Industri vape tempatan beri amaran kepada kerajaan
Negara berisiko hilang lebih RM600 juta hasil cukai setahun jika vape 15ml diharamkan secara tergesa-gesa.
KUALA LUMPUR, 14 Mei 2026 — Industri vape tempatan memberi amaran bahawa sebarang tindakan menghapuskan produk vape 15ml secara mengejut di bawah pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) berpotensi menyebabkan negara kehilangan lebih RM600 juta hasil cukai setahun, selain memberi kesan besar kepada ribuan pekerjaan rakyat Malaysia.
Syarikat vape tempatan dilaporkan telah membuat pelaburan puluhan juta ringgit selepas Akta 852 diperkenalkan kerajaan, termasuk melibatkan pendaftaran produk dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pensijilan SIRIM, pembayaran duti eksais, pembangunan kilang tempatan, ujian makmal serta pematuhan terhadap standard keselamatan dan pelabelan.
Mohamad Nizam Talib, Presiden Persatuan E-Vaporizers dan Alternatif Tembakau Malaysia (MEVTA), berkata industri telah mengambil langkah serius untuk mematuhi setiap keperluan kawal selia yang ditetapkan kerajaan sejak Akta 852 dilaksanakan.

“Industri telah ikut undang-undang dan melabur besar untuk memastikan produk mematuhi piawaian kerajaan. Tiba-tiba sekarang timbul pula cadangan untuk menghapuskan kategori produk 15ml tanpa tempoh peralihan munasabah.
“Ini bukan sahaja memberi kesan kepada industri, tetapi juga kepada hasil negara dan pekerjaan rakyat,” katanya.
Berdasarkan anggaran semasa, terdapat sekitar 1.5 juta pengguna vape di Malaysia dengan kira-kira 70 peratus menggunakan sistem botol vape, manakala purata penggunaan dianggarkan sekitar lapan botol sebulan.
Dengan kadar cukai RM6 bagi setiap botol 15ml, kerajaan dianggarkan mengutip sekitar RM50 juta hasil cukai sebulan atau lebih RM600 juta setahun daripada kategori produk tersebut sahaja.
Penghapusan produk 15ml secara tergesa-gesa bukan sahaja berisiko mematikan industri sah tempatan, malah boleh menyebabkan peningkatan penyeludupan, ledakan pasaran gelap, kehilangan kawalan regulatori serta kemasukan produk tidak bercukai dan tidak terkawal.
“Permintaan pengguna masih wujud. Kalau produk sah dihapuskan, pengguna tidak akan hilang begitu sahaja. Mereka akan beralih kepada pasaran gelap dan produk seludup yang langsung tidak berada dalam sistem kawal selia kerajaan,” katanya lagi.
Industri turut membangkitkan kebimbangan bahawa penguatkuasaan Akta 852 ketika ini masih belum cukup stabil apabila penjualan atas talian masih berleluasa, produk tidak berdaftar masih mudah diperoleh dan penyalahgunaan vape mengandungi bahan terlarang termasuk dadah sintetik semakin meningkat.
Menurut industri, masalah utama penyalahgunaan vape ketika ini sebenarnya datang daripada pasaran haram dan produk bawah tanah yang langsung tidak berada dalam sistem kawal selia kerajaan.
Dalam masa sama, industri mempersoalkan percanggahan dasar apabila peranti open system masih dibenarkan, cukai masih dikutip dan pensijilan SIRIM masih diluluskan, namun cecair vape sah yang digunakan bersama peranti tersebut pula dicadangkan untuk dihapuskan.
“Kalau peranti masih legal, kenapa cecair vape sah pula mahu dihapuskan? Ini menimbulkan kekeliruan besar kepada pelabur dan industri, khususnya selepas pemain industri telah melabur untuk mematuhi semua keperluan kerajaan,” katanya.
Industri vape tempatan ketika ini dianggarkan melibatkan lebih 8,000 pekerja dalam sektor pengilangan, lebih 15,000 pekerja sektor peruncitan serta ribuan lagi pekerjaan sokongan dalam rantaian bekalan tempatan.
Sebahagian besar pemain industri terdiri daripada golongan belia dan usahawan Bumiputera yang membina perniagaan mereka secara sah sejak beberapa tahun lalu.
Dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar serta peningkatan kes pemberhentian pekerja dalam pelbagai sektor lain, tindakan drastik terhadap industri vape dijangka menambahkan lagi tekanan terhadap peluang pekerjaan rakyat Malaysia.
Industri turut mendakwa bahawa tiada libat urus menyeluruh dilakukan bersama kementerian ekonomi dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebelum cadangan penghapusan produk 15ml dibawa.
Sehubungan itu, industri berharap campur tangan segera Perdana Menteri dapat dilakukan bagi memastikan sebarang perubahan dasar mengambil kira implikasi ekonomi, hasil negara, kestabilan pelaburan serta risiko pertumbuhan pasaran gelap yang lebih sukar dikawal pada masa hadapan.
