UM perkasa kemahiran pertolongan cemas melalui MyResQ
Inisiatif MyResQ diharap menjadi pemangkin revolusi kesedaran pertolongan cemas dalam kalangan rakyat Malaysia.
11 November 2025 – Suasana sibuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching bertukar cemas apabila seorang lelaki tiba-tiba rebah di balai ketibaan. Nafasnya terhenti, nadi tiada. Namun, di tengah kekalutan itu, seorang wanita muda tampil sebagai wira.
Dengan tenang, beliau memulakan tekanan dada, sementara alat Automated External Defibrillator (AED) digunakan. Beberapa saat kemudian, denyutan nadi kembali dan nyawa berjaya diselamatkan.
Kejadian dramatik pada April 2025 ini tular di media sosial, dengan ribuan netizen memuji keberanian dan tindakan pantas wanita tersebut. Namun tidak semua cerita berakhir sebegitu baik.

Pada Kejohanan Badminton Remaja Asia 2024 di Yogyakarta, suasana riang bertukar tragedi apabila pemain muda China, Zhang Zhijie, 17 tahun, rebah di gelanggang. Tiada bantuan CPR atau defibrilasi segera diberikan. Detik kritikal berlalu tanpa tindakan — dan nyawa Zhang tidak dapat diselamatkan.
Dua insiden berbeza, dua pengakhiran berlawanan. Namun mesejnya jelas iaitu masa adalah musuh utama dalam usaha kita menyelamatkan nyawa.
Jurang kritikal
Kajian di Melaka pada 2019 mendedahkan hakikat mengejutkan iaitu daripada 1,780 kes Out-of-Hospital Cardiac Arrest (OHCA), hanya dua (0.11 peratus) mangsa menerima CPR daripada orang awam.
Menurut statistik, setiap minit kelewatan memberikan defibrilasi meningkatkan risiko kematian antara 10 hingga 12 peratus. Kelewatan empat hingga lima minit dalam melakukan CPR pula boleh menurunkan peluang hidup mangsa sebanyak 27 peratus. Sebaliknya, defibrilasi awal dalam tiga hingga lima minit pertama mampu meningkatkan kebarangkalian mangsa hidup antara 50 hingga 70 peratus.
Sesungguhnya setiap saat itu amat berharga, dan setiap tangan mampu menyelamatkan nyawa.
UM dan inisiatif MyResQ
Menyedari kepentingan ini, Universiti Malaya melalui Inisiatif MyResQ tampil memperkasa masyarakat dengan ilmu dan kemahiran pertolongan cemas. Program ini dibiayai oleh Yayasan Inovasi Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan diketuai Pensyarah Jabatan Perubatan Kecemasan, Universiti Malaya, Dr. Mohd Hafyzuddin Md. Yusuf serta disokong oleh Pusat Jalinan Masyarakat Universiti Malaya (UMCares).

Beliau dibantu oleh Dr. Mohd Afiq Mohd Nor, pengasas bersama aplikasi MyResQ dan Yang Dipertua Ikram Health serta Pakar Perubatan Kecemasan di KPJ Tawakal, Dr. Mohammad Aizuddin Azizah Ariffiin.
Melalui kerjasama Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA), MyResQ telah menjelajah pelbagai kawasan termasuk DUN Lembah Jaya dan Seri Kembangan, melatih masyarakat dalam kemahiran CPR, penggunaan AED serta tindakan kecemasan.
Program ini dijangka diperluaskan ke 10 lokasi lagi pada tahun 2025 dan 2026 dengan matlamat melahirkan lebih ramai penyelamat komuniti berdaftar di bawah platform MyResQ.
Gerakan global
Pada 27 September 2025, bersempena FIMA Lifesavers Day, Inisiatif MyResQ turut berkolaborasi bersama Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM) bagi mengadakan latihan CPR di Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah, Shah Alam.
Program ini merupakan sebahagian daripada gerakan global di bawah Federation of Islamic Medical Associations (FIMA), yang bertujuan mendidik masyarakat dunia tentang pertolongan cemas sempena World Heart Day.
Di Malaysia, aktiviti ini dijalankan serentak di pelbagai lokasi termasuk Masjid Negara, Masjid Bandar Seri Putra, dan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah IIUM.

Peserta diajar teknik CPR untuk dewasa dan bayi, Heimlich Maneuver dan penggunaan AED. Pendek kata — ilmu asas yang boleh membezakan antara hidup dan mati.
Dr Mohd Hafyzuddin berkata, inisiatif MyResQ menggunakan prinsip asas dan menekankan langkah mudah namun kritikal yang boleh diingati semua yang menggunakan akronim ‘DRS ABCD’.
“DRS merujuk kepada Danger, Response dan Shout iaitu tiga perkara pertama yang sepatutnya didahulukan apabila kita berada dalam situasi cemas sedemikian. Kita perlu memastikan mangsa berada dalam kawasan yang selamat, memeriksa reaksi mangsa dan menghubungi talian 999 dengan segera.
“ABCD pula merujuk kepada empat langkah CPR yang patut dimulakan segera iaitu Airway, Breathing, Compression, dan Defibrillation. Kita perlu memastikan laluan udara mangsa tidak terhalang, memeriksa nafas mangsa selama 10 saat, menekan dada mangsa 100-120 kali dalam masa seminit dengan kedalaman 5 hingga 6cm dan akhir sekali menggunakan AED, jika ada,” katanya.
Menuju masyarakat penyelamat
Dengan usaha berterusan daripada Universiti Malaya, Ikram Health dan agensi rakan strategik, Inisiatif MyResQ diharap menjadi pemangkin revolusi kesedaran pertolongan cemas dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ini adalah kerana pada akhirnya, setiap detik dan setiap tindakan boleh menjadi penentu harga sebuah nyawa, dan penyelamatnya mungkin adalah anda sendiri.
