Pendidikan, pemeliharaan biodiversiti dan pembangunan komuniti Orang Asli

Inisiatif Jangka Panjang UiTM–Yayasan Pulau Banding.

Feature Image (2)

KUALA LUMPUR, 30 September 2025 – Pejabat Komunikasi Strategik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Yayasan Pulau Banding melaksanakan Program Banding Trail dan Khidmat Komuniti di Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Banun, Gerik, yang turut mendapat sokongan World Heritage Volunteers (WHV) di bawah seliaan UNESCO.

Program ini menghimpunkan sukarelawan warga kerja Pejabat Komunikasi Strategik UiTM dan Yayasan Pulau Banding dalam pengemasan denai ataupun trail maintenance di Banding Trail dan juga pemasangan perangkap kamera untuk memantau aktiviti kehidupan liar di dalam kawasan Banding Trail.

Selain itu, menyantuni komuniti Orang Asli melalui bimbingan akademik, motivasi pembangunan diri serta penyerahan bantuan makanan kepada anak-anak Orang Asli.

Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik) UiTM, Prof. Dr. Ismie Roha Mohamed Jais berkata, program ini membuktikan peranan universiti bukan sahaja dalam pendidikan tetapi juga pembangunan komuniti.

“Kerjasama ini mendekatkan UiTM dengan masyarakat Orang Asli di samping memberi kesedaran tentang kepentingan memelihara biodiversiti. sokongan UNESCO WHV turut memperluas nilai program ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan EMKAY merangkap Penasihat Yayasan Pulau Banding, Datuk Fazwinna pula menegaskan kolaborasi ini akan diteruskan secara jangka panjang.

“Kami telah merangka usaha berterusan termasuk program pendidikan untuk anak-anak Orang Asli, penyelidikan biodiversiti Royal Belum serta penglibatan lebih ramai sukarelawan antarabangsa.

“Ini adalah komitmen bersama UiTM dan Yayasan Pulau Banding bagi membina masa depan yang mampan,” katanya.

Pengurus Pulau Banding Foundation merangkap Penyelaras World Heritage Volunteers, Zulfadhlan Ahmad Khushairi turut menyatakan sokongan penuh terhadap program ini.

“Banding Trail bukan sekadar aktiviti komuniti tetapi platform antarabangsa untuk menyemai kesedaran bahawa pendidikan dan pemeliharaan alam sekitar perlu bergerak seiring.

Usaha UiTM dan Yayasan Pulau Banding ini adalah contoh kolaborasi terbaik antara komuniti tempatan dan sukarelawan dunia,” katanya.