Ibadah korban: Mengapa agihan minimum 1/3 kepada golongan miskin wajib dilaksanakan?

Dalam mazhab Syafie unsur paling penting dalam ibadat korban ialah pengagihan daging korban bukannya syiar korban (menumpahkan darah) sebagimana dalam mazhab Hanafi.

Feature Image (6)

IBADAH korban (al-udhiyyah) merupakan manhaj tahunan yang mensintesiskan dua dimensi utama dalam Islam, iaitu ketakwaan ritual individu kepada Pencipta dan penyetaraan keadilan sosioekonomi kepada komuniti. Namun, kelesuan ijtihad pengurusan kontemporari sering kali mengecilkan dimensi kedua ini.

Amalan agihan daging korban hari ini dilihat cenderung berlindung di sebalik takwil “kadar minimum paling asas” (ma yutlaqu ‘alayhi al-lahm) demi memenuhi kehendak teknikal hukum asal, lalu membelakangkan matlamat agung (Maqasid al-Shari’ah) di sebalik pensyariatannya.

Artikel ini cuba mendedahkan laras berfikir mutaqaddimin bagi menterjemah semula hak asnaf secara saksama di masa kini melalui langkah melazimkan kadar pengeluaran total daging mentah sembilah korban sekurang-kurangnya satu pertiga (1/3).

Teras Mazhab Syafi’i: Agihan Daging Adalah Unsur Utama

Dalam mazhab Syafie unsur paling penting dalam ibadat korban ialah pengagihan daging korban bukannya syiar korban (menumpahkan darah) sebagimana dalam mazhab Hanafi. Sebaik sahaja pisau memotong leher, syiar selesai dan matlamat tercapai, daging boleh dimakan, habis.

Dalam Mazhab Syafi’I, menyembelih hanyalah pintu gerbang (wasilah) manakala matlamat hakiki (ghayah) ibadah ini ialah pemberian manfaat daging mentah kepada fakir miskin. Jika daging tidak berpindah milik kepada golongan miskin, ibadah korban itu runtuh dan batal.

Oleh itu agihan daging adalah core element (rukun pengesah) dalam Mazhab Syafi’i, justeru mengabaikan kuantiti agihan yang signifikan adalah tindakan yang merosakkan matlamat utama syariat tersebut.

Jerat Literal ‘Ma Yutlaqu ‘Alayh al-Lahm’

Dalam wacana fiqh Syafi’iyyah arus perdana, syarat sah agihan korban sunat adalah berpindahnya hak milik daging mentah kepada golongan fakir miskin atas kadar ma yutlaqu ‘alayh al-lahm (apa-apa kadar yang sah dinamakan daging mengikut adat atau uruf).

Ia bermakna peserta korban, wajib mensedaqahkan daging mentah korban kepada fakir miskin dengan kadar tertentu. Jabatan Mufti Negeri Selangor misalnya melalui portal e-Musykil menyatakan, unjuran berat bagi memenuhi kadar minimum telah diterjemahkan secara metrik, iaitu “sekurang-kurangnya 500 gram”.

Dalam syarah kitab klasik turut menegaskan hal ini: “Tetapi, tidak memadai (tidak sah) jika memberikan kadar yang terlalu sedikit dan remeh (tafih jiddan).”

Namun, jika diteliti dari sudut nisbah proporsional, implikasi moral “fatwa minimum” ini masih menimbul persoalan. Bayangkan sebuah senario: sebuah keluarga kaya menyembelih seekor lembu korban gemuk seberat 60 kilogram. Mengikut lojik batas minimum ini, pemilik korban dianggap “sah” ibadahnya sekiranya dia menyerahkan seketul daging seberat 500 gram (0.8 peratus) kepada seorang fakir miskin di tepi jalan manakala baki 59.5 kilogram (99.2 peratus) lagi dibawa pulang untuk memenuhkan peti sejuk beku mereka atau dihadiahkan sesama rakan yang kaya (al-ghani).

Penyimpangan agihan sebegini jelas mencabar keadilan distributif Islam dan menukarkan ibadah kebajikan menjadi “pesta barbeku eksklusif golongan elit” yang bertopengkan syariat. Ia membelakangkan tuntutan eksplisit al-Quran yang menggunakan kata perintah (fii’il amr) yang membawa hukum wajib iaitu “wa at’imu al-ba’isa al-faqir” (dan berilah makan kepada al-Bais (orang miskin yang sangat melarat hingga menampakkan kesengsaraannya) lagi al-Faqir)” (Surah al-Hajj: 28)

Konflik Hermeneutik: Takwil Hanafi vs Konstruksi Syafi’i

Bagi memahami akar bagaimana kelonggaran agihan ini boleh merembes masuk ke dalam pemikiran masyarakat, kita perlu meneliti dinamika perbandingan mazhab (Al-Fiqh al-Muqaran). Dalam peta hukum-hakam Islam, wujud polarisasi yang sangat kontras antara Mazhab Syafi’i dan Mazhab Hanafi mengenai hak fakir miskin ke atas daging korban.

