Kemajuan teknologi AI harus berpaksi prinsip Rabbani

AI hanyalah alat bantu yang direka untuk memudahkan urusan manusia, bukan penentu takdir atau pengganti kebijaksanaan insan.

Feature Image

PERKEMBANGAN kehidupan manusia dalam arus kemajuan teknologi masa kini menuntut kepada pemerkasaan nilai-nilai murni serta kefahaman yang mendalam terhadap kepentingan etika dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Penggunaan teknologi AI tanpa disertai panduan etika dan tanggungjawab kepenggunaan berpotensi menimbulkan pelbagai kesan negatif yang akhirnya membawa kepada kemerosotan nilai moral dalam kalangan masyarakat.

Oleh itu, penekanan terhadap pembangunan dan penggunaan AI secara beretika perlu dilaksanakan seiring dengan kemajuan teknologi yang terus berkembang tanpa batasan.

Matlamat utama kerajaan Malaysia dalam memperkasa penggunaan teknologi AI pada masa hadapan adalah untuk meningkatkan kreativiti manusia, memperkukuh keharmonian komuniti serta memperkayakan semangat kemanusiaan.

Pendekatan ini bertepatan dengan objektif syariah yang menekankan kepentingan penguasaan ilmu dan teknologi sebagai satu bentuk masalah kepada umat manusia. Akhirnya, usaha ini akan melahirkan insan yang berpengetahuan, berakhlak dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat sejajar dengan prinsip maqasid al-syariah dalam memelihara akal, maruah serta kemaslahatan sejagat.

Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) pada masa kini telah merentasi batas umur, kedudukan dan lokasi, menjadikannya dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat. Manfaat AI merangkumi pelbagai sektor penting seperti pendidikan, komunikasi, ekonomi, pengangkutan, kesihatan dan pertanian, yang secara langsung menyumbang kepada peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan manusia.

Fenomena ini menunjukkan bahawa penggunaan teknologi AI bukan lagi bersifat pilihan, sebaliknya telah menjadi satu keperluan asas dalam kehidupan moden.

Kepentingan etika dalam penggunaan teknologi AI turut ditekankan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada Oktober 2025. Beliau menegaskan peranan AI sebagai mekanisme utama yang harus berkhidmat kepada manusia tanpa menenggelamkan nilai kemanusiaan. Integrasi antara kepintaran manusia dan kecerdasan buatan menjadi pemangkin utama dalam melahirkan pengguna teknologi yang rasional, beretika dan berkeupayaan menilai secara bijaksana tanpa menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab keputusan kepada mesin.

Pendekatan ini selaras dengan prinsip maqasid al-syariah yang menuntut keseimbangan antara kemajuan teknologi dan pemeliharaan nilai-nilai kemanusiaan, agar AI terus berfungsi sebagai alat bantu yang memperkasa manusia, bukan menggantikan fitrah serta kebijaksanaan akliah yang dianugerahkan oleh Allah SWT.

Cadangan pembangunan etika penggunaan AI berteraskan nilai-nilai Islam dapat dirumuskan melalui kerangka TAQIT. Kerangka ini merangkumi iaitu Tabayyun (verifikasi dan pengesahan maklumat yang diperoleh), Akhlaq (penekanan terhadap nilai-nilai murni dalam komunikasi dan muamalat), ‘Aql (rasional dalam membuat keputusan), Integriti (amanah dan jujur dalam penggunaan teknologi), serta Taqwa (kesedaran bahawa setiap tindakan diperhatikan oleh Tuhan Yang Maha Pencipta).

Etika penggunaan AI yang berasaskan nilai-nilai murni dalam konsep TAQIT berfungsi sebagai kompas moral yang bersifat universal kerana prinsip-prinsipnya selari dengan nilai-nilai kemanusiaan yang menjadi tunjang kepada semua agama di dunia.

Pendekatan ini menegaskan bahawa teknologi AI harus berperanan sebagai alat yang berkhidmat kepada manusia tanpa menenggelamkan nilai kemanusiaan, sebaliknya memperkukuh keseimbangan antara kemajuan teknologi dan tuntutan akhlak, intelek serta spiritual.

Kesan negatif yang timbul daripada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) pada hakikatnya menuntut kepada integrasi kepintaran manusia dalam mengawal dan menyelia teknologi tersebut.

Masyarakat perlu menyedari bahawa AI hanyalah alat bantu yang direka untuk memudahkan urusan manusia, bukan penentu takdir atau pengganti kebijaksanaan insan. Oleh itu, penggunaan AI hendaklah dilakukan dengan penuh hemah, pertimbangan rasional dan kesedaran etika, agar teknologi ini tidak menjejaskan nilai kemanusiaan dan ketundukan terhadap kekuasaan Ilahi.

Sehubungan itu, pengguna teknologi AI di Malaysia perlu mendukung amalan penggunaan AI secara beretika, sebagai langkah memperkukuh keilmuan, mempercepat inovasi dan membina masyarakat bertamadun yang berteraskan nilai-nilai murni.

Matlamat akhir pembangunan dan penggunaan teknologi AI seharusnya menatijahkan pemerkasaan kreativiti manusia, pengukuhan hubungan komuniti serta pengayaan jiwa kemanusiaan yang berpaksikan prinsip Rabbani iaitu keseimbangan antara kemajuan teknologi dan pengabdian kepada Pencipta dengan menjadikan nilai-nilai murni dipaksikan dalam penggunaan teknologi pada masa kini.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.