Antara sebuah kebebasan dan tanggungjawab
Kemajuan teknologi juga membuka ruang kepada risiko yang boleh menjejaskan kebebasan yang kita sambut saban tahun.

APABILA kemerdekaan dikaitkan dengan dunia digital, kayu ukurnya bukan lagi pada undi tetapi bagaimana lancarnya, selesanya, selamatnya rakyat Malaysia melewati setiap ruang dalam persekitaran yang terbuka luas itu.
Selain penyediaan capaian internet yang menyeluruh, kemahiran, keselamatan dan tanggungjawab digital perlu dijadikan sebahagian daripada teras pembangunan pendidikan supaya tiada kelompongan teknologi kepada kebebasan yang kita raikan pada bulan ini.
Jejak digital atau bahasa Inggerisnya, ‘digital footprint’ di Malaysia sangat menyerlah sejak kebelakangan ini.
Pada awal tahun ini, laman sesawang DataReportal melaporkan bahawa negara kita mencatatkan 34.9 juta pengguna internet iaitu bersamaan dengan 97.7 peratus daripada jumlah populasi.
Di samping itu, 25.1 juta pengguna atau 70.2 peratus daripada jumlah populasi pula sentiasa mengekalkan identiti yang aktif di akaun media sosial pilihan masing-masing.
Secara umumnya, perkembangan kesalinghubungan teknologi telah membuka peluang yang banyak kepada bidang pendidikan, perdagangan mahupun penglibatan sivik di peringkat tempatan dan global.
Walau bagaimanapun, perlu diingat, kemajuan ini juga membuka ruang kepada risiko yang boleh menjejaskan kebebasan yang kita sambut saban tahun.
Bahaya risiko alam maya bukan bersifat abstrak. Dalam suku tahun pertama 2024, pihak berkuasa di Malaysia telah menghantar lebih daripada 51,000 laporan berkaitan dengan kandungan dalam talian yang memudaratkan kepada platform media sosial bagi tindakan selanjutnya.
Antara kandungan yang berbahaya adalah termasuk hantaran berunsur kebencian, penipuan, maklumat palsu dan juga buli siber.
Sebagai tindak balas kepada situasi ini, pihak kerajaan memperkenalkan langkah-langkah yang lebih tegas, antaranya ialah platform digital perlu memperoleh lesen operasi yang dikenali sebagai Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (Class Licence for Application Service Providers, CASP).
Banyak kajian melaporkan kes buli siber yang tinggi dalam kalangan anak-anak muda di negara kita, di mana kesannya dapat diterjemah melalui kebimbangan, tekanan perasaan dan pencapaian akademik yang lemah.
Kes buli siber bukanlah insiden minor atau terpencil. Kalau ditinjau daripada laporan statistik mahupun kajian oleh para pakar, ia sebenarnya masalah sosial yang sedang berleluasa di mana memerlukan tindakan segera daripada pelbagai pihak.
Kesedaran sahaja tidak mencukupi
Banyak dapatan kajian sama ada tempatan mahu pun antarabangsa menjelaskan bahawa sekiranya pengguna dunia digital diingatkan untuk berhati-hati dengan maklumat palsu, usaha ini dilihat tidak mencukupi.
Warga maya perlu diajar bagaimana untuk mentafsir data, memeriksa sumber maklumat dan bertindak dengan bijak berdasarkan apa yang mereka ketahui.
Tanpa tindakan sebegini, usaha-usaha untuk menangani berita palsu dan risiko manipulasi atas talian tidak mudah dilaksanakan kerana ia sebenarnya memerlukan perubahan yang menyeluruh daripada semua pemegang taruh.
Para pakar mencadangkan beberapa cara untuk mengukuhkan pelan hala tuju kewarganegaraan digital, antaranya ialah:
1. Memperkasa para pendidik – Latihan literasi digital dan media kepada guru-guru perlu bersifat sistematik, berterusan dan relevan dengan konteks tempatan. Tanpa para pendidik yang yakin dan bersedia sepenuhnya, pembelajaran menggunakan teknologi dengan bertanggungjawab hanya idea semata-mata.
