UM kongsi kemahiran CPR, bantuan kecemasan dengan komuniti PPR Desa Rejang
Program yang mendapat sokongan Yayasan Inovasi Malaysia itu berjaya menarik penyertaan penduduk setempat walaupun berlangsung dalam keadaan cuaca hujan lebat dan ribut petir.
KUALA LUMPUR, 2 Mei 2026 – Universiti Malaya (UM) menerusi Emergency Medicine Society, Universiti Malaya Medical Society (EMSIG UM MEDSOC) dengan kerjasama Inisiatif MyResQ Universiti Malaya menganjurkan program Hands-on Heroes 2026 – Community Outreach bagi meningkatkan kesedaran dan kemahiran bantuan kecemasan dalam kalangan komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang.
Program yang mendapat sokongan Yayasan Inovasi Malaysia itu berjaya menarik penyertaan penduduk setempat walaupun berlangsung dalam keadaan cuaca hujan lebat dan ribut petir.
Melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal, peserta didedahkan kepada pelbagai kemahiran asas kecemasan termasuk bantuan pernafasan kecemasan atau Cardiopulmonary Resuscitation (CPR), bantuan kepada mangsa tercekik, pembalutan luka dan pendidikan kesihatan.
Menurut penganjur, program berkenaan bertujuan memperluaskan pengetahuan masyarakat mengenai tindakan awal yang boleh diambil ketika berdepan situasi kecemasan sebelum bantuan perubatan profesional tiba.

“Dalam situasi kecemasan, individu yang berada paling hampir dengan mangsa berpotensi memainkan peranan penting dalam membantu menyelamatkan nyawa.
“Justeru, kemahiran asas seperti CPR tidak seharusnya terhad kepada petugas kesihatan sahaja, sebaliknya perlu diperluaskan kepada masyarakat umum,” menurut kenyataan program itu.
Sepanjang program berlangsung, peserta diberi peluang menjalani latihan amali di beberapa stesen pembelajaran yang dikendalikan oleh fasilitator EMSIG UM MEDSOC.
Aktiviti interaktif itu membolehkan peserta mempraktikkan teknik bantuan kecemasan secara langsung serta meningkatkan keyakinan mereka untuk bertindak dalam situasi sebenar.
Salah seorang peserta berkata program berkenaan memberi pendedahan yang bermanfaat dan meningkatkan keyakinannya untuk membantu individu lain yang memerlukan bantuan kecemasan.
Program itu turut menjadi platform memperkukuh usaha MyResQ dalam membudayakan kesiapsiagaan kecemasan dalam komuniti melalui pendidikan dan pemerkasaan masyarakat.

Penganjuran di PPR Desa Rejang juga dilihat bertepatan dengan matlamat memperluaskan akses kepada latihan kecemasan dalam kalangan komuniti bandar serta menggalakkan penglibatan aktif penduduk dalam aktiviti pembangunan masyarakat.
Menurut penganjur, kejayaan program itu turut disokong oleh kerjasama pengurusan PPR Desa Rejang termasuk Shiva yang membantu melancarkan urusan penganjuran.
Program tersebut dijalankan di bawah bimbingan Dr Aida Bustam dengan sokongan MyResQ serta tenaga pengajar terdiri daripada Dr Hafyzuddin dan Dr Afiq.
Selain itu, kepimpinan pelajar yang diterajui Lau Jie Ying, Shaman Suresh dan Gurjit Sadu Singh bersama 33 ahli EMSIG UM MEDSOC memainkan peranan penting sebagai fasilitator dan penggerak program.
Penganjur berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan komuniti yang lebih bersedia, prihatin dan berupaya memberikan bantuan awal ketika berlaku kecemasan.
Menurut mereka, usaha memperkasakan pengetahuan dan kemahiran bantuan kecemasan dalam kalangan masyarakat mampu meningkatkan peluang menyelamatkan nyawa serta mengukuhkan daya tahan komuniti.
