Transformasi kepimpinan sektor awam: Legasi hierarki kepada empati

Dalam dunia perkhidmatan awam yang semakin kompleks dan mencabar, kesejahteraan emosi pekerja bukan lagi pilihan.

Feature Image

JIKA suatu ketika dahulu rasa hormat kepada pegawai atasan seringkali berakar umbi daripada rasa gentar atau ketakutan terhadap autoriti, landskap kepimpinan hari ini menyaksikan perubahan paradigma yang ketara.

Kini, penghargaan dan kesetiaan terhadap seorang pemimpin lebih didorong oleh rasa kagum serta keselesaan bekerja dalam persekitaran yang positif.

Dalam ekosistem pekerjaan moden, kesejahteraan atau well-being bukan lagi perkara sampingan. Ia menjadi komponen utama dalam penilaian keberkesanan sesebuah organisasi.

Pekerja yang sentiasa berada dalam persekitaran yang tegang akibat sindiran terbuka, suara yang tinggi, tekanan berlebihan cenderung mengalami tekanan emosi dan hilang motivasi kerja.

Lebih membimbangkan, suasana kerja yang sebegini mendorong kepada peningkatan kadar pekerja yang berhenti, penurunan produktiviti dan menjejaskan reputasi institusi.

Beberapa kajian semasa antaranya oleh Fatoki (2024) turut menunjukkan bahawa organisasi yang mementingkan psychological safety dan emotional intelligence dalam budaya kepimpinannya, cenderung mencapai prestasi lebih tinggi dan menikmati tahap kepuasan kerja yang lebih kukuh.

Ini menunjukkan bahawa well-being bukan sekadar isu peribadi pekerja tetapi menjadi tanggungjawab kolektif yang bermula daripada meja kepimpinan.

Pemimpin yang berwibawa harus tahu membezakan antara memberi arahan dengan penindasan, memperbetul dan memperlekeh.

Generasi pekerja hari ini khususnya generasi milenial dan Gen Z bukan lagi kelompok yang tunduk membuta tuli kepada suara yang meninggi atau arahan berbaur ancaman. Mereka lebih responsif terhadap pendekatan kepimpinan yang inklusif, empati dan menghormati maruah.

Suatu masa dahulu, adalah lumrah untuk melihat pegawai atasan bertindak agresif secara lisan dan subordinat menganggapnya sebagai perkara biasa.

Namun, dalam konteks perkhidmatan awam kontemporari, peningkatan nada suara oleh pemimpin boleh menyebabkan kemerosotan semangat dan produktiviti.

Malah, ia berpotensi menjejaskan kadar pengekalan bakat, di mana kakitangan mungkin mempertimbangkan untuk mencari persekitaran kerja yang lebih kondusif.

Hakikatnya, perubahan ini bukanlah cerminan bahawa generasi baharu tidak tahan tekanan atau bersifat manja. Sebaliknya, ia adalah isyarat jelas bahawa dunia pekerjaan telah berevolusi, menuntut anjakan signifikan dalam gaya dan pendekatan kepimpinan.

Dalam konteks kepimpinan sektor awam, terdapat anjakan ketara daripada gaya lama yang berpusatkan arahan tanpa penjelasan, di mana model ‘Bos suruh, kau buat’ sering diaplikasikan, meninggalkan sedikit ruang untuk pertanyaan atau pemahaman, dengan kakitangan dijangka patuh tanpa soal dan rasa gentar untuk mempersoalkan arahan menjadi norma.

Namun, gaya kepimpinan baharu mengiktiraf bahawa staf masa kini, khususnya dalam perkhidmatan awam, mempunyai keinginan yang tinggi untuk memahami ‘mengapa’ di sebalik sesuatu arahan sebelum melaksanakan ‘apa’ yang perlu dilakukan.

Apabila mereka memahami tujuan dan objektif sesuatu tugas, mereka akan melaksanakannya dengan lebih ikhlas, komited dan kreatif. Ini sekali gus memacu prestasi yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, pemimpin dalam sektor awam hari ini perlu melangkaui sekadar memberi arahan. Mereka perlu menjadi pembimbing yang mampu menyampaikan visi secara jelas, mendidik staf mengenai rasional dasar dan prosedur serta memupuk pemahaman kolektif dalam organisasi.

Hanya dengan pendekatan ini, prestasi kerja dapat ditingkatkan secara bersepadu iaitu selari dengan tuntutan perkhidmatan awam yang lebih telus dan responsif.

