Panduan sunnah dalam memenuhi undangan rumah terbuka

WALAUPUN perayaan Aidilfitri telah pun berlalu pada 10 April yang lalu, jemputan rumah terbuka sempena perayaan tersebut masih giat dijalankan sepanjang bulan Syawal.

Sehubungan dengan itu, pelbagai pertubuhan, kelab, dan persatuan tidak melepaskan peluang untuk menganjurkan majlis rumah terbuka selama mana masih berbaki tempoh bulan Syawal.

Fenomena ini sejajar dengan falsafah Aidilfitri yang menekankan nilai perpaduan, menyambung silaturrahim, dan saling memaafkan.

Bagaimanapun, terdapat keadaan di mana jumlah jemputan rumah terbuka yang diterima adalah terlalu ramai atau jemputan diterima pada waktu yang tidak memungkinkan untuk dihadiri.

Begitu juga tidak dinafikan ada segelintir yang kurang berminat untuk memenuhi undangan aktiviti keraian begini.

Hal ini menimbulkan persoalan mengenai panduan Islam berkaitan dengan situasi tersebut.

Nabi SAW menekankan mengenai keperluan memenuhi undangan dalam hadis daripada Abdullah bin Mas’ud bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: “Apabila dijemput seseorang ke majlis makan, maka hendaklah dia memenuhi jemputan. Jika dia tidak berpuasa maka makanlah. Sekiranya dia sedang berpuasa, maka doakanlah tuan rumah dengan keberkatan.” (Hadis riwayat al-Nasa’i)

Sekiranya ditelurusi sejarah hidup Nabi SAW, Baginda beberapa kali dijemput ke majlis makan bukan sahaja ketika majlis bahkan sekadar undangan makan.

Seperti contoh hadis yang bermaksud: Anas bin Malik menyatakan bahawa neneknya Mulaikah menjemput Rasulullah SAW untuk menghadiri hidangan yang dimasakkan untuk Baginda, maka Rasulullah SAW menyantapnya (memenuhi undangan). Kemudian setelah selesai Baginda bersabda: “Berdirilah aku akan pimpin solat kalian.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Hal ini membuktikan Baginda SAW sangat mengambil berat mengenai undangan dan tidak menolaknya tanpa alasan yang kukuh.

Begitu juga Baginda suka untuk memenuhi keinginan para sahabat. Mereka menjemput Nabi SAW ke rumah mereka untuk bersolat dengan Baginda, justeru Nabi memahami keinginan tersebut dan melaksanakannya.

Daripada sudut hukum memenuhi jemputan rumah terbuka, Imam al-Nawawi menyatakan terdapat sebahagian ulama mazhab Syafie berpandangan hukumnya wajib manakala pandangan Imam Malik dan jumhur menyebutkan tidak wajib.

Sekiranya seseorang individu dijemput ke rumah terbuka dan tidak mampu menghadirinya, maka sebaiknya dia memaklumkan kembali kepada tuan rumah tersebut lebih-lebih lagi sekiranya tuan rumah tersebut merupakan kenalan rapatnya.

Hal ini supaya ia tidak mengecilkan hati tuan rumah yang menjemput.

Selain itu, sekiranya undangan yang diterima terlalu banyak, seseorang individu sebaiknya cuba untuk menghadiri kesemuanya.

Sekiranya tidak mampu, sebaiknya mengutamakan undangan daripada kenalan-kenalan rapat atau jiran terdekat.

Hal ini dapat dilihat daripada hadis: Aku (Aisyah RA) bertanya: “Wahai Rasulullah, aku ada dua tetangga, kepada siapa dari keduanya yang paling berhak untuk aku beri hadiah?” Baginda bersabda: “Kepada yang paling dekat pintu rumahnya darimu.” (Sahih al-Bukhari)

Maka, untuk merealisasikan falsafah Aidilfitri kita perlu mengamalkan sikap yang seimbang dalam menerima dan menghadiri jemputan rumah terbuka.

Sementara menjalin silaturahim adalah penting, kita juga perlu mempertimbangkan keselesaan diri dan keluarga serta memastikan kualiti interaksi yang bermakna dengan tuan rumah dan tetamu lain.

Dengan demikian, memenuhi undangan rumah terbuka menjadi satu peluang untuk mengamalkan nilai-nilai Islam seperti kasih sayang, perpaduan, dan kesederhanaan dalam kehidupan seharian.


Penulis merupakan calon PhD Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.