Pemerkasaan Orang Asli diperkukuh melalui Program INDEP
Program berasaskan komuniti Orang Asli dilancarkan selari dengan Pindaan Pertama Akta Orang Asli 1954.

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2025 — Pesta RIMBA 2025 yang melabuhkan tirainya pada 1 Ogos lalu menyeru kepada perubahan paradigma dalam menangani isu hak dan pembangunan masyarakat Orang Asli, dengan penekanan terhadap pemerkasaan melalui kepimpinan komuniti serta dasar yang inklusif.
Festival tahunan anjuran Yayasan RYTHM, cabang impak sosial Kumpulan QI, itu diadakan sempena sambutan Hari Orang Asli Sedunia yang bakal berlangsung pada 9 Ogos ini. Pesta berkenaan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dari seluruh negara untuk memperkukuh suara dan keterlibatan komuniti Orang Asli dalam pembangunan dasar dan sistem yang menyentuh kehidupan mereka.
Dalam ucapannya, Pengerusi Yayasan RYTHM, Datin Seri Umayal Eswaran menegaskan bahawa pendekatan jangka panjang perlu diketuai oleh komuniti sendiri.

“Hari ini, kita berhimpun bukan sahaja untuk meraikan kekayaan budaya dan warisan Orang Asli tetapi juga untuk menyuarakan kisah dan pandangan mereka yang sering terpinggir.
Di Yayasan RYTHM, kami komited kepada penyelesaian berasaskan maruah dan direka bersama komuniti, bukan untuk Orang Asli tetapi bersama Orang Asli,” katanya.
Acara turut menyaksikan pelancaran logo rasmi Program Pembangunan Masyarakat Orang Asli (INDEP) yang diumumkan sebagai kesinambungan dan peluasan kepada Program Angkat Komuniti (CAP) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2021.
CAP Terajui Transformasi Akar Umbi
Sejak dimulakan tiga tahun lalu, CAP telah mentakrif semula pendekatan pemerkasaan komuniti Orang Asli dan Orang Asal. Ia menyasarkan transformasi sistemik, dengan menjadikan komuniti bukan sekadar penerima bantuan tetapi rakan kongsi aktif dalam mencorak masa depan yang mampan.
Antara pencapaian utama CAP termasuk:
Pendidikan & Literasi:
Program pembelajaran dan tuisyen selepas waktu sekolah telah dilaksanakan di Sabah, Pahang, Kedah dan Negeri Sembilan melalui inisiatif seperti Sikulah Bateq di Pahang dan PANAI 3M di Sabah.
Pemerkasaan Ekonomi:
Kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dan IIUM Pagoh memperkukuh keusahawanan digital dan inisiatif ekopelancongan komuniti Kensiu di Kedah serta komuniti Jakun di Johor.
Kepimpinan Wanita & Belia:
Di Ranau, Sabah, Yayasan RYTHM menyediakan platform bimbingan serta penglibatan sivik bagi wanita dan belia, sekali gus mendorong kepimpinan akar umbi.
Pemeliharaan Budaya:
Semua inisiatif menekankan penggunaan bahasa dan tradisi tempatan agar warisan budaya kekal subur selari dengan kemajuan komuniti.
Datin Seri Umayal menegaskan bahawa Yayasan RYTHM kekal konsisten dalam matlamatnya.
“Kerjasama kami dengan komuniti Orang Asli bukan sekadar sebuah program tetapi janji—janji keadilan, maruah, dan kemajuan bersama. Inisiatif mampu mengubah kehidupan, tetapi hanya dasar yang mengubah sistem,” ujarnya.
INDEP – Pendekatan Nasional Modular
Pelancaran INDEP hari ini menandakan satu peralihan penting ke arah model pembangunan nasional yang berskala dan inklusif. INDEP dibentuk berasaskan pengalaman dan pengajaran dari pelaksanaan CAP, dengan fokus terhadap keperluan unik setiap komuniti.
Ketua Yayasan RYTHM, Santhi Periasamy berkata, matlamat program ini adalah untuk mencipta sistem yang menghormati pengetahuan, tanah dan masa depan masyarakat Orang Asli.
“Tiada satu sektor pun mampu menyelesaikan pengecualian sistemik secara bersendirian. Namun melalui kerjasama antara sektor awam, swasta dan komuniti setempat, kita boleh menulis semula naratif pemerkasaan pribumi,” katanya.
INDEP bersifat modular dan menawarkan pelbagai sokongan dalam aspek kepimpinan, perusahaan sosial dan ekopelancongan serta pendidikan literasi. Dalam usaha meluaskan pelaksanaan program ini ke seluruh negara, Yayasan RYTHM mengalu-alukan kerjasama daripada NGO, institusi akademik, cabang CSR korporat dan agensi kerajaan.
“Bagi kami, pemerkasaan komuniti Orang Asli bukan projek bermusim tetapi komitmen jangka panjang yang berasaskan maruah, kerjasama dan keadilan,” tambah Santhi.
Rangka Kerja Baharu Untuk Inklusi dan Kepimpinan Komuniti
Pelancaran logo rasmi INDEP semasa Pesta RIMBA bukan sekadar simbol visual, tetapi cerminan satu rangka kerja kebangsaan bagi memperkukuh keterwakilan Orang Asli dalam pembangunan negara.
Antara contoh keberhasilan program CAP termasuk kisah Zulkifli Kulim, seorang peserta CAP Kedah yang kini bekerja sebagai malim gunung:
“Dulu, hidup di hutan bagi saya biasa saja. Saya tidak pernah terfikir membimbing orang lain menjelajah hutan dan gunung boleh menjadi kerjaya. Program seperti CAP ini membuka mata saya bahawa apa yang biasa bagi saya bukan sahaja dapat menyumbang kepada ekonomi diri dan komuniti setempat, malah turut memberi perkhidmatan bermakna kepada umum.”
Wati Tero, seorang pembantu guru dari CAP Kedah pula berkata: “Sangat mengagumkan melihat kanak-kanak yang dulu sukar mengenal huruf kini mula membaca, semua kerana ada yang percaya dan memberi mereka peluang.”
Seiring pelaksanaan INDEP di peringkat nasional, Yayasan RYTHM menyeru semua pihak untuk melangkaui retorik dan melibatkan diri dalam kolaborasi berterusan bagi membina masa depan yang benar-benar inklusif.