Mengintegrasi pendidikan karakter dalam PDP

Pelbagai bukti daripada bidang psikologi dan pendidikan menunjukkan bahawa isu pendidikan karakter ini penting dan bermakna bagi kita semua.

Feature Image (2)

SEKOLAH adalah diciptakan untuk mengajar membaca, menulis dan mengira iaitu menguasai kemahiran asas 3M. Namun demikian, sekolah juga merupakan tempat di mana anak-anak belajar untuk menjadi insan yang tinggi akal budinya, bukan sekadar menjadi manusia yang cerdik intelektualnya.

Di sebuah negara yang menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada berjuta rakyat daripada pelbagai kepercayaan dan etnik, pendidikan karakter dilihat mempunyai kepentingan dan kedudukan yang sama seperti subjek-subjek akademik yang lain.

Tanpa pendidikan berasaskan nilai yang berterusan seperti rasa hormat menghormati, bertanggungjawab dan daya tahan, institusi pendidikan akan hanya menghasilkan minda yang pandai tetapi lemah daripada segi nilai moral yang sangat diperlukan dalam sesebuah komuniti yang sihat dan bahagia.

Pelan tindakan pendidikan di Malaysia telah lama mengutarakan keutamaan pendidikan karakter iaitu menjadikan pendidikan berasaskan nilai dan pembentukan karakter sebagai objektif yang jelas dalam perancangan pembangunan kurikulum persekolahan.

Hari ini, hampir setiap bilik darjah sama ada pada tahap rendah atau menengah disarankan untuk menyokong pembangunan moral dan kelakuan sivik yang baik selari dengan peningkatan pencapaian dalam bidang akademik. Ia adalah satu tindakan yang wajar dan sangat diperlukan bagi sistem pendidikan yang menyediakan perkhidmatan bagi populasi pelajar yang berjumlah 7.5 juta, daripada peringkat prasekolah sehingga ke peringkat pendidikan tinggi.

Bercakap tentang pendidikan karakter, bagaimana pendidikan ini sebenarnya diamalkan? Analisa kurikulum dan semakan polisi menerangkan sekolah yang memperkenalkan nilai-nilai berstruktur yang juga dikenali sebagai nilai-nilai murni, diintegrasikan ke dalam subjek-subjek, aktiviti-aktiviti ko-kurikulum dan program-program lain di sekolah.

Sesetengah kajian menyatakan sistem pendidikan di Malaysia mempunyai satu senarai nilai-nilai murni ini. Ia terdiri daripada 16 item dan selalu digunakan dalam pembangunan polisi dan aktiviti bilik darjah, antaranya ialah kebaikan hati, keberanian dan juga rasa terima kasih.

Objektifnya mudah dan jelas iaitu mencipta ruang dan peluang yang bersifat berulangkali bagi pelajar-pelajar mengamalkan tabiat yang baik supaya kelakuan beretika ini menjadi tabiat kendiri yang kekal, bukan hanya dibuat apabila disuruh.

Pelbagai bukti daripada bidang psikologi dan pendidikan menunjukkan bahawa isu pendidikan karakter ini penting dan bermakna bagi kita semua. Penyelidikan dalam kemahiran bukan kognitif seperti kawalan kendiri, keberanian dan ketabahan diri, memaparkan jenis karakter seringkali dijadikan faktor untuk meramal pencapaian dan kesejahteraan jangka panjang. Indikator ini dikira boleh dipercayai sama seperti penunjuk darjah kecerdasan.

Profesor Angela Duckworth yang terkenal dengan idealogi keberanian, menegaskan ketabahan dan semangat yang tinggi dalam mencapai matlamat jangka panjang merupakan kemahiran-kemahiran yang boleh dipupuk di sekolah menerusi aktiviti-aktiviti yang berfokus kepada daya tahan dan tujuan yang jelas. Beliau menambah lagi, apa yang penting dalam tempoh jangka panjang, fokus perlu diperuntukkan kepada tugas tersebut dan diusahakan setiap hari bagi meningkatkan pencapaian dan kualiti.

Pada masa yang sama, pendidikan karakter bukanlah satu kurikulum yang boleh bergerak sendiri. Kebanyakan pakar global bersetuju bahawa pelaksanaannya perlu merentasi semua domain dalam kurikulum. Profesor Thomas Lickona, figura pendidikan karakter moden, memberi peringatan kepada para pendidik bahawa pendidikan karakter membantu pembentukan persekitaran yang saling menyayangi dan mempelajari di sekolah.

Ia merupakan persekitaran yang dicipta oleh perancangan yang teliti, model peranan yang baik dan kerjasama daripada komuniti setempat yang konsisten. Oleh itu, menganggap ianya sekadar satu kandungan pembelajaran elektif dalam kelas adalah satu pemahaman yang kurang tepat.

Bagi sekolah-sekolah di Malaysia, peluang pelaksanaannya melibatkan dua komponen pendidikan yang penting. Pertama sekali, kurikulum dan dasar kebangsaan perlu mentakrifkan nilai-nilai yang boleh dikongsi dalam komuniti pelbagai bangsa dan agama.

Keduanya, sekolah-sekolah boleh menjalankan rutin harian seperti perhimpunan, kerja berkumpulan, interaksi antara pelajar dan guru, dan projek menyumbang khidmat kepada masyarakat, untuk memupuk nilai-nilai murni supaya menjadi tabiat hidup yang bagus bagi para pelajar.

Apabila seorang anak mengamalkan sifat rendah hati, jujur atau kerjasama secara berterusan di sekolah, kelakuan-kelakuan ini mudah dipindahkan ke dalam institusi keluarga, tempat kerja dan kehidupan bersama masyarakat.

Cabarannya tetap ada bagi pelaksanaan pendidikan karakter di negara kita. Para guru memerlukan masa, latihan dan kandungan kurikulum untuk mengajar nilai-nilai murni dengan jelas dan menunjukkannya kepada para pelajar sama ada secara langsung atau tidak.

Selain itu, ahli-ahli keluarga dan komuniti masyarakat perlu bersama dalam usaha ini, bukan sekadar membiarkan pihak sekolah menerajuinya sendiri. Seterusnya, polisi pendidikan yang digubal tidak hanya merujuk pencapaian akademik sebagai penunjuk kejayaan sekolah, tetapi mencakupi terma yang lebih luas termasuk pengurangan kes buli, penyertaan sivik yang semakin meningkat dan kesejahteraan sosial emosi yang tinggi.

Kesimpulannya, pendidikan karakter bukanlah satu subjek tambahan tetapi lebih kepada pelaburan praktikal dalam sesebuah masyarakat supaya dapat berfungsi dengan baik. Sekiranya institusi pendidikan melahirkan para graduan yang tinggi pencapaian akademiknya, tetapi lemah dari segi kemahiran sosial, kita akan melihat kesan jangka panjang yang tidak baik, misalnya kepercayaan masyarakat yang lemah dan persekitaran tempat kerja yang negatif.

Dengan pelaksanaan pendidikan karakter yang sistematik, kesedaran yang tinggi dan melibatkan komuniti masyarakat, sekolah-sekolah di negara kita boleh melahirkan anak-anak muda yang bukan sahaja berkemahiran, malah sopan tutur kata dan bijak kelakuannya.

Seperti peribahasa yang biasa disebut, melentur buluh biarlah dari rebungnya, maka, pendidikan karakter perlu menjadi keutamaan negara untuk dilaksanakan di peringkat prasekolah lagi, dalam kalangan anak-anak yang masih kecil.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.