Menyingkap formula perpaduan di sebalik larutan asid dan bes
Perpaduan tidak semestinya lahir dalam suasana ceria atau sambutan rasmi. Adakalanya kita bersatu kerana takut terhadap ancaman, simpati pada penderitaan, atau marah pada kezaliman.

TATKALA memerhatikan para pelajar menjalankan eksperimen tindak balas antara asid dan bes di dalam makmal, saya terfikir bukankah tindak balas kimia ini mengajar kita sesuatu tentang perpaduan masyarakat majmuk?
Tindak balas peneutralan menghasilkan dua hasil utama iaitu air dan garam. Asid dan bes boleh diibaratkan sebagai rakyat pelbagai kaum, agama dan latar sosioekonomi, proses peneutralan pula seumpama keharmonian, manakala pembentukan molekul air melambangkan perpaduan yang terjalin.
Jenis garam yang terbentuk mengekalkan identiti ion asal daripada asid dan bes, seolah-olah asimilasi kaum tidak memerlukan seseorang meninggalkan budaya dan agama masing-masing.
Sains mengajar kita bahawa daripada pelbagai unsur yang berbeza sifat dan kekuatan, akhirnya lahir keseimbangan baharu yang lebih stabil. Bukankah itu juga impian kita terhadap Malaysia, sebuah negara yang terus kukuh berdiri kerana keindahan perbezaan yang dirangkul sebagai kekuatan?
Namun, bagi mencapai keseimbangan itu, formula campuran yang tepat amat penting. Dalam masyarakat berbilang kaum, formula kehidupan mestilah berteraskan hormat, menghargai perbezaan dan saling membantu.
Perpaduan tidak semestinya lahir dalam suasana ceria atau sambutan rasmi. Adakalanya kita bersatu kerana takut terhadap ancaman, simpati pada penderitaan, atau marah pada kezaliman.
Ada juga waktunya kita bersatu dalam keresahan ketika kebenaran belum terjawab. Semua emosi ini berbeza, tetapi bertemu pada benang halus yang sama iaitu kesanggupan mengetepikan perbezaan demi tujuan yang lebih besar, seumpama ion-ion yang berganding mencapai kestabilan.
Perpaduan dalam pelbagai dimensi emosi
Tatkala pandemik COVID-19 melanda, kita bersatu mematuhi arahan demi mengekang wabak. Barisan hadapan mengorbankan masa, NGO dan orang perseorangan tampil memberi bantuan tanpa soal.
Tiada siapa menyoal agama atau bahasa ketika menghulur bantuan. Ketika ketakutan menyatukan kita, kemanusiaan menenggelamkan segala garis perbezaan. Seperti larutan asid dan bes yang mencapai titik neutral, ketegangan turut reda apabila semua pihak bersedia bertindak mengikut formula yang sama.
Jika wabak menyatukan kita di saat cemas, tragedi kemalangan bas yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula menunjukkan perpaduan di kala sedih.
Kejadian meragut 15 nyawa itu menjadi salah satu nahas paling tragis. Kesedihan seolah-olah memadamkan batas-batas perbezaan. Rakyat tanpa mengira latar belakang tampil menghulur sumbangan dan doa.
Namun di sebalik simpati, lahir kesedaran kolektif bahawa nyawa tidak boleh dikorbankan kerana kelemahan sistem. Daripada sebuah duka, timbul tuntutan agar tragedi tidak berulang.
Jika tragedi bas menyatupadukan masyarakat dalam kesedihan, kes kematian Zara Qairina pula menyatukan rakyat dalam keresahan. Misteri kehilangannya menimbulkan suara bersama menuntut penjelasan, mendesak siasatan telus dan menegakkan keadilan. Tiada hati yang rela melihat nyawa seorang anak kecil berlalu tanpa pembelaan.
Tidak dilupakan, video tular yang memaparkan sekumpulan pempengaruh memberi nasi berisi tulang ayam kepada seorang gelandangan semata-mata demi tontonan.
Tindakan ini jelas memperlihatkan keutamaan publisiti berbanding empati. Namun lebih signifikan ialah reaksi rakyat. Warga maya mempertahankan maruah golongan gelandangan, menegaskan kebajikan tidak boleh dijadikan bahan senda. Suara rakyat bergema menolak kepalsuan dan menyeru kepada nilai ihsan yang tulus.
Inilah yang diangkat dalam tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.
Ungkapan ini bukan sekadar slogan kerajaan tetapi seruan kepada seluruh warga untuk saling menyantuni, memahami dan memanusiakan. Ia bermula dengan rakyat sendiri, dari meja makan keluarga hingga ke isu-isu besar seperti keadilan dan kebajikan.
Menyantuni bukan sekadar memberi, tetapi menjiwai sensitiviti orang lain lalu menterjemahkannya dalam tindakan. Sifat ini ibarat pelarut yang meredakan ketegangan, melunturkan ego dan memungkinkan tindak balas sosial yang lebih harmoni.
Amaran sejarah dan formula generasi baharu
Sejarah pernah mengajar kita dengan cara paling pahit. Tragedi 13 Mei 1969 meragut ratusan nyawa, ribuan kehilangan tempat tinggal dan Kuala Lumpur lumpuh di bawah darurat.
Ia merobek kepercayaan antara kaum. Namun daripada luka itu lahir keinsafan nasional bahawa tiada siapa untung apabila perpecahan menguasai masyarakat. Sejak itu lahir dasar-dasar perpaduan yang mengingatkan kita bahawa keharmonian bukan hadiah percuma tetapi hasil daripada pengorbanan dan iktibar sejarah.
Setengah abad berlalu, sejarah tetap berpesan agar kesilapan tidak diulangi. Bendera ialah saksi kepada sejarah itu, lambang penyatu rakyat dalam suka dan duka. Maka insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik, yang malangnya berulang saban tahun, bukan perkara remeh.
Ia menyinggung maruah bangsa. Reka bentuk bendera kita jelas, dengan petak biru, bulan sabit dan bintang 14 bucu yang mudah dikenal pasti. Maka alasan tersilap pasang tidak wajar kerana mencerminkan kecuaian yang menyentuh sensitiviti rakyat.
Maruah itu bukan milik satu kaum tetapi seluruh rakyat Malaysia. Jika tidak ditangani dengan bijaksana, ia boleh menimbulkan salah faham dan meretakkan keharmonian.
Di sinilah pendidikan berperanan sebagai makmal sosial. Generasi muda harus diajar bahawa hormat bukan sahaja terhadap sesama manusia tetapi juga terhadap lambang negara.
Mereka perlu memahami bahawa kepelbagaian bukan ancaman, sebaliknya unsur penting yang memacu kesefahaman. Jika generasi baharu menghayati hakikat ini, bangsa kita akan sentiasa mencari keseimbangan, sebagaimana ion-ion yang tidak pernah berhenti bergerak untuk mencapai kestabilan.
Inilah formula sebenar sebuah bangsa Merdeka kerana kemerdekaan sejati bukan sekadar pada usia negara tetapi pada keupayaan rakyat mengekalkan keharmonian. Warisan paling bernilai untuk generasi mendatang. Itulah janji kemerdekaan yang mesti dipertahankan.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.