Persamaan Gen Z merentas sempadan
Lahir dan membesar dalam era digital, dengan akses mudah kepada maklumat, gajet canggih serta media sosial yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian mereka.

GENERASI Z atau lebih dikenali sebagai Gen Z merupakan kumpulan pelajar yang kini sedang mengisi bangku universiti dan institusi pengajian tinggi di seluruh dunia.
Mereka lahir dan membesar dalam era digital, dengan akses mudah kepada maklumat, gajet canggih serta media sosial yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian mereka.
Sebagai seorang pendidik yang berpeluang mengajar di dua buah negara iaitu Malaysia dan China, saya melihat sendiri bagaimana Gen Z di kedua-dua negara ini berkongsi banyak persamaan tetapi juga memperlihatkan perbezaan yang ketara dalam pendekatan mereka terhadap pembelajaran dan hubungan dengan pensyarah.
Di antara persamaan yang paling jelas ialah reaksi mereka terhadap topik pembelajaran yang mencabar. Tidak kira sama ada di Malaysia atau di China, pelajar Gen Z akan menunjukkan keresahan apabila berhadapan dengan topik-topik yang sukar, terutamanya dalam subjek yang memerlukan kefahaman konsep abstrak seperti fizik dan matematik.
Mereka mudah hilang tumpuan jika kaedah pengajaran terlalu tradisional seperti sekadar membaca teks atau nota secara langsung tanpa interaksi atau visual.
Dalam situasi sebegini, pendekatan yang lebih interaktif seperti simulasi eksperimen secara digital atau penggunaan animasi memberi kesan positif yang ketara.
Saya dapati kedua-dua pelajar Malaysia dan China amat teruja apabila saya menggunakan teknologi seperti simulasi fizik untuk menerangkan prinsip-prinsip saintifik. Mereka bukan sahaja lebih cepat faham, malah lebih aktif bertanya dan mencuba.
Selain itu, kedua-dua kumpulan pelajar mempunyai akses yang baik kepada kemudahan pembelajaran seperti komputer riba, tablet serta sambungan internet.
Mereka tidak kekok menggunakan pelantar pembelajaran digital dan bijak menavigasi pelbagai aplikasi yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Kemahiran digital ini menjadi aset utama dalam membantu mereka mengikuti pelajaran, terutama ketika sesi pembelajaran dalam talian iaitu membuat eksperimen menggunakan simulasi dan juga ujian.
Perbezaan yang membentuk identiti
Namun begitu, apabila kita meneliti tingkah laku mereka dalam kelas, jelas kelihatan perbezaan antara pelajar Malaysia dan China.
Salah satu aspek yang ketara ialah cara mereka menunjukkan tumpuan. Di China, walaupun pelajar mungkin sudah kehilangan fokus, mereka tetap duduk diam di dalam kelas.
Ini bukan kerana mereka benar-benar faham atau berminat tetapi sebagai tanda hormat kepada pensyarah. Ia satu nilai budaya yang masih kuat berakar umbi dalam masyarakat mereka.
Berbeza dengan itu, pelajar Malaysia lebih ekspresif. Apabila mereka hilang fokus atau tidak memahami sesuatu, ia jelas kelihatan melalui bahasa tubuh atau interaksi mereka.
Namun kelebihan pelajar Malaysia ialah keberanian mereka untuk bertanya. Mereka tidak segan untuk mengangkat tangan dan meminta penjelasan walaupun di hadapan rakan-rakan sekelas. Ini amat membantu pensyarah dalam menilai tahap kefahaman dan memperbaiki gaya pengajaran.
Sebaliknya, pelajar China lebih cenderung untuk menunggu sehingga selepas kelas untuk bertanya soalan. Malah, ada yang hanya akan datang secara peribadi, di luar waktu kelas dan tanpa kehadiran rakan-rakan, semata-mata untuk mendapatkan penjelasan. Mereka sangat berhati-hati agar tidak ‘mengganggu’ suasana kelas atau kelihatan menonjol.
Dari segi semangat bekerjasama, pelajar Malaysia menunjukkan kelebihan yang tersendiri. Mereka lebih gemar berkongsi bahan pengajaran, membantu rakan-rakan yang ketinggalan dan bekerjasama dalam tugasan kumpulan.
Ini berbeza dengan pelajar China yang lebih individualistik. Mereka cenderung menyimpan bahan atau idea sendiri, terutama kerana suasana pembelajaran yang sangat kompetitif.
Dalam sistem pendidikan yang menekankan pencapaian individu, berkongsi maklumat mungkin dilihat sebagai melemahkan peluang sendiri.
Satu lagi perbezaan yang ketara ialah hubungan antara pelajar dan guru. Pelajar Malaysia lebih berani menyuarakan pandangan dan tidak kurang juga yang lantang menegur pensyarah secara terbuka jika mereka tidak bersetuju atau mahu memberi cadangan. Ini adalah refleksi kepada suasana pembelajaran di Malaysia yang lebih demokratik dan terbuka.
Pelajar China pula amat menjaga adab ketika berinteraksi dengan pensyarah. Menegur guru di dalam kelas adalah sesuatu yang dianggap tidak sopan dan mereka lebih selesa menyampaikan pendapat secara halus dan berhati-hati. Ini mencerminkan nilai ketimuran mereka yang tinggi dalam menghormati autoriti.
Apa yang boleh kita pelajari
Sebagai pendidik, pengalaman ini memberi saya pelajaran yang sangat bermakna. Gen Z, tidak kira dari mana asalnya, mempunyai potensi besar untuk berjaya.
Namun, pendekatan kita terhadap mereka perlu disesuaikan mengikut latar budaya, cara berfikir dan keperluan semasa.
Keberanian pelajar Malaysia untuk bertanya perlu digilap agar menjadi kekuatan. Ketekunan dan disiplin pelajar China juga wajar dijadikan contoh dalam membentuk pelajar Malaysia yang lebih berdisiplin dan fokus.
Akhirnya, kejayaan dalam pendidikan bukan sekadar bergantung kepada teknologi atau silibus tetapi juga kepada sejauh mana kita memahami jiwa pelajar kita, siapa mereka, bagaimana mereka belajar dan nilai apa yang mereka pegang.
Gen Z ialah generasi masa depan yang akan mewarisi dunia ini. Maka, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik mereka bukan hanya sebagai pelajar tetapi sebagai insan yang berdaya fikir, berdaya tahan dan berakhlak tinggi.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.