Dalam evolusi kepimpinan, terdapat peralihan fokus ketara daripada kejayaan individu kepada kejayaan pasukan bersama. Dahulu penekanan utama sering diberikan kepada pencapaian individu, dengan tanggapan bahawa ‘siapa paling berprestasi, dia yang naik’, di mana kesempurnaan tugasan lebih diutamakan berbanding kesejahteraan atau kemajuan ahli pasukan lain.

Namun, pemimpin yang efektif dalam perkhidmatan awam hari ini menyedari sepenuhnya bahawa kejayaan sesebuah jabatan atau organisasi bergantung mutlak kepada kekuatan dan kesepaduan pasukan.

Mereka memahami bahawa kejayaan bukan lagi milik seorang ‘wira’ tetapi hasil usaha kolektif sebuah pasukan yang saling menyokong, melengkapi dan bekerjasama.

Justeru, kepimpinan perlu berorientasikan fasilitator yang membina sinergi, bukannya individu yang hanya mengejar pengiktirafan peribadi.

Anjakan signifikan daripada pendekatan menonjolkan kekurangan kepada menjadikan kesilapan sebagai peluang pembelajaran juga turut berlaku.

Kelaziman pegawai atasan pada masa dahulu untuk menonjolkan kesilapan kakitangan secara terbuka, kononnya bertujuan untuk ‘memberi pengajaran’.

Tanpa disedari pendekatan ini selalunya hanya akan melemahkan semangat dan menimbulkan rasa tawar hati dalam kalangan kakitangan, lantas menjejaskan motivasi.

Kini, pemimpin yang progresif menggunakan kesilapan sebagai batu loncatan untuk membina dan memperkasa, bukannya menjatuhkan. Maklum balas diberikan secara konstruktif dan penuh hormat, memfokuskan kepada peningkatan kemahiran serta pembelajaran berterusan, sekali gus membina budaya pembelajaran dan keyakinan diri yang lebih tinggi.

Seterusnya, gaya kepimpinan turut berevolusi daripada mengabaikan emosi kepada pengiktirafan emosi sebagai satu realiti yang penting.

Pada masa lalu, kakitangan sering diharapkan untuk ‘meninggalkan masalah peribadi di pintu pejabat’ dan menahan sebarang emosi di tempat kerja, di mana isu peribadi dianggap sebagai penghalang kepada produktiviti.

Namun, pemimpin moden menyedari bahawa kesejahteraan emosi kakitangan adalah penting untuk produktiviti jangka panjang.

Apabila kakitangan berasa tenang, difahami dan disokong, mereka akan menjadi lebih produktif dan berdedikasi. Empati bukanlah tanda kelemahan sebaliknya, ia adalah alat kepimpinan yang ampuh untuk membina kesetiaan dan komitmen yang berkekalan dalam organisasi.

Secara keseluruhannya, landskap kepimpinan dalam perkhidmatan awam hari ini tidak lagi diukur berdasarkan siapa yang paling lantang bersuara, paling banyak pengalaman atau paling lama berkhidmat.

Sebaliknya, kehebatan seorang pemimpin kini dinilai berdasarkan keupayaan mereka untuk menyentuh hati kakitangan, membuka ruang kepada potensi mereka dan membina individu ke arah yang lebih baik, di samping mengalih fokus daripada kuasa berpusat kepada kuasa yang dikongsi untuk perkembangan.

Justeru, jika seseorang pemimpin masih berpegang kepada gaya lama yang bersifat autokratik atau terlalu hierarki, mereka mungkin tidak menyedari bahawa mereka sedang kehilangan kakitangan terbaik dan berisiko ketinggalan.

Zaman telah berubah dan pemimpin yang berjaya adalah mereka yang bersedia untuk berubah serta beradaptasi seiring dengan perubahan tersebut.

Perkhidmatan awam perlu terus berkembang maju dan ini hanya dapat dicapai melalui kepimpinan yang progresif, berempati dan berorientasikan pembangunan insan yang holistik.

Kesimpulannya, era kepimpinan berasaskan ketegasan mutlak dan ketakutan perlu dinilai semulai. Pekerja pada masa kini mendambakan suasana kerja yang kondusif, menjaga kesejahteraan emosi dan memberi makna kepada sumbangan mereka.

Pemimpin yang berjaya bukan lagi mereka yang disegani kerana suara yang tinggi tetapi mereka yang dihormati kerana keupayaan membina kepercayaan, menunjukkan empati dan memupuk semangat kerja secara kolektif.

Dalam dunia perkhidmatan awam yang semakin kompleks dan mencabar, kesejahteraan emosi pekerja bukan lagi pilihan, malah menjadi prasyarat kepada kejayaan sesebuah organisasi.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.