Murid perlu dididik bukan diherdik

Jawatan guru sebagai profesion perlu diisi oleh jiwa yang ingin mendidik, bukan kerana tiada kerjaya yang sesuai atau sekadar mengisi kekosongan.

Poster Terkini (2)


GURU adalah semulia-mulia profesion. Hampir semua profesion di dunia ini adalah daripada didikan seorang guru. Peranan guru, sama ada secara tidak formal seperti ibu bapa di rumah mahupun formal seperti guru di sekolah, akan sentiasa mengisi ruang hati seseorang.

Perkataan ‘guru’ tidak boleh lari daripada kamus kehidupan seseorang. Aliran ilmu yang dicurahkan bukan sekadar memindahkan pengetahuan tetapi juga menanam nilai-nilai murni dan tujuan hidup.

Justeru, jawatan guru sebagai profesion perlu diisi oleh jiwa yang ingin mendidik, bukan kerana tiada kerjaya yang sesuai atau sekadar mengisi kekosongan.

Namun, kemuliaan profesion ini mula ternoda susulan insiden yang tular melibatkan seorang guru memarahi muridnya yang berusia sembilan tahun di kantin sekolah.

Apa yang mengundang pelbagai reaksi rakyat Malaysia adalah apabila murid tersebut turut dimalukan di depan khalayak yang terdiri daripada beberapa orang guru dan sekumpulan murid lainnya.

Insiden ini mengundang renungan bersama, apakah teguran sebegitu bermula daripada niat ingin mendidik atau mengherdik?

Hakikatnya, dalam komunikasi seharian antara sesama manusia, terdapat suatu elemen yang dipanggil sebagai ‘muka’. Namun, ‘muka’ di sini tidak merujuk kepada rupa fizikal sebaliknya melambangkan maruah, kehormatan dan harga diri seseorang.

Justeru, tidak hairanlah ada beberapa ungkapan yang begitu sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu antaranya ‘air muka’ dan ‘menconteng arang di muka’. Leluhur kita berpesan agar ‘muka’ ini dijaga demi menjamin kesejahteraan sosial.

Bukan sahaja kehormatan diri yang perlu dijaga, malah kehormatan orang lain juga perlu dijunjung. Peri pentingnya memahami ‘muka’ ini dikaji oleh ilmu pragmatik sebagai salah satu cabang ilmu pengkajian bahasa.

Cabang ilmu ini membahaskan bagaimana bahasa yang digunakan mempengaruhi diri penutur dan pendengar. ‘Muka’ ini mengisyaratkan bahawa semua kita perlu dihormati, tanpa mengira latar belakang.

Menurut cabang ilmu bahasa ini, setiap komunikasi melibatkan usaha sama untuk melindungi, menyokong, atau mencemari ‘muka’ oleh kedua-dua penutur dan pendengar melalui penggunaan bahasa.

Bahasa yang santun akan melindungi atau menyokong manakala bahasa yang tidak santun akan mencemari. Dalam insiden ini, guru tersebut dilihat menudingkan juga jarinya sambil meninggikan suara ke arah muridnya untuk menzahirkan lagi rasa marahnya.

Lebih memilukan, murid perempuan yang masih berada di Tahun Tiga itu dikelilingi oleh beberapa orang guru dan murid lain seperti yang dapat dilihat menerusi rakaman video yang dimuat naik oleh guru terbabit.

Ini mencetuskan suatu persoalan yang besar tentang adab berkomunikasi khususnya dalam aspek penjagaan maruah anak-anak kecil dalam persekitaran sekolah.

‘Muka’ murid tersebut boleh dikatakan tercalar lantaran dimarahi dan dimalukan di depan khalayak. Bukan sahaja beberapa orang guru dan murid sekelasnya yang hadir di kantin itu, tetapi juga kumpulan murid lain yang sedang menjalani kelas tambahan.

Situasi menjadi semakin rumit dengan rakaman video, reaksi marah guru-guru serta respons murid-murid lain yang menambahkan tekanan emosi murid tersebut.

Pengalaman sebegini dikhuatiri boleh menjejaskan persepsi dan minat murid terhadap pelajaran dan keyakinan diri. Hal ini terbukti apabila murid itu menyuarakan rasa tidak lagi menyukai mata pelajaran yang diajar oleh guru terbabit.

Maka, ini adalah sesuatu yang perlu diteliti oleh pentadbir sekolah agar interaksi antara guru dengan murid terus menyuburkan minat. Di sini letaknya kepentingan mengoptimumkan sistem sokongan sedia ada di sekolah seperti kaunseling untuk menyelia kesejahteraan emosi guru dan murid.

Bukan sahaja maruah murid yang tercalar, malah insiden tersebut turut memberikan kesan terhadap imej profesional guru berkenaan.

Tindakan yang dirakam itu mengundang kritikan terhadap pendekatan yang dianggap tidak sejajar dengan prinsip pedagogi dan etika perguruan.

Situasi ini memperlihatkan kepentingan guru sebagai teladan yang bukan sahaja dalam kerangka menyampaikan ilmu tetapi juga dalam mengurus emosi serta interaksi di depan murid seiring dengan ketinggian ilmunya.

Menjaga pertuturan dan tindakan bukan sahaja melindungi maruah diri, tetapi juga mencerminkan institusi yang diwakili.

Tidak dinafikan, dalam kesibukan menjalankan amanah sebagai pendidik, adakalanya emosi dan tekanan boleh mempengaruhi cara seseorang guru berkomunikasi dengan muridnya.

Namun, sebagai guru, kita wajar menilai semula pendekatan kita terhadap murid khususnya yang masih berada di awal usia persekolahan. Pada usia ini, murid sedang belajar berdikari dalam dunia pendidikan yang asing tanpa keberadaan ibu bapa.

Pendekatan yang lembut bukan sahaja membantu mereka menyesuaikan diri tetapi juga membina keyakinan mereka terhadap persekitaran sekolah sebagai tempat yang selamat dan menyokong. Dalam konteks ini, guru dilihat sebagai ibu bapa kedua dalam membentuk pengalaman awal murid.

Boleh dikatakan bahawa kejayaan sekolah sebagai institusi pendidikan diukur bukan sahaja melalui pencapaian akademik, tetapi juga pada sejauh mana murid hadir ke sekolah dengan keterujaan.

Insiden ini turut menyerlahkan kepentingan untuk memperkukuh kemahiran mendengar, bukan sahaja sebagai alat komunikasi tetapi juga sebagai kaedah menjaga emosi dan ‘muka’ murid. Mendengar dengan empati boleh membantu mentafsir situasi dengan lebih menyeluruh dan merespons dengan cara yang lebih berhemah.

Maka, penekanan terhadap aspek-aspek ini dilihat semakin penting dalam konteks pendidikan yang semakin mencabar. Ini boleh membendung sebarang situasi yang tidak diingini seperti tindak balas emosi yang tidak terkawal dan tindakan disiplin oleh pihak berwajib atau kecaman masyarakat.

Tindakan spontan boleh tersebar luas dalam sekelip mata dan membentuk persepsi melalui naratif yang dikongsi di media sosial.

Akhirnya, insiden ini wajar mengajak kita semua sebagai ibu bapa, pendidik dan pentadbir agar lebih peka terhadap kejadian yang berlaku di sekeliling.

Setiap daripada kita memainkan peranan dalam membentuk suasana yang lebih menyantuni, terutama dalam ruang yang melibatkan anak-anak kecil.

Dengan kesedaran dan tindakan kolektif, kita boleh menjadi agen perubahan ke arah masyarakat yang lebih prihatin, empati, dan bertanggungjawab.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.