Dakwaan bau wangi di kubur dan amalan ‘bertabarruk’

Antara hakikat dan khurafat dan pengamalannya mengikut uruf semasa.

Poster Terkini

Oleh: MUHAMMAD MURABBI AS-SOLIHIN KAYATI
Pelajar Tahun Akhir Kuliah Syariah, Universiti Imam Saud, Riyadh, Arab Saudi

BARU-BARU INI, masyarakat dikejutkan dengan satu dakwaan berkenaan bau wangi yang didapati daripada sebuah kubur milik seorang Allahyarham serta tindakan segelintir penziarah yang mengambil tanah dari kubur tersebut atas tujuan mendapatkan keberkatan (tabarruk).

Isu ini telah mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat, ada yang menolaknya secara mutlak, ada yang cuba memberikan penjelasan dan tidak kurang pula yang mengambil jalan tengah.

Walaupun pada zahirnya, perbuatan seperti ini kelihatan tidak masuk akal dan mengundang pertikaian, namun sebelum membuat sebarang penilaian, wajar untuk kita memahami beberapa hakikat yang berkait rapat dengan isu ini.

Penilaian terhadap isu seperti ini perlu dibuat secara ilmiah dengan meneliti dalil, melihat amalan-amalan ulama terdahulu, keadaan semasa (uruf), maslahat serta kesan terhadap aqidah umat Islam, di samping merujuk kepada pandangan para ulama.

Hakikat Pertama: Bau Wangi dari Kubur Orang Soleh, Bukan Sesuatu yang Asing

Sebahagian pihak menolak mentah-mentah dakwaan bau wangi yang keluar dari kubur, namun realitinya perkara itu bukanlah sesuatu yang baharu dalam literatur Islam. Para ulama klasik telah merekodkan kejadian seumpama ini dalam karya-karya mereka.

Sebagai contoh, Imam Az-Zahabi dalam Siyar A‘lam an-Nubala’ dan Imam al-Bayhaqi dalam Syu‘ab al-Iman meriwayatkan kisah seorang tabi’in, Abdullah Ibn Ghalib al-Haddani yang meninggal dunia dalam medan jihad.

Dikatakan bahawa kuburnya mengeluarkan bau kasturi yang harum. Bahkan Imam Malik Ibn Dinar sendiri pergi ke kubur tersebut dan menyatakan: “Lalu aku pergi ke kuburnya, aku ambil sedikit tanah dan menciumnya. Maka aku dapati ia berbau kasturi.” (Syu‘ab al-Iman – al-Bayhaqi)

Begitu juga kisah berkenaan Sa‘ad Ibn Mu‘az RA, sahabat Nabi SAW yang mana kuburnya turut dikatakan mengeluarkan bau kasturi.

Kisah ini diriwayatkan oleh Mahmud Ibn Syarhabil dan dinukilkan oleh ulama besar seperti Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Al-Ishabah dan Alauddin al-Hindi dalam bukunya Kanz Al-‘Ummal. Abu Nu‘aim turut menegaskan bahawa riwayat tersebut sahih.

Kesemua ini menunjukkan bahawa fenomena seperti bau harum dari kubur orang soleh adalah sesuatu yang dikenali dalam sejarah Islam dan tidak ditolak oleh para ulama terdahulu.

Hakikat Kedua: Tabarruk (mengambil berkat) dengan Tanah Kubur, Antara Dibenarkan dan Diperselisihkan

Secara umum, para ulama mengiktiraf bahawa perbuatan mengambil berkat dengan kesan peninggalan Nabi SAW, para sahabat serta orang-orang soleh adalah diharuskan dalam Islam.

Namun, apabila ia melibatkan tanah kubur secara khusus iaitu menyentuh, mencium atau mengambilnya, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama.

Sebagai contoh, Imam ar-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj menyebut: “Jika seseorang mencium kuburan mereka dengan tujuan untuk mengambil keberkatan, maka ia tidaklah makruh, sebagaimana yang difatwakan oleh ayahku”.

Beberapa kisah ulama dahulu juga menyebut tentang amalan mengambil tanah dari kubur untuk tujuan penyembuhan atau keberkatan.

Antaranya, kisah daripada Abu al-‘Abbas Ibn Huji yang meriwayatkan bahawa gurunya Ali Ibn Abdul Karim Ibn Sirajuddin pernah mengambil tanah dari kubur Ibn Taimiyyah untuk disapu ke mata anaknya yang sakit dan ia sembuh.

Berkata Ali Ibn Abdul Karim: “Lalu aku mengambil sebahagian daripada tanah kuburnya (Ibn Taimiyyah), lalu aku calitkan ke mata anakku ketika dia sedang tidur, maka dia pun sembuh.”

Kisah ini dinukilkan oleh Ibn Nasir ad-Din dalam ar-Radd al-Wāfir. Beliau menyatakan bahawa kisah ini terdapat dalam salah satu kitab karya Abu al-‘Abbas Ibn Huji yang beliau temui.

Namun, seperti biasa dakwaan tentang penemuan sesuatu kitab yang dinisbahkan kepada seseorang tokoh akan sentiasa terdedah kepada kritikan dan pertikaian, sama ada ia benar-benar sahih atau perlu diperhalusi dari sudut keabsahan.

Begitu juga dengan kenyataan Imam Ahmad Ibn Bakut yang disebut oleh Ibn Farhun, menyatakan bahawa orang ramai dahulu mengambil tanah dari kubur para sahabat dan syuhada’, termasuk kubur Sayyiduna Hamzah RA, untuk mendapatkan keberkatan.

