Berdaya tahan, bukan kebal

Bagaimana rakyat Malaysia harus bertindak terhadap kejutan minyak global.

Feature Image (1)

JPMorgan Chase baru-baru ini telah mendakwaan bahawa China dan Malaysia adalah antara ekonomi yang paling “berdaya tahan (resilient)” dalam menghadapi kejutan minyak global. Kenyataan ini kedengaran meyakinkan. Ia mencetuskan campuran kelegaan, kekeliruan dan mungkin juga optimisme yang tidak berasas dalam kalangan rakyat Malaysia. Apakah sebenarnya maksud “berdaya tahan”? dan yang lebih penting, bagaimana rakyat marhaen Malaysia harus bertindak balas?

Untuk menjawabnya, kita harus terlebih dahulu memisahkan persepsi daripada realiti.

Berdaya Tahan Tidak Bermaksud Tidak Terjejas

Apabila penganalisis menggambarkan Malaysia sebagai berdaya tahan, mereka membuat perbandingan relatif. Di rantau di mana banyak ekonomi sangat bergantung pada minyak import seperti Jepun, Korea Selatan dan juga sebahagian daripada negara ASEAN, Malaysia menonjol kerana ia merupakan pengeksport bersih minyak dan gas. Oleh itu, harga minyak global yang lebih tinggi membawa peningkatan pendapatan kepada kerajaan, terutamanya melalui Petronas.

Ini memberikan Malaysia penampan (buffer). Di mana, kewangan kerajaan disokong, imbangan perdagangan bertambah baik, dan Ringgit mungkin mengalami sedikit kestabilan. Ini adalah kelebihan makroekonomi yang penting bagi Malaysia. Terutamanya semasa kejutan bekalan global yang didorong oleh ketegangan geopolitik dan gangguan logistik di Selat Hormuz.

Walau bagaimanapun, daya tahan negara mungkin tidak secara langsung akan diterjemahkan kepada keselesaan di isi rumah rakyat Malaysia.

Firma perniagaan masih menghadapi peningkatan kos operasi. Logistik menjadi lebih mahal. Harga makanan mungkin meningkat secara mendadak. Pengguna merasakan tekanan, walaupun negara secara keseluruhannya tidak berada dalam krisis. Dalam erti kata lain, Malaysia tidak terlepas daripada ribut itu, ia hanya mampu mengharunginya dengan bot yang lebih kukuh.

Mengapa Malaysia Berada Pada Kedudukan Yang Lebih Baik

Terdapat tiga sebab utama di sebalik daya tahan relatif Malaysia.

Pertama, statusnya sebagai pengeksport tenaga menyediakan lindung nilai semula jadi. Walaupun negara pengimport minyak mengalami defisit perdagangan yang semakin teruk apabila harga meningkat, Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan pendapatan eksport. Ini melindungi sektor luaran dan menyediakan ruang fiskal untuk bernafas.

Kedua, Malaysia terjerumus ke dalam kejutan minyak global ini dengan asas makroekonomi yang agak stabil. Inflasi, walaupun wujud, ia masih tidak terkawal. Pengurusan fiskal walaupun sentiasa menjalani pengimbangan, kekal dalam had yang boleh diurus. Ini memberi ruang kepada penggubal dasar untuk bertindak balas.

Ketiga, kerajaan mengekalkan fleksibiliti dasar. Melalui subsidi, bantuan yang bersasar dan kawalan harga, pihak berkuasa dapat mengurangkan kesan terhadap isi rumah rakyat. Walaupun langkah sedemikian hanya berkesan dalam tempoh jangka pendek demi mencegah kemerosotan ekonomi yang lebih teruk.

Namun, adalah penting untuk ditegaskan bahawa kelebihan daya tahan ini tidak menghilangkan terus kesan kejutan minyak global; ia hanya mengurangkan keamatan (intensity) kesannya.

Bahaya Salah Tafsir

Terdapat dua kemungkinan reaksi orang ramai terhadap kenyataan JPMorgan Chase. Pertama, ialah sikap sambil lewa, kepercayaan bahawa Malaysia “selamat” dan krisis minyak adalah bukan masalah kita. Kedua, ialah panik, ketakutan terhadap inflasi yang tidak terkawal, kekurangan bekalan minyak, catuan bahan mentah atau keruntuhan ekonomi.
Kedua-dua reaksi tersebut adalah tersasar.

Sikap sambil lewa boleh membawa kepada keputusan kewangan yang lemah, berbelanja, berhutang secara berlebihan dan mengabaikan tanda-tanda tekanan kos. Sementara itu, panik boleh mencetuskan tingkah laku yang tidak rasional seperti menyimpan bahan mentah secara berlebihan (hoarding).

Tindak balas yang betul terletak di antara kesadaran penuh, tenang, dan bermaklumat.

