Kesopanan, kesusilaan membina inspirasi anak yatim di UM

SEKUMPULAN 100 orang anak-anak yatim dari Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor telah mengikuti satu program unik anjuran Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim (YATIM) di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, termasuklah Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Program yang dinamai ‘Opening Young Eyes (OYEs) – Kembara Ilmu Rukun Negara’ turut disertai oleh lebih 20 orang guru pengiring.

“Siri program OYEs anjuran YATIM merupakan program berbentuk lawatan sambil belajar yang diadakan sepanjang tahun, khusus untuk anak-anak yatim yang terpilih dari seluruh negara.

“Kali ini, pembaharuan yang dibawa adalah dengan menjajarkan objektif lawatan dengan prinsip-prinsip Rukun Negara,” kata Pengarah Urusan YATIM, Salehhuddin Osman.

Untuk prinsip Rukun Negara yang pertama, Kepercayaan kepada Tuhan, para peserta telah dibawa melawat Masjid Negara.

Bagi prinsip kedua, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, mereka telah dibawa ke Istana Negara, termasuklah melawat ke Balai Rong Seri, di mana istiadat-istiadat rasmi dilaksanakan.

Bagi Keluhuran Perlembagaan, mereka telah di bawa ke Parlimen; manakala untuk Kedaulatan Undang-undang mereka telah dibawa melawat ke Muzium Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Pemilihan UM sebagai lokasi bagi prinsip kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, adalah dibuat bagi memenuhi objektif program secara ‘serampang dua mata’.

“Dalam satu sudut, membawa anak-anak yatim menjejakkan kaki ke universiti terunggul negara dan serantau ini bukan sahaja akan membantu menyuntik motivasi mereka untuk mencipta kecemerlangan di dalam pelajaran, malah turut membantu mencipta hala tuju dalam kehidupan.

“Ada dalam kalangan mereka, yang disebabkan kekurangan dan kekangan yang dihadapi, tidak mampu ‘melihat’ lebih jauh dari persekeliling yang mereka lihat setiap hari.

“Harapan saya agar lawatan ringkas ini mampu membuka mata mereka untuk melihat kemampuan diri sendiri untuk pergi sejauh mungkin di dalam kehidupan,” kata Salehhuddin.

sementara itu, mahasiswa tahun pertama jurusan undang-undang yang bertindak sebagai ketua pemudah cara program di UM, Muhammad Azri Nor Azman berkata, objektif program telah tercapai dengan jelas dan teratur.

“Dengan kerjasama sukarelawan dari Kolej Kediaman Ibnu Sina UM, pasukan saya diberi tugasan untuk menerapkan kepentingan adab dan akhlak yang baik dalam proses menuntut ilmu, sesuai dengan prinsip Rukun Negara kelima.

“Walaupun masa yang diberi agak singkat, namun cukup untuk kami melaksanakan beberapa modul aktiviti bersama para peserta yang kelihatan sungguh bersemangat,” katanya.

Seorang sukarelawan, Nur Liyana Nor Sham, mahasiswa tahun ketiga jurusan sains bioperubatan, turut berkongsi rasa kagumnya dengan kegigihan para peserta berusaha untuk mencipta masa depan yang lebih baik, walaupun dengan kekurangan yang ada.

“Dalam satu modul aktiviti di mana kami meminta mereka menuliskan cita-cita, seorang daripadanya menyatakan hasratnya untuk menjadi seorang doktor haiwan pada suatu hari nanti.

“Jawapannya mungkin kelihatan agak ringkas, namun telah membuatkan saya tersentuh dan turut menyuntik motivasi kepada saya sendiri untuk cemerlang di dalam pelajaran, walaupun terpaksa menempuhi pelbagai cabaran,” katanya.

“Program sebegini sememangnya digalakkan untuk dilaksanakan kerana bukan sahaja ia membentuk sahsiah dan kemenjadian diri mahasiswa yang terlibat, malah turut memberikan impak secara langsung kepada pemegang taruh yang terlibat.

“‘Kembara Ilmu Rukun Negara’ ini bukan sahaja menyantuni komuniti yang sering dianggap terpinggir iaitu anak-anak yatim, namun secara jelas turut memenuhi aspirasi nilai-nilai universiti berteraskan komuniti, industri dan pengantarabangsaan yang dijuarai oleh Datuk Seri Naib Canselor UM,” kata Pengetua, Kolej Kediaman Ibnu Sina UM, Prof. Madya Ir. Dr. Nahrizul Adib Kadri.

Program yang diadakan di Kompleks Perdanasiswa UM ini turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), myNEWS, kafe My Artisan Kitchen, dan Pusat Komunikasi Korporat (CCC).