Imam Ahmad Ibn Bakut berkata: “Manusia masih lagi mengambil berkat dari kubur para ulama, syuhada’ dan orang-orang soleh. Bahkan, sejak dahulu kala, orang ramai mengambil tanah dari kubur Sayyiduna Hamzah bin Abdul Muttalib RA.”

Ini membuktikan bahawa pada masa dahulu, amalan seperti ini tidak dianggap janggal atau sesat secara mutlak oleh sebahagian masyarakat Islam.

Kesuaian Amalan Tabarruk Dengan Tanah Kubur Bergantung Pada Uruf dan Keadaan Semasa Aqidah Umat

Walaupun terdapat riwayat yang menyokong amalan tersebut, namun penilaian hukum terhadap sesuatu amalan tidak boleh bergantung semata-mata kepada nukilan kitab atau tradisi.

Hal ini ditegaskan oleh Ibn al-Qayyim dalam I‘lam al-Muwaqqi‘in: mengambil kira uruf, adat, masa, tempat dan keadaan manusia, maka dia telah sesat dan menyesatkan orang lain.”

Kenyataan ini sangat penting, khususnya dalam konteks semasa di mana isu berkaitan aqidah dan kesyirikan sangat sensitif.

Jika masyarakat tidak memahami batasan antara mengambil keberkatan dan mengagungkan kubur secara melampau, ia boleh membuka ruang kepada amalan khurafat, penyembahan kubur dan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak.

Atas dasar ini, ramai ulama muta’akhirin Mazhab Syafi‘i seperti Imam An-Nawawi dan Imam Ibn Hajar menegaskan larangan terhadap amalan menyentuh atau mencium kubur.

Imam An-Nawawi menukilkan dari Imam Abu Al-Hasan Az-Za’farani: “Perbuatan menyentuh dan mencium kubur sebagaimana dilakukan oleh orang awam hari ini adalah termasuk dalam bid‘ah yang ditegah oleh syarak.”

Penekanan beliau bukan sekadar kepada perbuatan zahir tetapi lebih kepada natijahnya iaitu pembukaan kepada pengagungan terhadap kubur, yang jelas dilarang oleh Nabi SAW dalam banyak hadis.

Apa yang menarik ialah, Imam An-Nawawi bersetuju dengan kenyataan ini dan memberi komentar: “Apa yang disebut oleh para ulama muhaqqiqin itu adalah benar. Ini kerana telah sabit larangan terhadap perbuatan mengagungkan kubur.”

Pandangan ini turut disokong oleh ulama lain seperti Imam Ibn Hajar dalam at-Tuhfah dan Imam al-Khatib asy-Syirbini.

Kesimpulan: Menyantuni Tradisi, Memelihara Aqidah

Jika diteliti secara mendalam, kenyataan Imam An-Nawawi jelas menunjukkan bahawa larangan terhadap perbuatan menyentuh atau mencium kubur bukanlah semata-mata berpunca daripada perbuatan itu secara literal tetapi kerana ia tergolong dalam perbuatan ta‘zim al-qubur iaitu mengagungkan kubur sesuatu yang ditegah oleh syariat Islam.

Hal ini merupakan satu perkara yang perlu diinsafi oleh umat Islam, khususnya apabila berdepan dengan isu-isu yang melibatkan amalan tradisi masyarakat yang dikaitkan dengan unsur spiritual.

Kita tidak menafikan bahawa terdapat segelintir pihak yang terlalu mudah melabelkan perbuatan tertentu sebagai syirik tanpa penelitian yang wajar.

Namun begitu, dalam masa yang sama, kita juga tidak boleh mengambil ringan akan larangan terhadap perbuatan yang boleh membawa kepada pengagungan kubur, sebagaimana yang ditekankan oleh Imam An-Nawawi.

Tambahan pula, pada zaman ini isu-isu yang berkait dengan aqidah sangat mudah menimbulkan polemik dan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Jika ruang seperti mengambil tanah dari kubur untuk tujuan keberkatan tidak dikawal, ia berpotensi menjadi pintu masuk kepada bentuk-bentuk khurafat yang lebih besar.

Malah, sejarah telah menunjukkan bagaimana amalan-amalan seperti ini boleh berkembang menjadi bentuk pemujaan, penyembahan dan berdoa kepada selain Allah, sesuatu yang jelas bertentangan dengan prinsip tauhid.

Cukuplah kita mengambil pengajaran daripada realiti yang berlaku di beberapa negara jiran kita, yang terjerumus dalam pelbagai bentuk khurafat atas nama ‘kerohanian’ dan ‘berkat’.

Pada masa sama, kita juga tidak boleh menafikan bahawa amalan seperti bertabarruk dengan tanah kubur pernah direkodkan dalam sejarah dan terdapat sandaran tertentu dalam kitab-kitab turath.

Namun, perlu difahami bahawa proses pengeluaran fatwa dalam Islam tidak hanya bergantung kepada teks ulama dan riwayat semata-mata.

Sebaliknya, ia memerlukan pertimbangan terhadap uruf semasa, tahap pemahaman umat terhadap aqidah, serta keperluan menutup pintu-pintu yang boleh membawa kepada kerosakan, termasuklah dalam isu khurafat dan percampuran antara budaya dengan ibadah.

Pendek kata, kesedaran dan kehati-hatian dalam mengamalkan tradisi keagamaan sangat penting, agar niat yang baik tidak membawa kepada akibat yang buruk dalam urusan aqidah.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.