Apa Yang Sepatutnya Dilakukan Oleh Rakyat Malaysia

Di peringkat isi rumah, rakyat marhaen perlu memberi tumpuan kepada kecekapan berbelanja dan bukannya pemotongan pemotongan perbelanjaan yang drastik. Kejutan minyak cenderung untuk muncul sebagai punca peningkatan kos secara beransur-ansur merentasi pelbagai sektor seperti bahan api, elektrik, makanan dan perkhidmatan. Ketidakcekapan kecil dalam perbelanjaan harian akan menjadi lebih ketara dari semasa ke semasa.

Rakyat boleh melakukan pelarasan mudah dalam kehidupan seharian. Urusan rumah dan logistik perlu disatukan bagi mengurangkan penggunaan bahan api, mengambil berat tentang penggunaan elektrik dan mengurangkan perbelanjaan gaya hidup (lifestyle) yang kerap adalah langkah praktikal. Ini bukanlah pengorbanan tetapi cara berbelanja yang optimum.

Dari segi kewangan, isi rumah harus mempunyai daya tahan. Membina atau mengekalkan penampan tunai, iaitu mempunyai simpanan tunai sebanyak tiga hingga enam bulan gaji. Ini adalah langkah persediaan menghadapi hakisan kuasa membeli kelak akibat peningkatan kos sara hidup.

Pada masa sama, adalah bijak bagi rakyat untuk menangguhkan komitmen kewangan baharu. Mengambil pinjaman besar atau menaik taraf gaya hidup dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu akan meningkatkan kerentanan (vulnerability) kewangan. Dalam kegawatan ini kita memerlukan kebijaksanaan, bukan peningkatan gaya hidup.

Bagi mereka yang terlibat dalam pelaburan, tempoh ini menonjolkan perbezaan sektor. Sektor tenaga dan komoditi mungkin mendapat manfaat daripada harga yang lebih tinggi, manakala industri yang didorong oleh pengguna mungkin akan menghadapi tekanan. Kuncinya bukanlah untuk bertindak balas secara emosi, tetapi untuk menilai semula peruntukan dengan pemahaman yang jelas tentang landskap pasaran kewangan yang berubah-ubah.

Tanggungjawab Sivik Yang Lebih Luas

Selain penyesuaian peribadi, terdapat juga peranan untuk rakyat Malaysia sebagai warganegara yang bermaklumat.
Krisis minyak sering disertai dengan gelombang maklumat yang salah, melalui video tular (viral), perbandingan yang mengelirukan dengan negara lain, dan naratif yang terlalu dipermudahkan yang menyalahkan sesetengah pihak tanpa konteks yang benar. Dinamik sedemikian boleh memesongkan persepsi awam dan menjejaskan wacana yang membina.

Sebaliknya, rakyat Malaysia harus memberi perhatian yang lebih kepada tindak balas di antara kesan kejutan minyak dengan penggubalan dasar. Adakah subsidi disasarkan atau menyeluruh? Adakah ruang fiskal dikekalkan untuk kejutan masa hadapan? Adakah langkah-langkah tersebut bersifat sementara atau berstruktur? Menanyakan soalan-soalan ini meningkatkan perbualan yang membina di antara rakyat dan kerajaan. Perbualan bermaklumat (informative) mampu melangkaui reaksi beremosi seperti menyalahkan dan menuding jari.

Gambaran Yang Lebih Luas

Pengajaran yang paling penting daripada krisis kejutan minyak global ini adalah refleksi yang lebih mendalam tentang struktur ekonomi Malaysia.

Adakah kita berdaya tahan kerana kecekapan penggubalan dasar kerajaan? Atau adakah kita hanya bernasib baik kerana memiliki sumber asli (natural resources) yang mampu memberikan kelegaan sementara semasa krisis?

Minyak adalah aset yang terhad dan tidak menentu. Kebergantungan ekonomi kita padanya adalah satu risiko besar dalam tempoh jangka panjang. Oleh itu, situasi semasa ekonomi Malaysia sekarang bukanlah satu kekebalan, tetapi sebagai peringatan tentang keperluan negara untuk pembaharuan struktur dan dasar yang reaktif.

Kesimpulan

Jadi, dalam ketidaktentuan krisis kejutan minyak global ini, bersama dakwaan optimistik JPMordan Chase, rakyat Malaysia tidak perlu panik, kerana asas negara kekal stabil tetapi tiada sebab juga untuk kita berasa lega, kerana isi rumah rakyat Malaysia masih akan merasakan kesan kenaikan kos.

Apa yang rakyat Malaysia perlu lakukan ialah bertindak balas dengan seimbang: kesedaran tanpa rasa takut, berhati-hati tanpa lumpuh. Berwaspada dengan kesadaran penuh.

Daya tahan relatif Malaysia memberi kita sesuatu yang berharga semasa krisis ini; bukan imuniti, bukan kekebalan, tetapi masa. Masa yang lebih panjang untuk bertindak balas dengan bijak dalam menghadapi krisis yang mendatang.