Apabila pendaki tidak pulang, perjalanan berakhir dengan tragedi
Dalam psikologi, keadaan ini dikenali sebagai ‘ambiguous loss’ atau kehilangan tanpa kepastian.

MASIH segar dalam ingatan rakyat Malaysia apabila negara dikejutkan dengan kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, ketika menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih, Tapah, Perak.
Lebih menyentuh hati, wanita yang berpengalaman dalam aktiviti pendakian itu dipercayai sempat tiba di puncak gunung sebelum hilang tanpa jejak. Tulisan yang ditinggalkan di atas tanah berbunyi “Hafiz ambik gambar akak dah sampai” menjadi petunjuk terakhir yang mengundang pelbagai emosi kepada rakyat Malaysia.
Dalam beberapa patah perkataan itu tersimpan kegembiraan seorang pendaki yang berjaya menawan puncak, namun siapa menyangka ia menjadi antara memori terakhir sebelum beliau dilaporkan hilang.
Dalam masa yang sama, negara turut diruntun dengan tragedi Nur Izzati Humaira Azizul, 19 tahun, yang dilaporkan hilang ketika menuruni Bukit Changkat Asa di Hulu Bernam bersama ahli keluarganya. Remaja itu dipercayai berjalan lebih awal kerana keletihan dan mahu segera sampai ke kaki bukit.
Namun langkah yang sepatutnya membawanya pulang bertukar menjadi perjalanan yang berakhir dengan tragedi. Selepas empat hari operasi mencari dan menyelamat melibatkan lebih 100 anggota pelbagai agensi serta sukarelawan, jasadnya akhirnya ditemukan tidak jauh dari lokasi terakhir beliau dilihat. Seluruh negara berkongsi kesedihan yang ditanggung oleh keluarganya.
Lebih awal daripada itu, rakyat Malaysia pernah mengikuti dengan penuh debaran misteri kehilangan Mohammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali sebagai Acap ketika menyertai perlumbaan Gopeng Ultra Trail pada tahun 2019. Operasi mencari dan menyelamat dilakukan secara besar-besaran, namun sehingga hari ini misteri kehilangan Acap masih belum terungkai sepenuhnya. Nama Acap terus hidup dalam ingatan rakyat Malaysia sebagai simbol sebuah penantian yang tidak pernah menemui nokhah.
Tiga kisah ini membawa kita kepada satu hakikat yang sama. Apabila seorang pendaki atau pelari hutan tidak pulang, yang hilang bukan sekadar seorang individu di dalam belantara. Yang hilang ialah ketenangan seorang ibu, harapan seorang ayah, doa seorang pasangan dan sebahagian daripada jiwa sebuah keluarga. Di sinilah bermulanya satu perjalanan yang lebih sukar daripada mendaki gunung itu sendiri, iaitu perjalanan menempuh trauma, ketidakpastian dan penyerahan diri kepada takdir Allah SWT.
Bagi kebanyakan orang, kehilangan pendaki hanyalah sebuah tajuk berita. Namun bagi seorang ibu, ia adalah malam yang tidak lagi mengenal erti lena. Bagi seorang ayah, ia adalah ribuan langkah yang diulang-alik di ruang tamu sambil menunggu telefon berdering. Bagi seorang isteri, ia adalah setiap kali pintu rumah dibuka dengan harapan suaminya muncul sambil berkata, “Saya dah balik.”. Malangnya, harapan itu sering bertembung dengan realiti yang kejam — sebuah penantian yang tidak mempunyai jawapan.
Dalam psikologi, keadaan ini dikenali sebagai ‘ambiguous loss’ atau kehilangan tanpa kepastian. Ia dianggap antara bentuk kehilangan yang paling menyakitkan kerana manusia tidak dibina untuk hidup dalam ketidakpastian yang berpanjangan.
Jika kematian disahkan, air mata boleh mengalir dan proses menerima kenyataan boleh bermula. Namun apabila seseorang hilang tanpa berita, hati menjadi tawanan kepada dua emosi yang saling bertentangan: harapan dan ketakutan. Mereka berharap insan tersayang masih hidup, tetapi pada masa yang sama takut untuk menerima kemungkinan yang paling menyedihkan.
Sebab itulah ramai ahli keluarga mangsa kehilangan mengalami tekanan emosi yang luar biasa. Mereka hilang selera makan, sukar tidur dan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga. Setiap bunyi telefon memberi harapan. Setiap kenderaan yang berhenti di hadapan rumah mencetuskan debaran. Mereka hidup dalam keadaan emosi yang tidak pernah benar-benar tenang.
