UM memasyarakatkan STEM bersama komuniti Orang Asli Bukit Lanjan

SPARK 2024/2025 bertujuan memperkenalkan konsep asas STEM kepada masyarakat setempat sambil memupuk empati dan nilai kemanusiaan dalam kalangan pelajar.

Poster Terkini (10)

SERAMAI 20 pelajar Kolej Kediaman Tuanku Abdul Rahman (KK1) Universiti Malaya (UM) menjayakan sebuah program sukarelawan komuniti yang memfokuskan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk anak-anak Orang Asli Temuan di Kampung Bukit Lanjan, Petaling Jaya.

Program yang dinamakan SPARK 2024/2025 ini bertujuan memperkenalkan konsep asas STEM kepada masyarakat setempat sambil memupuk empati dan nilai kemanusiaan dalam kalangan pelajar.

Bertempat di Dewan Sri Temuan, program ini menghimpunkan kira-kira 100 peserta dari komuniti Orang Asli Bukit Lanjan. Ia telah dirasmikan oleh Pengarah Projek, Nur Afifah binti Ahmad Damanhuri, yang turut memberikan taklimat keselamatan dan peringatan kepada para peserta sebelum mereka bertolak dari kampus ke lokasi program.

Projek Semarak Prihatin ASTAR untuk Komuniti (SPARK) yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kerja Perkembangan Kebajikan dan Kemasyarakatan (JKP KEMAS) Kolej Kediaman Pertama ini memfokuskan kepada interaksi bersama golongan yang sering terpinggir dalam masyarakat.

Objektifnya adalah untuk memupuk rasa kasih sayang, empati dan kefahaman antara pelajar universiti dan masyarakat Orang Asli, sekali gus mengurangkan jurang sosial serta menolak stereotaip negatif terhadap golongan ini.

Kemuncak program adalah Bengkel ‘STEM Warisan’ yang dilaksanakan secara interaktif dan menyeronokkan. Bengkel ini memperkenalkan konsep fizik melalui tiga demonstrasi berasaskan Hukum Newton. Setiap demonstrasi dikendalikan oleh pasangan fasilitator terlatih dari kalangan pelajar universiti.

Sesi pertama yang dikendalikan oleh Anas Farhan dan Rizq memberi fokus kepada Hukum Newton Pertama berkaitan inersia. Mereka melakukan demonstrasi menarik menggunakan pinggan, gelas dan kain, menunjukkan bagaimana objek kekal pada kedudukan asal selagi tiada daya luar bertindak ke atasnya.

Demonstrasi ini ternyata berjaya memukau peserta, terutamanya apabila mereka sendiri diberi peluang mencuba eksperimen tersebut.

Seterusnya, Aizat Syahmi dan Aliesya Aisyah membimbing sesi Hukum Newton Kedua dengan menunjukkan perbezaan kelajuan antara buku nipis dan buku tebal apabila ditolak dengan daya yang sama. Demonstrasi ini memudahkan peserta memahami hubungan antara daya, jisim dan pecutan.

Sesi ketiga pula menampilkan Vat Thana dan Nurul Zarifah yang memperkenalkan Hukum Newton Ketiga, prinsip aksi dan reaksi. Mereka menggunakan dua demonstrasi iaitu lantunan bola dan roket belon. Demonstrasi ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah memberi pendedahan praktikal terhadap prinsip fizik dalam kehidupan seharian.

Program diteruskan dengan satu aktiviti eksplorasi iaitu eksperimen gunung berapi. Para peserta dibahagikan kepada lima kumpulan yang diketuai fasilitator.

Menggunakan bahan mudah seperti tanah liat, cuka dan serbuk penaik, setiap kumpulan membina gunung berapi mini dan menyaksikan letusan yang terhasil daripada tindak balas kimia. Aktiviti ini bukan sahaja mendidik, malah memupuk semangat kerjasama dan rasa ingin tahu dalam kalangan kanak-kanak.

Eksperimen ini menggabungkan unsur seni dan sains, sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih kreatif dan bermakna. Ia membolehkan peserta memahami fenomena geologi dalam suasana yang santai dan menyeronokkan, sesuai dengan pendekatan pendidikan abad ke-21 yang menekankan aspek pengalaman secara langsung.

Program SPARK turut mengambil kesempatan untuk memperkukuh ikatan ukhuwah dan kebersamaan antara pelajar dan komuniti kampung.

Sebanyak 100 pek makanan telah diedarkan kepada penduduk kampung. Tajaan ini disumbangkan oleh Syarikat Buku FIXI sebagai tanda solidariti dan sokongan kepada usaha pelajar.

Dalam masa yang sama, Pharmaniaga Berhad turut menyumbang vitamin C untuk kesejahteraan penduduk kampung, sebagai satu inisiatif kesihatan masyarakat.

Sumbangan ini dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap keperluan asas komuniti, di samping menzahirkan nilai keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar serta pihak swasta.

Kampung Bukit Lanjan merupakan penempatan masyarakat Orang Asli Temuan yang kini dikenali sebagai Desa Temuan. Dengan kira-kira 120 buah keluarga, kampung ini telah berubah daripada gaya hidup nomad kepada komuniti perbandaran hasil inisiatif kerajaan.

Rumah moden berkeluasan 7,000 kaki persegi kini menggantikan pondok hutan, namun nilai budaya dan warisan tetap terpelihara dalam kehidupan seharian mereka.

Ketua Kampung Bukit Lanjan, Muhd Reza Khan Zar Khan menyambut baik inisiatif pelajar UM. Beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan SPARK atas pendekatan mesra komuniti dan program yang bersifat pendidikan serta memperkasa masa depan anak-anak kampung.

Nur Afifah berkata, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah turut mendidik para pelajar untuk menjadi pemimpin masyarakat yang berjiwa besar.

“Melalui interaksi dengan masyarakat Orang Asli, kami belajar memahami dunia luar dari perspektif yang berbeza. Kami belajar memberi dan dalam memberi, kami sendiri menerima sesuatu yang lebih berharga iaitu kefahaman, empati dan semangat kemanusiaan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penasihat projek, Amer Faezzudden Ahmad Fazal atas tunjuk ajar dan bimbingan sepanjang pelaksanaan program.

“Sokongan beliau menjadi sumber inspirasi kepada kami dalam menjayakan misi SPARK,” tambahnya.

Program yang berlangsung selama satu hari ini berakhir pada jam 4:30 petang dengan sesi fotografi kenangan dan penyampaian penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.

Para peserta kemudian pulang ke kampus dengan penuh kenangan dan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

Projek SPARK telah membuktikan bahawa pendidikan tidak terhad dalam bilik kuliah sahaja. Apabila ilmu digabung dengan nilai sosial, ia mampu mencetus perubahan dan membina jambatan antara masyarakat pelbagai latar belakang.

Melalui pendekatan seperti bengkel STEM ini, pendidikan menjadi alat pemerkasaan yang mampu mengubah persepsi, meningkatkan keyakinan, dan menyemai minat terhadap bidang yang bakal membentuk masa depan negara.