Zchwantech Memperkasa Keselamatan Aplikasi Mudah Alih dan Kepercayaan Digital Menerusi MARF 2026

Image 1 - Zchwantech-MARF2026.jpg

KUALA LUMPUR, 26 Oktober 2026 – Zchwantech Sdn Bhd menerajui usaha memperkukuh kerjasama industri bagi meningkatkan keselamatan aplikasi mudah alih dan kepercayaan digital di Malaysia dengan menghimpunkan lebih 100 pemimpin industri, profesional keselamatan siber, eksekutif teknologi dan pembuat dasar pada Forum Daya Tahan Aplikasi Mudah Alih 2026 (Mobile Application Resilience Forum 2026, MARF 2026) yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

Forum yang dianjurkan bersama oleh Zchwantech Cybersecurity Sdn Bhd, Total SE Solutions Sdn Bhd, CyberSecurity Malaysia dan Global CIO Forum Malaysia itu menjadi platform strategik untuk menangani ancaman keselamatan siber yang semakin berkembang serta menggalakkan piawaian keselamatan yang lebih kukuh dalam ekonomi digital Malaysia yang berkembang pesat. Huawei bertindak sebagai rakan teknologi acara tersebut dengan memanfaatkan Huawei Cloud Security bagi membantu membangunkan ekosistem aplikasi mudah alih tempatan yang dipercayai dan selamat.

Pengerusi Zchwantech, Datuk Seow Gim Shen, berkata penyertaan yang memberangsangkan itu mencerminkan peningkatan kesedaran bahawa keselamatan aplikasi mudah alih bukan lagi sekadar isu teknologi maklumat (IT), sebaliknya telah menjadi keperluan penting kepada ekonomi negara dan sektor perniagaan.

“Transformasi digital Malaysia semakin pesat, dengan aplikasi mudah alih kini semakin menjadi saluran utama yang menghubungkan perniagaan, kerajaan dan pengguna. Bagaimanapun, kemudahan dan peluang yang ditawarkan oleh pendigitalan perlu disokong oleh langkah perlindungan yang sama kukuh bagi menangani ancaman siber, penipuan dan kebocoran data.”

“Keselamatan siber tidak lagi boleh dianggap sebagai perkara sampingan atau sekadar memenuhi keperluan pematuhan. Ia perlu diterapkan dalam reka bentuk, pembangunan dan operasi platform digital. Bagi merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi ekonomi digital terkemuka, kita perlu membangunkan ekosistem yang membolehkan perniagaan berinovasi dengan yakin dan pengguna menjalankan transaksi secara selamat,” kata Datuk Seow.

“Menerusi MARF 2026, Zchwantech berhasrat membantu merapatkan jurang antara dasar keselamatan siber, teknologi baharu dan pelaksanaan secara praktikal, sekali gus memperkasakan perniagaan di Malaysia untuk membangunkan ekosistem digital yang lebih selamat dan berdaya tahan,” tambah beliau.

Ketika menyampaikan ucaptama pembukaan bertajuk Mobile Resilience: A National Cyber Security Priority (Daya Tahan Aplikasi Mudah Alih: Keutamaan Keselamatan Siber Negara), Rummie Wisning, Pengarah Bahagian Aplikasi dan Infrastruktur di Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), menekankan kepentingan memperkukuh daya tahan aplikasi mudah alih bagi melindungi perkhidmatan digital penting serta mengekalkan kepercayaan orang ramai.

Beliau menekankan keperluan organisasi untuk mengguna pakai pendekatan menyeluruh yang merangkumi pencegahan ancaman siber, pengesanan, tindak balas terhadap insiden dan pemulihan perkhidmatan, disokong oleh tadbir urus yang lebih kukuh serta jaminan keselamatan secara berterusan.

NACSA turut menekankan kepentingan kerjasama antara sektor awam dan swasta serta penjajaran dengan kerangka keselamatan siber negara, termasuk Akta Keselamatan Siber 2024, dalam membangunkan ekosistem digital yang lebih selamat dan berdaya tahan.

Sehubungan itu, antara fokus utama MARF 2026 ialah Skim Pensijilan Aplikasi Mudah Alih (Mobile Application Certification, MAC) oleh CyberSecurity Malaysia, yang menggalakkan penilaian dan pensijilan bebas terhadap aplikasi mudah alih berdasarkan keperluan keselamatan yang ditetapkan.

MARF 2026 turut menampilkan pembentangan pakar dan sesi perbincangan mengenai ancaman siber yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI), pematuhan berterusan, perlindungan aplikasi mudah alih serta landskap keselamatan siber yang sentiasa berkembang.