Pengaruh pemimpin pendapat sebagai perantara kandungan media, masyarakat

Kafahaman adalah corak dan gaya pemikiran individu. Mereka berhak dalam membuat pentafsiran, penilaian malah keputusan berdasarkan pemerhatian dan pengalaman mereka.

Poster Terkini (2)

BERSANDARKAN dengan pengalaman peribadi, baru-baru ini ketika melepaskan lelah di warung kopi sambil menikmati roti bakar kedengaran perbualan di meja berhampiran membincangkan suatu perkara.

Mereka duduk semeja berkumpulan dan berkemungkinan besar mereka merupakan rakan taulan yang biasa bertemu.

Oleh kerana nada suara yang agak tinggi sememangnya jelas kedengaran topik perbualan apabila salah seorang dari mereka mempelopori perbincangan tersebut.

Perbualan berkaitan sesuatu yang tular di media tetapi bukan itu yang menjadi perhatian. Perhatian tertumpu kepada gaya dan cara individu tersebut menjuarai topik perbincangan hingga rakan lain menganggukkan kepala tanda setuju.

Memang tidak dinafikan bahawa beliau mempunyai kawalan pandangan ke atas rakan-rakannya walaupun sesekali kedengaran celahan suara tidak bersetuju memecah sunyi. Perbualan hebat ini rupa-rupanya membicarakan tentang jelajah pra musim bola sepak Liga Perdana Inggeris.

Maklumlah permulaan musim baharu liga akan bermula akhir Ogos ini dan sudah semestinya menjanjikan detik perlawanan yang menarik.

Kesemua perbincangan adalah bersumberkan berkenaan laporan khas bola sepak, berita sukan dan klip perlawanan di media massa dari sudut yang pelbagai. Berawalan daripada keputusan perlawanan, perpindahan pemain, pengurusan baharu, konflik dalaman pasukan dan kehebatan aksi pemain sebagai penutup tirai perbualan.

Dari sudut perspektif komunikasi, keadaan ini dikenali sebagai pengaruh pemimpin pendapat. Pemimpin pendapat secara amnya merupakan mereka yang menjadi perantara diantara kandungan media dengan individu, kumpulan atau masyarakat. Pemimpin pendapat ini akan menjalankan fungsinya sebagai pemudah cara bagi tujuan pemahaman berdasarkan sesuatu kandungan media yang diperbincangkan.

Walaupun ada antara mereka telah menerima kandungan media secara terus berdasarkan pemahaman individu namun pemimpin pendapat masih mampu menjalankan fungsinya dalam membawakan perubahan dari sudut penerimaan atau penolakan sesuatu kandungan media.

Ia merupakan struktur komunikasi dua peringkat dimana pemimpin pendapat menjadi penghubung atau orang tengah antara sesuatu kandungan media yang sampai kepada golongan sasaran dalam konteks pengukuhan pemahaman.

Makanya keberkesanan maklumat yang disampaikan melalui media massa ke atas seseorang individu ataupun kumpulan mungkin akan terkesan ekoran pengaruh dari pemimpin pendapat dalam konteks menerima ataupun menolak maklumat berkenaan.

Persoalannya, sejauhmana pemimpin pendapat ini mampu mempengaruhi dan seterusnya mengubah persepsi individu terhadap kandungan media yang diterima? Jawapan yang mendasarinya adalah bersifat kompleks iaitu ia bergantung kepada siapakah yang menjadi perantara atau pemimpin pendapat tersebut.

Secara umumnya, pemimpin pendapat hanya akan mampu menjalankan fungsi dalam mentafsir dan memberi pengukuhan pemahaman dalam konteks kandungan media seandainya individu tersebut mempunyai sifat yang boleh dipercayai atau diyakini bersesuaian dengan perkara yang menjadi tumpuan. Pentafsirannya adalah berdasarkan penelitian, tanggapan dan kelayakan membina narratif yang diinginkan.

Pemimpin pendapat harus mempunyai kepandaian berkenaan perkara tersebut, pengalaman yang tidak boleh diperlekehkan dan mempunyai nama yang baik dimata umum. Tanggapan ini penting dalam proses menarik minat mereka untuk mempedulikan, mengakui dan membenarkan penghujahan bagi melengkapkan pemahaman kandungan media yang diterima.

