Pusat latihan BMW-STDC di Kuala Selangor dibuka tidak lama lagi

Pusat latihan automotif hasil kerjasama BMW Group Malaysia dan STDC di Kuala Selangor memberi fokus melatih juruteknik berkemahiran tinggi dalam penyelenggaraan kenderaan elektrik dan sistem bateri voltan tinggi.

Feature Image (8)

SERAMAI tiga jurulatih STDC dihantar menjalani latihan intensif di pusat latihan BMW bagi memastikan pemindahan kepakaran teknologi bertaraf dunia dapat disalurkan secara berkesan.

KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2026 – Pusat latihan automotif berteknologi tinggi hasil kerjasama strategik antara BMW Group Malaysia dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) di Kuala Selangor dijangka mula beroperasi dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia Raymond Tan berkata inisiatif susulan perjanjian persefahaman yang dimeterai tahun lalu itu kini berada pada fasa akhir melibatkan pembangunan fasiliti serta pemasangan kelengkapan teknikal moden yang diimport khas.

Menurut beliau, fasa latihan tenaga pengajar telah selesai disempurnakan apabila seramai tiga jurulatih STDC dihantar menjalani latihan intensif di pusat latihan BMW bagi memastikan pemindahan kepakaran teknologi bertaraf dunia dapat disalurkan secara berkesan.

“Pusat latihan ini merupakan platform utama bagi BMW Group memindahkan kepakaran teknikal kami kepada industri serta graduan tempatan. Sebaik sahaja fasiliti ini siap sepenuhnya, kami akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memulakan proses pengambilan kumpulan pertama pelatih.

“Fokus kami adalah melahirkan juruteknik generasi baharu negara yang berkemahiran tinggi khususnya dalam penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan elektrik (EV) serta sistem bateri voltan tinggi (high-voltage battery),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sidang kemuncak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kebolehpasaran graduan, Raymond menegaskan bahawa pelatih dijamin mendapat peluang kerjaya melalui rangkaian pengedar sah BMW di Lembah Klang.

“Kami bekerjasama rapat dengan rakan pengedar seperti Auto Bavaria, Quill Automobiles dan Wheelcorp Premium yang bersedia menawarkan penempatan pekerjaan secara langsung (on-site employment) kepada pelatih sebaik sahaja menamatkan kursus,” katanya.

Menjawab mengenai tahap kemahiran yang diajar, beliau memaklumkan silibus latihan membabitkan pendedahan teknologi aras tinggi setaraf dengan inovasi terkini BMW seperti rangkaian generasi baharu Neue Klasse serta teknologi bateri Gen 6.

Untuk rekod, inisiatif kerjasama teknikal ini merupakan kesinambungan kepada pemeteraian perjanjian perkongsian program BMW Next Generation Technician (BMW NextGT) antara BMW Group Malaysia dan STDC pada 11 November 2025.

Dalam perkembangan sama, Raymond turut menyuarakan keterbukaan BMW untuk menjalinkan kerjasama serupa bersama kerajaan negeri lain atau kementerian berkaitan demi memperkasa bakat masa depan negara.

Menyentuh mengenai prospek pasaran, beliau menzahirkan keyakinan terhadap daya tahan jenama BMW yang kekal kukuh dan optimis menutup tirai tahun ini dengan momentum jualan yang positif dipacu oleh barisan produk inovatif serta sokongan berterusan pelanggan.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat dan Kelestarian BMW Group Malaysia Sashi Ambihaipahan memaklumkan bahawa butiran lanjut mengenai kuota dan proses pengambilan pelatih akan diumumkan secara rasmi sewaktu pembukaan pusat latihan tersebut kelak.