KK9 UM perkasa pendidikan STEM menerusi Projek Jelajah Siswa 2025/2026

Program sehari itu berjaya menghimpunkan lebih 400 pelajar daripada 21 sekolah menengah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Feature Image (3)

KUALA LUMPUR, 4 Jun 2026 – Jawatankuasa Kerja Perkembangan Akademik dan Intelektual (ADIN), Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin (KK9), Universiti Malaya (UM) berjaya melaksanakan Projek Jelajah Siswa Universiti Malaya Sesi 2025/2026 bagi memperkasakan pendidikan dan meningkatkan kesedaran pelajar sekolah menengah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Projek itu merangkumi dua komponen utama iaitu Program Mega Jelajah Siswa Universiti Malaya dan Program Jelajah Siswa Peringkat Kebangsaan yang bertujuan memperkenalkan Universiti Malaya sebagai destinasi pendidikan tinggi pilihan selain menggalakkan minat pelajar terhadap bidang STEM.

Kemuncak projek berkenaan ialah penganjuran Program Mega Jelajah Siswa Universiti Malaya yang berlangsung di Fakulti Sains, Universiti Malaya pada 9 Mei lalu.

Program sehari itu berjaya menghimpunkan lebih 400 pelajar daripada 21 sekolah menengah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dengan sokongan 50 sekretariat serta 48 fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Malaya.

Program dimulakan dengan sesi perasmian sebelum peserta mengikuti slot akademik yang dikendalikan dengan kerjasama PTTI.

Melalui slot tersebut, pelajar dibahagikan mengikut aliran masing-masing dan didedahkan kepada teknik pembelajaran serta strategi menjawab peperiksaan bagi subjek Matematik, Matematik Tambahan, Sains dan Kimia sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut penganjur, slot akademik itu bertujuan membantu pelajar meningkatkan kefahaman terhadap subjek STEM selain memperkenalkan kaedah pembelajaran yang lebih berkesan.

Pada sebelah petang, peserta mengikuti sesi Jelajah Universiti Malaya yang membawa mereka melawat beberapa lokasi utama kampus termasuk Perpustakaan Utama Universiti Malaya, Tasik Varsiti, Kompleks Perdana Siswa dan beberapa fakulti terpilih.

Peserta turut menyertai aktiviti explorace serta pameran akademik yang dikendalikan oleh fakulti berkaitan bagi memberi pendedahan kepada suasana pembelajaran di universiti serta peluang berinteraksi secara langsung dengan mahasiswa UM.

Selain program di kampus, Projek Jelajah Siswa turut diperluaskan menerusi Program Jelajah Siswa Peringkat Kebangsaan yang memberi tumpuan kepada perkongsian akademik, motivasi pendidikan tinggi dan aktiviti STEM berasaskan penyelesaian masalah.

Siri jelajah itu dimulakan di Sekolah Menengah Sains Selangor pada 7 Februari lalu melibatkan 100 pelajar Tingkatan Tiga sebelum diteruskan di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor pada 16 Mei dengan penyertaan 108 pelajar daripada tingkatan yang sama.

Program seterusnya dijadualkan berlangsung di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah pada 12 hingga 13 Jun ini dan dijangka melibatkan lebih 100 pelajar Tingkatan Dua.

Pelbagai aktiviti STEM seperti cabaran inovasi, eksperimen berkumpulan, kuiz interaktif dan sesi perkongsian bersama mahasiswa Universiti Malaya disediakan bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai aplikasi sebenar konsep STEM dalam kehidupan harian.

Menurut penganjur, pendekatan pembelajaran yang santai dan interaktif berjaya menarik minat pelajar serta meningkatkan keyakinan mereka untuk meneroka bidang STEM dengan lebih mendalam.

Secara keseluruhan, Projek Jelajah Siswa Universiti Malaya memberi impak positif kepada peserta dengan memperluaskan pengetahuan mereka mengenai peluang pendidikan tinggi, meningkatkan motivasi untuk melanjutkan pengajian ke universiti serta memupuk minat terhadap bidang STEM.

Penganjur berkata program itu turut mengukuhkan hubungan strategik antara Universiti Malaya dan institusi pendidikan sekolah menengah, sekali gus mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.