Melerai tekanan generasi ‘sandwic’
Generasi ‘sandwic’, tersepit antara dua generasi, namun tetap memikul tanggungjawab dengan sabar dan diam.

DALAM senyap, ramai anak muda hari ini sedang memikul beban yang tidak kecil. Di siang hari, mereka bekerja keras mencari nafkah. Di malam hari, mereka pulang bukan hanya kepada anak-anak kecil yang memerlukan perhatian, tetapi juga kepada ibu bapa yang sudah tua dan semakin bergantung.
Mereka inilah yang digelar generasi ‘sandwic’, tersepit antara dua generasi, namun tetap memikul tanggungjawab dengan sabar dan diam.
Istilah ini bukan sekadar label. Ia menggambarkan satu realiti yang semakin menekan. Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu, kos kehidupan yang terus meningkat, gaji yang tidak seiring produktiviti, dan harga rumah yang tidak mampu milik, generasi ini dituntut untuk menyara dua kelompok iaitu anak yang masih kecil dan ibu bapa yang sudah tua.
Mereka perlu menjadi penjaga, penanggung kos dan pelindung emosi dalam masa yang sama.
Tekanan ini bukan hanya bersifat kewangan. Ia juga memberi kesan kepada kestabilan emosi dan psikologi. Ramai dalam kalangan generasi ‘sandwic’ berada dalam usia produktif, waktu yang sepatutnya menjadi ruang untuk membina kerjaya, menabung dan merancang masa depan.
Namun, banyak masa dan sumber mereka dihabiskan untuk bertahan. Bila mahu sambung belajar, kewangan tidak mengizinkan. Bila mahu menukar pekerjaan untuk peluang yang lebih baik, tanggungjawab keluarga mengikat. Mobiliti sosial mereka seolah-olah terhenti.
Lebih mencabar, ramai anak muda kini berhadapan dengan ketidaktentuan pekerjaan sama ada melalui kontrak jangka pendek, pekerjaan tidak formal atau suasana kerja yang tidak stabil. Pada masa sama, mereka turut menanggung pinjaman pendidikan, komitmen rumah dan kenderaan serta kos penjagaan anak-anak.
Maka, apabila timbul pula keperluan ibu bapa seperti rawatan kesihatan, pembantu rumah atau ubat-ubatan, mereka seringkali terpaksa mengorbankan keperluan sendiri.
Ada yang menangguhkan perkahwinan, memiliki anak, malah membeli rumah kerana terlalu bimbang dengan beban kewangan berganda ini.
Tekanan psikologi yang dihadapi kadangkala tidak kelihatan di permukaan tetapi perlahan-lahan menghakis keyakinan diri dan harapan masa depan.
Ramai juga yang tidak mempunyai ruang untuk berehat. Masa untuk diri sendiri, masa berkualiti bersama keluarga atau merawat kesihatan mental turut dikorbankan.
Lebih malang, anak-anak kepada generasi ‘sandwic’ ini turut merasai kesannya. Mereka dibesarkan dalam suasana yang penuh tekanan iaitu ibu bapa yang keletihan, kurang masa berkualiti dan kewangan yang sentiasa sempit.
Ini menjejaskan kesejahteraan emosi kanak-kanak dan boleh membawa kesan jangka panjang kepada pembangunan generasi akan datang.
Namun, kita perlu sedar bahawa ini bukan semata-mata isu peribadi. Ini adalah petunjuk kepada kelemahan sistem yang lebih besar seperti sistem sokongan sosial yang masih belum cukup matang, ketiadaan cuti penjagaan khas untuk ibu bapa dan kurangnya insentif yang mengiktiraf tanggungjawab yang dipikul oleh golongan penjaga keluarga.
Kita masih mengandaikan bahawa setiap anak dewasa mampu dan bersedia menyokong keluarga tanpa bantuan struktur.
Malaysia memerlukan dasar yang lebih mesra penjaga. Contohnya, insentif cukai khas untuk isi rumah yang menyara dua generasi atau memperkenalkan cuti penjagaan ibu bapa kepada pekerja sektor awam dan swasta.
Kita juga wajar mempertimbangkan model penjagaan komuniti atau koperatif yang membolehkan tanggungjawab penjagaan dikongsi secara berstruktur dan bukan hanya bergantung kepada anak kandung. Penjagaan bukan semata-mata tanggungjawab individu tetapi juga isu awam yang memerlukan tindakan dasar.
Satu lagi aspek penting ialah ketidaksediaan sistem perlindungan sosial negara. Ramai warga emas tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk persaraan. Dalam situasi ini, anak-anak menjadi jaminan sosial utama.
Kebergantungan ini mewujudkan beban berganda, dan tanpa reformasi dasar yang menyeluruh, kitaran ini berisiko diwarisi oleh generasi berikutnya pula. Kita bukan hanya berhadapan dengan isu penuaan tetapi juga risiko mewariskan keletihan antara generasi.
Negara-negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan telah mula memperkenalkan sistem sokongan penjaga dan dasar kesihatan komuniti untuk menangani isu ini.
Malaysia tidak boleh ketinggalan. Jika kita tidak bertindak sekarang, kita akan berhadapan dengan generasi pertengahan yang terlalu letih untuk menjadi tonggak negara.
Membina sistem penjagaan yang kukuh bukan semata-mata isu ekonomi. Ia adalah isu maruah tentang bagaimana sebuah negara melayan yang tua dan menjaga keseimbangan antara generasi. Ia juga soal keadilan dan kelestarian kerana masyarakat yang membiarkan penjaga memikul beban sendirian adalah masyarakat yang membina keletihan dalam diam.
Sebagai penyelidik dalam bidang ekonomi sosial dan penuaan, saya percaya bahawa generasi ‘sandwic’ bukanlah golongan yang lemah atau tidak tahu merancang.
Sebaliknya, mereka ialah cerminan kepada struktur masyarakat yang masih belum cukup menyokong kedua-dua hujung hayat iaitu kanak-kanak dan warga emas. Mereka memerlukan pengiktirafan, ruang dan sokongan.
Jika kita tidak mula bertindak hari ini, kita akan terus mewariskan keletihan ini kepada generasi yang seterusnya. Akhirnya, kita semua akan berada di salah satu sisi ‘sandwic’ ini sama ada sebagai penjaga atau yang dijaga.