UM tanam 1,100 anak pokok perkukuh kelestarian biodiversiti kampus
Program UMGC x FTS Conservation Project: Urban Forest Initiative berlangsung pada 3 dan 4 Januari 2026 di UM Zero Waste Centre.
KUALA LUMPUR, 5 Januari 2026 – Universiti Malaya (UM) menerusi Universiti Malaya Green Community (UMGC) di bawah naungan Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) terus komited memperkasa pendidikan komuniti dan kelestarian alam sekitar menerusi pelaksanaan pelbagai projek kesukarelawanan yang memupuk kesedaran serta tanggungjawab terhadap pemeliharaan alam.
Sebagai inisiatif di bawah Kluster Kelestarian Alam Sekitar, UMGC aktif menggerakkan projek berteraskan kelestarian termasuk kempen hijau, gotong-royong lestari, penanaman pokok dan program pendidikan alam sekitar bagi memastikan keseimbangan ekosistem kampus terus terpelihara.
Komitmen itu dizahirkan menerusi penganjuran program UMGC x FTS Conservation Project: Urban Forest Initiative yang berlangsung selama dua hari pada 3 dan 4 Januari 2026 di UM Zero Waste Centre (UM ZWC).

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Free Tree Society Kuala Lumpur (FTS), UM Sustainable Development Centre (UMSDC) dan American Association of Petroleum Geologists UM Student Chapter (AAPG) sebagai sebahagian daripada inisiatif Bangsar Ecological Connector: A Community Driven Rewilding Initiatives.
Projek yang dirangka khusus oleh FTS itu bertujuan menghubungkan kawasan hutan bandar Denai Pulai dengan zon hijau Rimba Ilmu bagi mewujudkan koridor biodiversiti yang mampan.
Seramai 64 sukarelawan terdiri daripada 50 mahasiswa dan 11 staf UM berjaya menanam sebanyak 1,100 anak pokok spesies tempatan di bawah bimbingan tiga pegawai FTS.

Sebanyak 700 anak pokok ditanam pada hari pertama, manakala baki 400 anak pokok ditanam pada hari kedua melibatkan spesies seperti belimbing (Averrhoa carambola L.), rambutan (Nephelium lappaceum) dan pegaga (Centella asiatica).
Majlis penutup program disempurnakan oleh Koordinator Seksyen Kesukarelawanan dan Khidmat Komuniti, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UM, Muhammad Aimar Adam Roshidi, dengan kehadiran barisan pengurusan Pusat Pembangunan Lestari (UMSDC), Jabatan Harta Benda serta wakil rakan strategik.
Dalam ucapannya, beliau berkata program berkenaan bukan sahaja bertujuan memelihara kehijauan kampus, malah menjadi wadah pendidikan dalam membentuk jati diri dan tanggungjawab sosial mahasiswa.
“Tanggungjawab menjaga alam sekitar bukan terhad kepada satu program, sebaliknya merupakan amanah berterusan yang perlu dipikul oleh setiap individu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah UMGC, Muhammad Nabil Mohd Sahidan menyifatkan para sukarelawan sebagai ‘Wira Alam’ yang melabur demi masa depan lebih lestari.
“Masa terbaik untuk menanam pokok adalah 20 tahun lalu, dan masa kedua terbaik adalah sekarang. Setiap pokok yang ditanam hari ini merupakan pelaburan untuk udara yang lebih bersih bagi generasi akan datang,” katanya.
Program berkenaan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada rakan strategik serta sesi fotografi bersama peserta.
Kejayaan Urban Forest Initiative itu bukan sahaja menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 13 dan SDG 15), malah menjadi simbol kerjasama erat antara universiti, badan bukan kerajaan dan komuniti dalam memelihara warisan alam untuk generasi akan datang.
