Maha Mengetahui segala isi hati.
Dalam diam, kita sedang bertumbuh dan setiap tumbuh itu, lahir daripada sesuatu yang telah dikorbankan.
Sebab itulah dalam Islam didoktrinkan semangat berkorban kerana hidup ini sendiri adalah satu medan ujian, tempat kita diuji dengan apa yang kita cintai.
Doktrin pengorbanan dalam Islam bukanlah sesuatu yang kosong atau bersifat simbolik semata-mata, tetapi ia adalah teras pembentukan jiwa.
Ia mendidik manusia supaya tidak terikat pada dunia dan melatih hati supaya sentiasa meletakkan Allah di tempat yang paling utama.
Bila kita sanggup berkorban, baik dari segi masa, tenaga, perasaan ataupun harta, kita sebenarnya sedang menyucikan diri daripada keakuan.
Kita sedang belajar bahawa hidup ini bukan hanya tentang ‘aku dan apa yang aku mahu’ tetapi tentang tanggungjawab, amanah dan tujuan hidup yang lebih besar.
Doktrin ini juga mendidik jiwa untuk sabar, reda dan ikhlas. Dalam dunia hari ini yang serba laju dan mementingkan kepuasan segera, ajaran tentang pengorbanan mengingatkan kita bahawa tidak semua yang kita mahu akan kita dapat serta-merta.
Setiap pengorbanan yang dilakukan kerana Allah, walaupun berskala kecil pasti dikira dan dihargai. Bahkan baginda Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa kelelahan, penyakit, kesedihan, kesusahan, gangguan, hingga duri yang menusuknya melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya kerana itu.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Inilah yang menjadikan konsep pengorbanan dalam Islam bukan beban tetapi sumber kekuatan rohani. Ia menjadikan hidup lebih bermakna, dan menjadikan setiap ujian sebagai peluang untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.
Jadi, bila kita rasa kita sedang banyak berkorban, ingatlah itu bukan satu kerugian. Dalam doktrin Islam, berkorban adalah jalan menuju kemuliaan, di dunia dan akhirat.