AL-SALĀM REIT CATAT PRESTASI 1H 2026 LEBIH BAIK, DISOKONG SUMBANGAN SEGMEN RUNCIT DAN PEJABAT

Screenshot 2026-09-01 091812

KUALA LUMPUR, 1 September 2026 – JLG REIT Managers Sdn Bhd., Pengurus Al-Salām Real Estate Investment Trust (Al-Salām REIT), hari ini mengumumkan keputusan kewangan bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (Suku Kedua 2026).

Bagi 1H 2026, Al-Salām REIT mencatat hasil RM45.2 juta, meningkat 4.1% berbanding RM43.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu. Peningkatan didorong sumbangan lebih tinggi daripada KOMTAR JBCC berikutan kadar sewa purata lebih tinggi serta Menara KOMTAR susulan peningkatan kadar penghunian. Ini sebahagiannya diimbangi sumbangan hasil lebih rendah daripada hartanah QSR berikutan pelupusan KFC Drive-Thru Jalan Kuchai Lama tahun lalu.

Pendapatan Hartanah Bersih (NPI) meningkat kepada RM31.9 juta daripada RM29.5 juta, disokong perbelanjaan hartanah lebih rendah. Kos kewangan turut menurun hasil penjimatan daripada Program Sukuk Wakalah RM455 juta yang diselesaikan pada November 2025, yang membawa kadar keuntungan lebih rendah berbanding kemudahan pembiayaan terdahulu. NPI lebih tinggi dan kos kewangan lebih rendah meningkatkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) kepada RM11.7 juta berbanding RM6.3 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Al-Salām REIT mengisytiharkan pengagihan pendapatan interim kedua sebanyak 0.86 sen seunit bagi Suku Kedua 2026, menjadikan jumlah pengagihan bagi 1H 2026 sebanyak 1.82 sen seunit, meningkat 85.7% berbanding 0.98 sen seunit pada 1H 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurus, Zulhilmy Bin Kamaruddin, berkata, “Prestasi separuh pertama tahun ini mencerminkan kemajuan berterusan aset utama dalam portfolio kami. KOMTAR JBCC kekal sebagai komponen penting. Enam penyewa baharu menyertai KOMTAR JBCC setakat 2026, merangkumi F&B, farmasi dan kesihatan, serta kecantikan dan kesejahteraan, menyokong usaha pengubahsuaian dan penstrukturan semula campuran penyewa.

“Dengan campuran penyewa lebih segar dan pelbagai, KOMTAR JBCC berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan pertumbuhan perbelanjaan rentas sempadan dari Singapura ke Johor, disokong lokasi strategik dan tawaran runcit yang memenuhi permintaan utama.

“Projek Jejantas Pejalan Kaki yang menghubungkan KOMTAR JBCC secara terus dengan stesen RTS Bukit Chagar turut berjalan mengikut jadual. Dengan RTS Link disasarkan siap menjelang akhir tahun ini, projek ini dijangka menjadi pemangkin kepada jumlah kunjungan dan pertumbuhan kadar sewa KOMTAR JBCC. Peningkatan kadar penghunian Menara KOMTAR dan pengurusan kos berdisiplin turut menyokong NPI dan keuntungan bagi tempoh ini.

“Al-Salām REIT akan terus meningkatkan prestasi portfolio sedia ada melalui pengurusan aset aktif, inisiatif penyewaan dan pengurusan kos berdisiplin. Pengurus juga akan menilai peluang mengoptimumkan portfolio dan memperkukuh keupayaan REIT menjana pendapatan jangka panjang.”

Runcit – Pertumbuhan Kadar Sewa Berterusan

Segmen runcit mencatat hasil RM27.5 juta dan NPI RM17.0 juta bagi 1H 2026, berbanding RM25.5 juta dan RM14.5 juta pada 1H 2025. Prestasi disokong KOMTAR JBCC yang mencatat kadar sewa purata lebih tinggi.

Sektor runcit Malaysia kekal berdaya tahan pada 2026, disokong momentum pelancongan menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Johor 2026. Johor Bahru dijangka terus mendapat manfaat daripada peningkatan aliran pembeli rentas sempadan apabila RTS Link Johor Bahru-Singapura menghampiri sasaran siap menjelang akhir 2026.

Projek Jejantas Pejalan Kaki Al-Salām REIT sepanjang 42 meter yang menghubungkan KOMTAR JBCC dengan stesen RTS Bukit Chagar sedang dibangunkan selaras dengan jadual pembinaan RTS Link dan dijangka menjadi pemangkin kepada jumlah kunjungan apabila beroperasi. REIT juga terus mengoptimumkan campuran penyewa, meningkatkan kualiti penyewaan dan menarik jenama baharu berpotensi tinggi.

Perindustrian & Lain-lain – Hasil Stabil

Segmen perindustrian & lain-lain mencatat hasil RM5.9 juta dan NPI RM5.7 juta bagi 1H 2026, disokong pengaturan pajakan induk dan penyewaan jangka panjang yang memberikan keterlihatan pendapatan serta mengurangkan risiko kekosongan.

Pejabat – Kadar Penghunian Bertambah Baik

Segmen pejabat mencatat hasil RM3.7 juta dan NPI RM1.3 juta bagi 1H 2026, masing-masing meningkat 6.3% dan 15.6% tahun ke tahun. Peningkatan didorong kadar penghunian 92% berbanding 90% pada 1H 2025, disokong inisiatif untuk memperkukuh kadar penghunian dan prestasi aset.