Menemui makna ‘rumah’ kita di tengah dunia

Saat paling menyentuh adalah apabila terdengar pengumuman yang berbunyi, “Kepada warga negara, selamat pulang ke tanah air.”

Feature Image (3)

SEBAGAI seorang yang gemar mengembara, saya telah berpeluang menjejak kaki ke lebih 20 buah negara melihat keindahan lanskap semula jadi yang memukau, menyelami budaya unik pelbagai bangsa serta mengagumi kemajuan teknologi yang dibina dengan penuh disiplin dan visi jangka panjang.

Namun, setiap kali kapal terbang mula menuruni altitud menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hati saya sentiasa bergetar. Saat paling menyentuh adalah apabila terdengar pengumuman yang berbunyi, “Kepada warga negara, selamat pulang ke tanah air.”

Hanya yang pernah mendengar ayat itu di bumi asing akan faham betapa ia mampu meruntun hati dan mengalirkan air mata. Seolah-olah ada suara ibu memanggil anaknya pulang ke pangkuan.

Negara-negara yang saya kunjungi memang menakjubkan daripada pelbagai aspek. Dari kota-kota yang tersusun rapi, sistem pengangkutan yang efisien, hinggalah kemudahan yang sentiasa di hujung jari, semuanya mencerminkan kemodenan dan kemajuan.

Namun, pengalaman mengembara membuka mata saya kepada satu hakikat yang tidak boleh diukur dengan kemewahan material semata, rasa ‘rumah’ yang Malaysia tawarkan, sebuah kehangatan yang tak ternilai di mana pun saya berada.

Bayangkan saya sedang bersarapan menikmati roti segar, keju, zaitun dan secawan teh hitam sambil menatap keindahan Selat Bosphorus.

Sesuatu dalam diri saya berkata, “Cantik sekali, tapi…” tiada apa yang dapat menggantikan aroma teh tarik dan kehangatan roti canai panas yang disaluti kuah dhal yang pekat atau nasi lemak yang kaya dengan sambal pedas manis berserta telur mata kerbau dengan kuning yang masih cair.

Makanan kita bukan sekadar menyeronokkan lidah tetapi sarat dengan jiwa dan kisah yang membentuk identiti kita sebagai sebuah bangsa yang penuh warna.

Begitu juga pengalaman menjamah sup ramen asli di Jepun yang terkenal dengan kesempurnaannya serta kehalusan rasa kuah dan ketepatan teknik penyediaan yang luar biasa.

Namun, tidak ada yang mampu menandingi keunikan rasa asam pedas dan kepekatan kari kepala ikan utara yang membangkitkan satu kebanggaan warisan rasa yang hanya boleh dirasai di tanah air sendiri.

Dalam setiap perjalanan, saya dibawa menghayati dunia yang beragam tapi, hati saya selalu kembali ke Malaysia, bukan kerana kemegahan bandaraya atau canggihnya infrastruktur,tetapi kerana sentuhan rasa yang mengandaikan kasih sayang, ingatan dan sentuhan jiwa sebuah ‘rumah’.

Itulah yang membuatkan Malaysia tetap di hati saya, tak terganti oleh apa pun di mana-mana sahaja saya berada.

Malaysia adalah anugerah alam yang tiada tandingannya. Di sini, anda boleh menyaksikan matahari terbenam mewarnai langit dengan rona jingga dan merah yang memukau, mencipta lukisan alam yang sukar dilupakan.

Pagi pula, matahari terbit membawa sinar keemasan yang menenangkan jiwa, menandakan harapan baru di bumi yang subur ini.

Pulau-pulau kita, seperti Sipadan, Redang dan Tioman, bukan hanya cantik tetapi menyimpan khazanah laut yang terpelihara, habitat kepada terumbu karang dan kehidupan marin yang kaya.

Gunung-ganang kita pula berdiri megah, menghiasi cakrawala dengan keindahan saujana memandang, menawarkan ketenangan dan cabaran kepada pencinta alam dan pendaki.

Di tengah-tengah kemodenan Kuala Lumpur pula, bangunan pencakar langit yang gagah berdiri bukan hanya simbol kemajuan tetapi kebanggaan Malaysia yang menunjukkan betapa negara ini mampu mengharmonikan keindahan alam dan pembangunan kota.

Semua ini menjadikan Malaysia bukan sahaja sebuah negara, tetapi sebuah cerita cinta alam.

Cinta pada tanah air bukan kerana tiada pilihan tapi kerana di sinilah akar dan sejarah kita. Di sini nenek moyang berjuang, dan semangat merdeka terus hidup dalam usaha rakyat membina Malaysia.

Merdeka bukan sekadar bebas penjajahan tetapi kebebasan memilih masa depan, mengekalkan kedamaian, serta menyemarakkan semangat anak muda berinovasi demi negara.

Sebagai seorang pendidik, saya berpeluang menyaksikan setiap hari wajah generasi pelapis negara yang penuh semangat, tekad belajar dengan impian yang sangat besar.

Walaupun ramai di antara mereka belum pernah melangkah jauh ke luar negara, jiwa dan cita-cita mereka membara dengan harapan yang tinggi.

Saya percaya, dengan bimbingan yang tepat, mereka bukan sahaja akan berjaya di peringkat antarabangsa, malah akan kembali membawa manfaat besar kepada tanah air tercinta.

Ya, kita masih ada cabaran. Ketidakseimbangan pembangunan, jurang sosioekonomi dan pelbagai cabaran politik. Tapi cinta sejati bukan tentang mencari kesempurnaan tetapi tentang menerima segala kekurangan dan berusaha memperbaikinya bersama.

Bagi saya, merdeka bukan sekadar bebas dari penjajahan tetapi tanggungjawab yang mesti kita pegang erat.

Berjuang, menjaga dan memelihara warisan tanah air untuk generasi akan datang. Merdeka adalah janji agar anak cucu kita terus merasai kebanggaan dan cinta yang sama terhadap Malaysia, hari ini, atau 100 tahun akan datang. Inilah cinta yang mengikat kita dengan tanah yang kita panggil rumah.

Setiap kali berdiri di bawah langit Malaysia yang luas membiru, menghirup udara tropika yang hangat menyapa kalbu, mendengar laungan azan berselang dengan dentuman genduman meriah, hati saya dipenuhi rasa tenang dan cinta yang tidak pernah punah.

Inilah rumah saya yang hakiki, tempat kasih dan kenangan terukir abadi. Di sinilah hati saya akan berlabuh pasti, selamanya tak terganti, selamanya Malaysia di hati.

Selamat Hari Kemerdekaan, Malaysia! ‘Rumah’ yang menyimpan kasih dan harapan kita semua.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.