Zionis tahan 66 wartawan di Tebing Barat sejak 7 Oktober

Poster Terkini (2)

KUALA LUMPUR, 4 April 2024 – Israel menahan 66 wartawan di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur sejak tercetusnya perang di Semenanjung Gaza pada 7 Oktober tahun lalu, menurut Kelab Tahanan Palestin semalam.

Penahanan terbaharu membabitkan wartawan Asmaa Nuh Hreish berusia 32 tahun yang ditahan di rumahnya di Ramallah di Tebing Barat, tengah pagi semalam.

Pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1993 bagi menyokong tahanan politik di penjara pendudukan Israel berkata, jumlah wartawan yang ditahan dari Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur sejak 7 Oktober mencecah 66 orang dengan 45 daripadanya ditahan di pendudukan.

Agensi Anadolu melaporkan jumlah itu termasuk empat wartawan wanita dan yang terbaharu ialah Asmaa.

Ia menyatakan bahawa penahanannya “menambahkan jumlah tahanan termasuk bapanya Nuh dan abangnya Ahmed.”

NGO itu berkata, peningkatan ini “ada dalam rangka kempen penangkapan meluas yang dijalankan oleh tentera pendudukan sejak 7 Oktober, termasuk peningkatan ketara dalam penahanan wanita baru-baru ini.”

Kelab Tahanan Palestin melaporkan: “23 wartawan yang ditahan sudah dipindahkan ke tahanan pentadbiran (tanpa tuduhan) dengan alasan mempunyai (fail rahsia), termasuk wartawan dikenali sebagai Ikhlas Sawalha dan Bushra al-Taweel.”

Bagi majoriti wartawan yang masih ditahan, ia dituduh berkaitan hasutan (terhadap Israel) di platform media sosial atau oleh saluran media” ditujukan terhadap mereka, katanya.

Organisasi itu berkata: “Pendudukan sejak beberapa dekad yang lalu, menjalankan dasar menahan wartawan atas pelbagai dasar, jenayah dan pelanggaran terhadap mereka dalam usaha berterusan untuk menutup suara mereka dan melawan naratif Palestin.”

NGO itu turut menggesa institusi hak asasi manusia antarabangsa untuk “memikul tanggungjawab mereka memandangkan penerusan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat di Gaza yang menyasarkan semua lapisan masyarakat Palestin melalui operasi penangkapan yang meluas dan sistematik.”

Menurut Kelab Tahanan, jumlah keseluruhan tahanan Palestin di penjara Israel sehingga akhir Mac melebihi 9,400 termasuk 3,661 tahanan pentadbiran.

Ketegangan semakin memuncak di seluruh Tebing Barat sejak Israel melancarkan serangan ketenteraan maut terhadap Semenanjung Gaza selepas serangan rentas sempadan oleh Palestin pada 7 Oktober 2023.

Lebih 456 rakyat Palestin terbunuh sejak itu dan kira-kira 4,750 lagi cedera akibat tembakan tentera Israel di wilayah yang diduduki, menurut Kementerian Kesihatan.

Israel didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan diminta untuk melakukan pencegahan di Gaza akibat kebuluran yang mana hampir 33,000 orang terbunuh. – BERITA HARIAN