2. Membenarkan platform yang bertanggungjawab beroperasi – Tindakan kerajaan mewajibkan lesen operasi kepada platform media sosial merupakan langkah awal yang penting. Pada masa sama, setiap platform harus melaporkan keadaan sebenar, menyediakan sistem aduan yang mudah diakses dan membuat tindakan pantas apabila kebimbangan orang awam mula tersebar.
3. Melibatkan penyertaan komuniti – Ibu bapa, badan bukan kerajaan dan wakil rakyat mempunyai peranan masing-masing yang penting untuk membentuk budaya penggunaan teknologi yang bertanggungjawab. Kewarganegaraan digital merupakan usaha komuniti bersama-sama, bukan hanya menerusi satu subjek di sekolah sahaja.
4. Menyokong mangsa buli atas talian – Saluran yang aktif untuk tujuan aduan, perkhidmatan kesihatan mental dan rangkaian sokongan amat diperlukan bagi membantu mereka yang mengalami buli siber dan gangguan atau eksploitasi atas talian.
Suara tempatan
Para pakar juga berpendapat bahawa memberitahu anak-anak untuk mengenal pasti kandungan yang berbahaya adalah tidak memadai. Anak-anak perlu diajar untuk memberi tindak balas yang bijak dalam dunia digital iaitu melaporkan aduan, menunjukkan rasa empati dan juga melayari internet dengan bertanggungjawab.
Pendapat ini disokong oleh satu kajian mengenai buli siber di kalangan pelajar universiti di Malaysia yang diterbitkan dalam jurnal Quantum Journal of Social Sciences and Humanities.
Kajian mencadangkan anak-anak muda perlu diperkenalkan dengan program pendidikan keselamatan digital yang komprehensif dan didedahkan dengan mekanisme aduan yang jelas dan mudah dicapai.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (Malaysian Cyber Consumer Association, MCCA), Siraj Jalil dalam satu temu bual memberitahu bahawa anak-anak akan terus meneroka dunia digital untuk memenuhi rasa ingin tahu mereka walau apa sahaja sekatan yang dilakukan oleh platform media sosial mahupun pihak kerajaan.
Beliau juga menyatakan bahawa apa yang lebih penting pada masa ini adalah memastikan anak-anak mempunyai kemahiran literasi digital dan tahu bagaimana untuk melindungi diri mereka sendiri apabila berada atas talian.
Komitmen sempena Hari Merdeka
Umum mengetahui bahawa negara kita, Malaysia sering kali dikaitkan dengan kebebasan dan tanggungjawab. Pada tahun 1957, dua istilah itu bererti pembinaan negara yang berdaulat, manakala pada tahun 2025 ini, ia bermaksud memastikan kedaulatan ini turut mencakupi ruang atas talian yang kini mendominasi terlalu banyak kehidupan di dalamnya.
Barisan ikrar bagi Hari Kemerdekaan 2025 di bawah ini ringkas tetapi bermakna, perlu dipertimbangkan dan sebaiknya dilaksanakan bersama-sama dalam dunia digital.
Antaranya:
1. Fikir sebaiknya sebelum mesej dihantar
2. Persoalkan kandungan dahulu sebelum berkongsi
3. Ambil tindakan apabila melihat insiden yang berbahaya berlaku
4. Bantu yang lain untuk melayari dengan selamat
Ketahuilah, setiap klik, hantaran dan komen membentuk generasi digital Malaysia pada masa akan datang. Apabila kewarganegaraan digital diiktiraf sebagai teras penting pembangunan teknologi, kita secara tidak langsung mendukung semangat kemerdekaan bersamanya.
Pada masa sama, kita melindung kebebasan sendiri, menguatkan komuniti bangsa kita dan menyediakan generasi masa depan negara yang boleh memimpin di jalanan bahkan dalam dunia digital merentasi sempadan global.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.