UPSI, Ningxia New Vision Education perkukuh kerjasama antarabangsa
MoA berkenaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan English Preparatory Course (EPC) yang dijajarkan dengan penilaian APTIS sebagai laluan berkualiti ke program prasiswazah UPSI.

Oleh: BAZLI RAZAK
TANJONG MALIM, 11 September 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Ningxia New Vision Education Management Co. Ltd., dari China bersama Ningxia Business Vocational School (NBVS) sebagai rakan pelaksana di Yinchuan bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan pada 9 September lalu.
MoA berkenaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan English Preparatory Course (EPC) yang dijajarkan dengan penilaian APTIS sebagai laluan berkualiti ke program prasiswazah UPSI.
Kursus itu bertujuan menyediakan pelajar untuk mengikuti pengajian dalam bahasa Inggeris sebaik sahaja memulakan pengajian di kampus berkenaan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus berkata, kerjasama itu memberi manfaat besar kerana EPC menekankan peningkatan kemahiran bahasa Inggeris berdasarkan ukuran penilaian luaran yang jelas.
“EPC membolehkan pelajar serta ibu bapa melihat kemajuan sebenar, bukan sekadar janji. New Vision akan mengurus aspek pengambilan pelajar dan logistik di Ningxia, NBVS menyediakan kemudahan pelaksanaan, manakala UPSI membekalkan tenaga pengajar pakar, bahan pengajaran, jaminan kualiti dan penyelarasan APTIS,” katanya pada majlis menandatangani MoA di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI di sini.
Beliau berkata, UPSI komited menyediakan persekitaran pembelajaran lengkap menerusi dua kampus moden di Tanjong Malim iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) dan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), yang dilengkapi kemudahan akademik, kediaman, kokurikulum, sukan dan kesejahteraan pelajar.
Sementara itu, Pengurus Besar Ningxia New Vision Education, Yu Zhiming berkata UPSI merupakan universiti pendidikan terkemuka dengan sejarah panjang dan budaya yang kaya, selain sentiasa mengutamakan pengantarabangsaan pendidikan.
“Sejak beberapa tahun lalu, New Vision telah membantu ribuan pelajar melanjutkan pengajian ke luar negara dan meraih kepercayaan berterusan daripada ibu bapa serta pelajar. Malah, kerjasama dengan UPSI bermula pada 2019 menerusi penubuhan Off-shore ELPC Training Center di Ningxia International Language College,” katanya.
Menurutnya, MoA yang ditandatangani hari ini merupakan kesinambungan kerjasama terdahulu dengan penambahbaikan melalui penubuhan Language Centre di China bagi menggabungkan sumber berkualiti kedua-dua pihak.
“Pusat bahasa ini akan membuka laluan lebih mudah dan berkesan kepada pelajar China untuk menyambung pengajian di UPSI. Dengan usaha bersama, kerjasama ini akan melahirkan bakat menyeluruh yang menguasai bahasa serta kemahiran untuk memenuhi keperluan masyarakat,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Penolong Pengetua NBVS, Prof. Zhang Jing; dan Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Prof. Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad.