Fungsi video pendek dalam mengangkat mesej
Media massa mempunyai matlamat yang jelas dalam keperluan mendidik, memaklumkan, pembujukan dan menghibur.

SECARA asasnya, media massa mempunyai tanggungjawab dan peranannya dalam memenuhi keperluan serta kehendak khalayak penonton.
Media massa mempunyai matlamat yang jelas dalam keperluan mendidik, memaklumkan, pembujukan dan menghibur.
Kesemuanya ini diadun dengan kemas dalam penyampaiannya agar dapat membantu proses membentuk pemikiran masyarakat dengan corak dan gaya yang diinginkan untuk melahirkan masyarakat berpengetahuan.
Kekuatan medium penyampaian membolehkan maklumat dipindah dengan berkesan kepada golongan sasar. Sebagai contoh, media penyiaran melalui kekuatan persembahan audio visual mampu memberi kesan positif dalam menyampaikan ilmu pengetahuan.
Program-program yang dibentuk ternyata menjadi platform terbaik dalam erti kata untuk mendidik penonton dan menyantuni ilmu pengetahuan terutamanya kepada golongan muda.
Ia bukan suatu yang mustahil apabila kini kita mampu melihat kepelbagaian inisiatif dan inovasi yang mendasari format program, saluran, kandungan dan sasaran penonton.
Program seperti bual bicara, dokumentari, majalah, drama dan pelbagai lagi telah berjaya menterjemahkan objektif yang ditetapkan sebagai usaha dalam menyediakan kandungan berupa pendidikan kepada khalayak tontonan.
Lebih menarik apabila kita membincang tentang penyaluran ilmu berasaskan objektif dan maklumat khusus iaitu berdasarkan peristiwa bersejarah, perayaan atau sambutan hari istimewa atau khas buat individu atau kategori kumpulan yang terlakar dalam kalendar tahunan.
Antaranya sambutan tahun baharu, sambutan perayaan, hari kemerdekaan dan meraikan hari tertentu seperti hari ibu, hari wanita, hari pekerja dan pelbagai lagi.
Ini merupakan antara yang menjadi tumpuan apabila keberkesanan kepelbagaian format program penyiaran teruji dalam menyediakan kandungan berdasarkan pengkhususan pengisian tersebut.
Mesej berunsur didikan pengalaman kehidupan seperti motivasi diri, kesedaran, erti kesyukuran, kekeluargaan, semangat perjuangan dan pelbagai lagi falsafah kehidupan akan ditonjolkan sebagai santapan pemikiran.
Satu daripada format yang popular dan sering dinantikan bagi tujuan di atas adalah melalui penghasilan video pendek.
Video pendek merupakan persembahan visual ringkas namun padat dengan mesej. Jangka masa terbitan adalah sekitar lima ke 10 minit dan ia merupakan kekuatan pada medium ini dalam menjelmakan kesan yang maksimum.
Naratif penceritaan adalah hampir sama dengan format drama atau filem iaitu menitikberatkan jalan cerita yang menarik berkenaan pengalaman kehidupan.
Bezanya adalah kepantasan jalan cerita yang menyelinap difikiran penonton dengan mesej yang mampu menterjemahkan emosi yang diinginkan.
Hal ini terjadi kerana galur cerita yang kebiasaannya menggunakan olahan dialog yang terhad dan dijalin dengan babak yang ringkas serta penggunaan suara latar yang bertindak sebagai pengakhiran jalan cerita.
Samada ia mengungkap sebuah falsafah kehidupan, petikan slogan tertentu, kata-kata bijak pandai mahupun deretan perkataan puitis yang mampu menterjemahkan kesimpulan yang dikehendaki.
Durasi video pendek merupakan cabaran dalam menyampaikan mesej dengan berkesan kerana plot penceritaan harus jelas dan mudah untuk dihayati serta difahami oleh penonton terutamanya apabila membawa unsur didikan berteraskan pengalaman kehidupan.
Selingan lagu atau muzik latar juga dititikberatkan dalam persembahan untuk meningkatkan kesan emosi yang mendalam terhadap tontonan.
Untuk memahami dengan lebih mudah berkenaan penghasilan video pendek ini, mari kita mengimbau ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 yang lalu.
Format video pendek telah dimanfaatkan dengan berkesan dalam membawakan suasana perayaan dengan penuh kepelbagaian pengalaman kehidupan masyarakat.
Bermulanya ramadan hinggalah berakhirnya syawal, masyarakat Malaysia telah dihidangkan dengan pelbagai iklan hari raya yang berorientasikan video pendek telah menjadi perhatian umum.
Mana tidaknya, pelbagai naratif penceritaan yang memberikan mesej untuk mendidik penonton melalui pengalaman kehidupan digarap bersesuaian dengan suasana hari raya tanpa meninggalkan tujuan utama ia dihasilkan iaitu mempromosikan produk atau perkhidmatan sesebuah syarikat.
Lazimnya, tema kekeluargaan dan kasih sayang seringkali diangkat untuk tatapan masyarakat umum. Tema ini diadun dengan pelbagai genre bagi menjelmakan kesan emosi kepada masyarakat dalam memastikan mesej disampaikan dengan sempurna.
Mesej keinsafan dan bermaafan merupakan teras dalam pembikinannya disamping dengan kepelbagaian mesej lain yang mengiringi persembahan bagi mendidik masyarakat tentang konsep kekeluargaan.
Pengolahan yang menarik melalui pendekatan video pendek ini mampu menghasilkan perkongsian ilmu pengetahuan bersandarkan pengalaman kehidupan jika kita tinjau dari sudut kepelbagaian masyarakat Malaysia.
Kepelbagaian budaya diadun sebaik mungkin dalam naratif penceritaan samada ketika kemeriahan perayaan, hari kemerdekaan atau sambutan hari-hari tertentu.
Melalui video pendek yang pernah dihasilkan jelas dapat dilihat ianya merupakan kekuatan dan keunikan yang ada pada masyarakat Malaysia apabila kebersamaan dalam kepelbagaian antara mesej yang diangkat untuk dipertontonkan.
Pengkisahan berdasarkan pengalaman kehidupan dapat menyuntik semangat kekitaan dan kemuafakatan sebagai rakyat yang hidup bersatu padu.
Kesimpulannya, penyampaian mesej berteraskan pengalaman kehidupan melalui video pendek dirasakan lebih mudah mencapai objektif mendidik masyarakat dengan nilai-nilai murni walaupun diolahkan secara ringkas dan padat.
Masyarakat akan tertarik dengan kaedah bersahaja yang digunakan dalam mengajak untuk melakukan kebaikan seiring dengan peningkatan kesedaran masyarakat berhubung konteks yang dijelmakan dalam video pendek.
Apa yang pasti, keperluan mendidik dan menghibur merupakan kekuatan yang ada pada naskah video pendek.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.