UM perkasa bakat mahasiswa bidang kewangan melalui FIPC 2026

Peserta diberi dua cabaran utama yang direka khas bertemakan FinTech dan pengurusan aset, yang mencerminkan cabaran sebenar dalam industri kewangan.

Feature Image

KUALA LUMPUR, 14 Mei 2026 – Seramai 90 mahasiswa dari seluruh negara menyertai program Financial Industry Profession Challenge (FIPC) 2026 yang berlangsung di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya baru-baru ini.

Program anjuran Universiti Malaya Finance Association (UMFA) itu dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik Ambank Group, Whitman Independent Advisors dan Mainstreet Advisers yang dilantik sebagai panel penilai.

Sepanjang FIPC 2026 berlangsung, para peserta diberi dua cabaran utama yang direka khas bertemakan FinTech dan pengurusan aset, yang mencerminkan cabaran sebenar dalam industri kewangan.

Para peserta juga disediakan sesi mentor dan bengkel bersama panel penilai bagi membantu persiapan mereka untuk pusingan akhir. Tambahan pula, program yang berlangsung selama 3 hari tersebut turut menganjurkan Career Booth dan sesi Networking Dinner bagi memberi peluang kepada peserta untuk menerokai peluang pekerjaan dan latihan industri pada masa hadapan.

Dalam ucapan penutupnya, penasihat kelab Universiti Malaya Finance Association (UMFA), Dr. Asyraf Abdul Halim berkata, program seperti FIPC berupaya mengasah kemahiran insaniah yang sukar diperoleh di dewan kuliah seperti pemikiran kritis, daya penyelesaian masalah dan kemahiran komunikasi profesional yang amat diperlukan dalam alam pekerjaan sebenar.

Bagi melabuhkan tirai FIPC sesi kali ini, pengarah program, Sydney Tan berkata, FIPC bukan sahaja sebuah pertandingan, tetapi sebuah platform yang menghimpunkan mahasiswa dari seluruh Malaysia untuk menambah ilmu di dada dan merasai dunia industri kewangan yang sebenar.

Dalam pada itu, beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan strategik, pihak penaja dan semua peserta yang terlibat dalam FIPC pada tahun ini.

Kejayaan program FIPC 2026 diharapkan menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat pelajar dalam bidang kewangan, sekali gus melahirkan graduan yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran industri.