UM terus perkasa STEM menerusi program CAKnA 2.0 di SMK Rompin
pProgram ini bertujuan menyemai minat terhadap STEM dalam kalangan pelajar selain memberi pendedahan kepada mereka mengenai peluang pendidikan dan kerjaya.
KUALA LUMPUR, 4 Mei 2026 – Universiti Malaya (UM) menerusi Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) terus memperkukuh usaha memperkasakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah menerusi pelaksanaan program CAKnA 2.0: Jejak PASUM – Aspirasi Sains Komuniti di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin, Pahang.
Program yang diadakan pada 4 Mei lalu itu melibatkan penyertaan 136 pelajar Tingkatan Tiga dan merupakan kesinambungan kepada kejayaan penganjuran siri pertama di Pekan pada Februari tahun ini.
PASUM dalam kenyataan memaklumkan program berkenaan bertujuan menyemai minat terhadap STEM dalam kalangan pelajar selain memberi pendedahan kepada mereka mengenai peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang tersebut.
Program itu dianjurkan dengan kerjasama Kolej Kediaman Ungku Aziz, Universiti Malaya dan dirasmikan oleh Pengetua Kolej Kediaman Ungku Aziz, Dr Nor Azlina Abd Aziz.
Menurut kenyataan itu, CAKnA 2.0 turut berperanan sebagai platform yang menghubungkan institusi pengajian tinggi dengan komuniti setempat melalui penglibatan fasilitator terdiri daripada pelajar PASUM yang juga penghuni Kolej Kediaman Ungku Aziz.

“Interaksi antara fasilitator dan peserta bukan sahaja membantu meningkatkan pemahaman pelajar terhadap STEM, malah memberi inspirasi serta keyakinan kepada mereka untuk meneroka potensi diri dalam bidang berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengetua SMK Rompin, Zuraini Mohd Mukhtar berkata, program seumpama itu selari dengan aspirasi yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 serta mampu membantu melahirkan generasi yang bersedia menghadapi cabaran revolusi perindustrian pada masa hadapan.
Beliau turut menghargai usaha PASUM membawa program berimpak tinggi ke sekolah luar bandar bagi memastikan pelajar di kawasan berkenaan memperoleh peluang dan pendedahan yang setanding dengan rakan mereka di bandar.

Program CAKnA 2.0 menampilkan aktiviti berbentuk explorace yang merangkumi lima stesen STEM interaktif, membolehkan peserta menjalankan eksperimen, memahami aplikasi konsep sains dalam situasi sebenar serta menghubungkan teori dengan amalan harian.
Menurut kenyataan itu, aktiviti yang dijalankan berjaya merangsang pemikiran kritis, kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam kalangan pelajar selain menggalakkan mereka berkongsi idea serta pandangan secara lebih yakin.
PASUM berharap program seumpama itu dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak kawasan luar bandar bagi menyokong aspirasi negara melahirkan masyarakat celik STEM yang mampu memacu pembangunan berteraskan inovasi dan teknologi.