Trauma kehilangan juga tidak semestinya berakhir apabila mangsa ditemui. Ramai ahli keluarga terus dibayangi mimpi buruk, keresahan melampau dan ketakutan yang berpanjangan. Dalam psikologi, keadaan ini dikenali sebagai Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) atau gangguan tekanan pascatrauma.
Ada ibu yang tidak lagi sanggup melihat gambar gunung. Ada ayah yang menjadi terlalu cemas apabila anak-anak keluar melakukan aktiviti lasak. Ada keluarga yang memerlukan bertahun-tahun untuk benar-benar pulih daripada kesan tragedi tersebut.
Dalam era media sosial, kehilangan seseorang sering menjadi perhatian umum. Setiap perkembangan dikongsi, setiap petunjuk dianalisis dan setiap teori dibincangkan. Namun terdapat satu perkara yang sering terlupa. Di sebalik ribuan komen dan perkongsian itu, ada sebuah keluarga yang sedang berusaha bertahan. Ketika keluarga sedang berjuang menahan air mata, mereka sebenarnya memerlukan doa yang ikhlas dan sokongan moral, bukannya spekulasi yang menambah luka.
Hakikatnya, kebanyakan pendaki memulakan perjalanan mereka dengan niat yang baik. Mereka mendaki untuk mencari ketenangan, menikmati keindahan alam dan melarikan diri seketika daripada hiruk-pikuk dunia. Dari sudut psikologi, alam semula jadi terbukti membantu mengurangkan tekanan, meningkatkan kesejahteraan emosi dan memperbaiki kesihatan mental. Gunung sering menjadi tempat manusia mencari dirinya semula.
Namun alam juga mempunyai bahasanya yang tersendiri. Ia mengajar manusia tentang keindahan, tetapi pada masa yang sama mengingatkan bahawa manusia tidak pernah benar-benar berkuasa. Setinggi mana pun gunung yang berjaya ditawan, manusia tetap makhluk yang lemah di hadapan kebesaran Penciptanya.
Dalam banyak kes kehilangan, ahli keluarga sering dihantui rasa bersalah. Ada ibu yang berkata, “Kalaulah saya melarang dia pergi.” Ada pasangan yang menyesal kerana tidak sempat mengucapkan kata-kata terakhir dengan lebih baik. Dalam psikologi, keadaan ini dikenali sebagai ‘survivor guilt’. Individu merasakan mereka sepatutnya mampu menghalang tragedi tersebut walaupun hakikatnya banyak perkara berada di luar kawalan manusia.
Menariknya, psikologi moden hari ini semakin mengiktiraf peranan spiritual dalam membantu manusia menghadapi trauma dan krisis. Dalam Islam, konsep tawakal, sabar, reda dan husnuzan billah bukan sekadar nilai agama tetapi juga mekanisme psikologi yang membantu seseorang mengurus tekanan hidup. Apabila seorang Muslim meyakini bahawa setiap ujian berlaku dalam pengetahuan Allah SWT, beban emosi yang ditanggung menjadi lebih ringan.
Selain menjadi ujian kepada mangsa dan keluarga, tragedi kehilangan pendaki juga menjadi cerminan kepada masyarakat tentang nilai kemanusiaan. Ketika berlaku kehilangan, kita menyaksikan bagaimana anggota penyelamat sanggup meredah hutan siang dan malam, sukarelawan datang membantu tanpa mengira penat dan masyarakat mengangkat tangan mendoakan keselamatan mangsa.
Mungkin sebab itu kisah kehilangan pendaki begitu dekat di hati masyarakat. Ia membuatkan kita sedar bahawa hidup ini terlalu singkat untuk menangguhkan kasih sayang, terlalu rapuh untuk disia-siakan dengan permusuhan dan terlalu bernilai untuk dilalui tanpa mengingati Tuhan.
Kerana akhirnya, gunung yang paling sukar untuk ditawan bukanlah gunung yang berdiri megah di hadapan mata, tetapi gunung kesedihan, ketakutan dan penantian yang berdiri di dalam hati manusia. Setiap kali kita membaca berita kehilangan pendaki seperti Jaslinda Saludin, Nur Izzati Humaira Azizul atau misteri kehilangan Acap yang masih belum terjawab hingga hari ini, ia mengingatkan kita bahawa manusia hanyalah pengembara yang sedang menumpang di bumi Allah SWT.
Sesungguhnya setinggi mana pun gunung yang didaki manusia, hanya kepada Allah SWT tempat kita kembali. Dan sebesar mana pun ujian yang menimpa, rahmat Allah sentiasa lebih luas daripada segala ketakutan dan kesedihan yang dirasai manusia.

