“Baru-baru ini, saya ada terbaca satu kajian yang dibuat pada tahun 2022 oleh University of California San Francisco yang mendedahkan belia berumur 18 hingga 39 tahun mengalami perubahan simptom kebimbangan (anxiety) yang tinggi iaitu 9 hingga 21 peratus dan kemurungan (depression) 9 hingga 39 peratus, berbanding individu daripada kumpulan umur yang lain,” kata Nurfilzah Emily Mohamad Khairuddin memulakan perbualan.
Mungkin agak janggal memulakan sebuah perbualan dengan sekilas fakta yang meresahkan seperti ini, namun ia sesuatu yang tidak memeranjatkan jika kita mengenali individu yang dilahirkan di Johor Bahru ini dengan lebih dekat.
Nurfilzah Emily, 25, sememangnya menjadikan bidang kesihatan mental dalam kalangan belia sebagai fokus minat dan kajian tahun akhirnya di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM).
“Walaupun dapatan kajian yang diterbitkan di jurnal antarabangsa itu mengkhususkan kepada tempoh pandemik Covid-19, saya percaya kesannya tetap dirasai sehingga kini.
“Lebih-lebih lagi dengan pelbagai perubahan drastik sosioekonomi dan geopolitik yang berlaku dalam tempoh pasca-pandemik ini.
“Di Malaysia, melalui pengamatan saya sendiri, ramai belia yang masih bergelut menyesuaikan diri di dalam kehidupan yang serba mencabar ketika ini terutamanya dalam menangani kenaikan kos sara hidup yang begitu ketara,” kata anak sulung daripada dua adik-beradik ini.
Pelajar tahun akhir jurusan sarjana muda kaunseling yang lebih dikenali sebagai Elly dalam kalangan rakan-rakannya ini turut aktif di luar dewan kuliah.
Beliau pernah menyertai misi sukarelawan kendalian Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi di Semporna, Sabah pada tahun 2018 dan mengendalikan program menyantuni penduduk PPR Sri Pantai, Kuala Lumpur pada tahun 2022.
Minat dalam bidang sukarelawan turut membawanya mempelajari bahasa isyarat bagi menjayakan sebuah program bersama OKU kendalian Malaysian Relief Agency (MRA).
Dalam kesibukan sebagai seorang mahasiswa universiti, Elly turut menyertai satu program pertukaran pelajar antarabangsa di Universitas Negeri Surabaya (UNESA), Indonesia pada tahun 2023.
Selain itu, peminat masakan asam pedas dan masak lemak ini juga sempat meluangkan masa berkhidmat dalam Persatuan Kaunseling Universiti Malaya (PERKUM) dan Perwakilan Parlimen Wanita Muda Kawasan Lumut, Perak.
“Saya percaya penglibatan aktif sebegini mampu membina jati diri seorang graduan yang bakal menyertai masyarakat kelak.
“Tambahan pula, saya bercita-cita untuk menjadi kaunselor berdaftar dan seterusnya menyambung pengajian untuk mengejar impian menjadi seorang kaunselor pada suatu hari nanti.
“Saya yakin penglibatan sebegini akan mempersiapkan saya ke arah itu dengan pengalaman berharga mendekati pelbagai segmen masyarakat,” kata Elly penuh yakin.
Si penyayang kucing yang pernah menjadi “cat groomer” separuh masa suatu masa dahulu ini merupakan bekas pelajar diploma kaunseling Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, Perak.
Elly mengakui minatnya terhadap bidang kesihatan mental belia ini berputik apabila diperkenalkan kepada teori personaliti diri semasa di USAS.
“Saya masih ingat lagi keterujaan saya menyelami kepentingan setiap daripada kita terutamanya belia, mempunyai kemahiran mengenali personaliti diri sendiri dan mereka yang berada di sekeliling.
“Kemahiran ini bukan sahaja membantu kita meneroka dinamik sebuah perhubungan sosial, malah turut membantu membina laluan kerjaya yang progresif dan bermakna untuk seorang belia,” tambahnya yang membesar di Seri Manjung, Perak.
Gadis petah yang tidak lokek dengan senyuman ini turut menjadikan selebriti serba boleh, Dr Soo Wincci sebagai suri teladannya.
“Bekas Miss World Malaysia 2008 ini bukan sahaja cantik di luaran, malah turut menjadikan ilmu pengetahuan sebagai pelengkap ‘kecantikan’ dalamannya dengan meneruskan pengajian sehingga ke peringkat PhD.
“Saya juga ingin menurut jejak pensyarah-pensyarah saya di Jabatan Psikologi dan Kaunseling Pendidikan UM yang meneruskan kajian di dalam bidang yang diminati sehingga ke peringkat pascaijazah,” terang alumni SMK Seri Manjung, Perak ini.
Sempena Hari Ibu yang disambut pada 12 Mei tahun ini, Elly mendedikasikan kejayaannya merangkul segenggam ijazah kelak khusus kepada kedua ibu dan bapanya yang banyak menyokong perjalanannya menuntut ilmu selama ini.
“Mungkin perjalanan saya agak lama berbanding orang lain kerana menempuhi pengajian diploma dahulu, namun saya percaya dengan ketentuan Tuhan yang tentunya lebih baik dan mengandungi pelbagai hikmah.
“Saya yakin kesemua cabaran dan halangan yang saya alami bakal mempersiapkan saya sebagai seorang kaunselor yang berjaya suatu hari nanti,” kata Elly mengakhiri perbualan.