Bukan mudah untuk menguasai persepsi apatah lagi untuk mengubah tingkah laku masyarakat jika tidak mempunyai tahap kebolehpercayaan yang sepatutnya.

Tidak hanya bersandarkan dengan kebolehpercayaan semata-mata tetapi pemimpin pendapat juga harus pintar dalam aturan penyampaianya. Ia bukan seperti penglipur lara yang lunak dalam melontarkan berkata-kata pujangga malah memerlukan lebih dari itu. Sokongan bukti atau fakta dalam penyampaian adalah paksi utama ketika mengemukakan pendapat.

Tak kira bukti yang bersandarkan kepada catatan sejarah, pendapat tokoh atau ilmuan terdahulu, penemuan kajian berdasarkan perangkaan dan gabungan data tertentu atau perihal lain yang mampu menyokong pendapat mereka terhadap sesuatu kandungan media.

Rangkuman pembuktian ini akan dijadikan sandaran dalam mempengaruhi khalayak. Maka ia mudah membina keyakinan bagi mereka mempercayai kerana sokongan pembuktian mewajarkan unsur munasabah yang diperlukan.

Untuk memastikan aspek kebolehpercayaan berada pada tahap optimum, pemimpin pendapat harus dengan bijak mengatur rentak emosi yang berpadanan dengan topik perbincangan. Fasa keyakinan masyarakat akan bertambah apabila mereka merasai emosi yang dijelmakan oleh pemimpin pendapat dalam menjadi penghubung terhadap garapan yang diciptakan.

Jalinan emosi yang wujud akan memudahkan penyampaian dan menzahirkan keyakinan dalam kewajaran. Lantunan suara, gaya percakapan, pergerakan anggota badan dan penguasaan pertuturan selaras dengan intipati kandungan media mengundang keselesaan serta mampu membentuk hubungan baik dengan masyarakat.

Berbalik pada situasi di warung tadi, dapat disimpulkan bahawa jika individu berkenaan ingin menjadi pemimpin pendapat yang berkesan maka dia harus memiliki latar belakang atau lakaran kejayaan dalam bidang sukan terutamanya bola sepak dalam membina tahap keyakinan rakan-rakan yang lain untuk memperakukan pendapatnya.

Individu berkenaan juga harus bijak dalam menganalisis fakta sejarah kesemua pasukan musim terdahulu bagi menonjolkan kewibawaan pendapatnya seperti kedudukan pasukan dalam liga, keputusan perlawanan penting, senarai nama pemain, jaringan gol dan isu-isu yang berkaitan.

Menjejak memori dan kemahiran melakukan berbandingan antara musim, mampu untuk menyokong pembuktian bagi menguatkan pendapatnya.

Olahan pendapat akan terus mengancam pemikiran rakan-rakan lain apabila beliau berjaya menjalinkan semangat kebersamaan dalam lontaran dorongan kepada rakan-rakan untuk menonton perlawanan akan datang dengan menjelmakan harapan kemenangan pasukan pilihan.

Walaupun kesemua kriteria dipenuhi, namun ada ketikanya dirasakan pemimpin pendapat harus mempunyai pegangan dan landasan sewaktu menjadi perantara yang menghubungkan kandungan media dengan khalayak. Seharusnya ketika berbicara dalam membuat huraian harus berhati-hati iaitu tidak sehingga mengecewakan orang pada daya atau fasa yang tidak dapat mereka terima.

Kafahaman adalah corak dan gaya pemikiran individu. Mereka berhak dalam membuat pentafsiran, penilaian malah keputusan berdasarkan pemerhatian dan pengalaman mereka. Mereka juga memiliki naratif tersendiri berhubung kandungan media yang diterima.

Maka adalah wajar untuk menghargai perbezaan pandangan. Jadilah pemimpin pendapat yang tidak memihak atau berkecuali iaitu bukan untuk mempengaruhi tetapi cukup sekadar untuk melunaskan kekusutan jika diminta untuk memberi pandangan dengan komentar yang adil dan spektrum yang seimbang.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.