Di satu sudut, Mazhab Hanafi mengambil pendekatan yang unik. Di sisi mereka, hukum melakukan ibadah korban itu sendiri adalah wajib bagi setiap Muslim yang menetap (bukan musafir) dan mempunyai kemampuan kewangan yang mencukupi. Namun setelah haiwan korban disembelih, mereka memutuskan tidak wajib untuk menyedekahkan daging tersebut kepada fakir miskin. Pemilik korban berhak memakan keseluruhan daging itu bersama keluarganya tanpa dosa.

Bagi mempertahankan pandangan ini daripada asakan ayat al-Quran dan hadis yang menggunakan kata perintah (fi’il amr) seperti “Berilah makan…”, para ulama Hanafi melakukan siri takwil (hermeneutik) berasaskan Usul Fiqh mereka:

1. Takwil Perintah Sebagai Keharusan (Ibahah): Dalam ayat 28 Surah al-Hajj, perintah “Makan” (Fakulu) dan “Beri makan” (Wa At’imu) dibawa bersama-sama. Memandangkan majoriti ulama sepakat bahawa pemilik korban tidak wajib memakan korbannya sendiri (ia hanyalah keharusan), maka mengikut kaedah linguistik Hanafi, perintah “Beri makan” turut jatuh hukumnya menjadi sekadar harus atau sunat sahaja, bukannya wajib.

2. Takwil Latar Belakang Hadis (Asbab al-Wurud): Ulama Hanafi berhujah bahawa perintah bersedekah dan melarang menyimpan daging pada zaman awal Madinah adalah disebabkan krisis inflasi dan kebuluran (kemasukan tetamu yang kelaparan). Apabila krisis tamat, Nabi SAW bersabda: “Dahulu aku melarang kamu… sekarang makanlah, simpanlah dan bersedekahlah.” (Riwayat Muslim). Bagi Hanafi, sebarang kata perintah yang datang selepas sesuatu larangan diangkat (Ibahah ba’da al-hazr), hukumnya secara automatik bertukar menjadi harus, bukan wajib.

3. Teras Motif Pada Sembelihan: Bagi kelompok ini, maksud utama ibadah korban adalah tindakan menumpahkan darah haiwan (Irhaq ad-Dam) sebagai simbolik pengorbanan Nabi Ibrahim AS. Sebaik sahaja darah tumpah dengan niat ikhlas, ibadah dianggap selesai 100 peratus. Urusan daging selepas itu hanyalah urusan sekunder.

Pendekatan Hanafi ini disanggah oleh Mazhab Syafi’i. Bagi Syafi’iyyah, kaedah usul tersebut dikira tersasar kerana mengabaikan perintah langsung syariat Nabi Muhammad SAW yang bersifat berdiri sendiri. Hakikatnya kita melaksanakan ibadah berdasarkan acuan dan suruhan Nabi Muhammad SAW, bukannya meniru bulat-bulat perbuatan umat terdahulu tanpa terikat dengan pembelaan sosial.

Perintah “berilah makan” bertukar menjadi wajib kerana tujuan utama ibadah harta adalah al-muwasaat (menyantuni). Memisahkan antara ritual sembelihan dengan keadilan agihan adalah satu bentuk kefahaman agama yang tipis dan literal.

Membedah Istilah ‘Adna al-Kamal’ dalam Kitab Al-Majmu’

Dalam kitab al-majmu’ Imam al-Nawawi menyatakan pandangan yang lebih sahih ialah wajib bersedekah sebahagian daripada daging korban dan disunatkan bersedeqah sebanyak mungkin sekurang-kurangnya (adna al-kamal) satu pertiga dari daging mentah. Imam al-Nawawi bersandarkan kepada pandangan ashab al-shafi’iyyah iaitu “sekurang-kurang kesempurnaan (adna al-kamal) adalah dia memakan sepertiga, bersedekah sepertiga dan menghadiahkan sepertiga.”

Dalam perbincangan usul, adna al-kamal membawa maksud “tangga paling bawah bagi kesempurnaan hukum sunat/mustahab,” bukannya sempadan perintah wajib syarak. Tahap kesempurnaan paling tinggi (al-akmal) adalah bersedekah 100 peratus daging. Namun jika pemilik korban mahu mengambil bahagian sendiri, paras paling minimum untuk perbuatannya masih dikira “sempurna mengikut sunnah” adalah mengekalkan formula seimbang pembahagian tiga (1/3).

Implikasi Hukum Makruh & Keperluan Siasah Syar’iyyah

Walaupun dari sudut fakta teks klasik muktamad kadar 1/3 itu tidak wajib syarak, kaedah menetapkan bahawa apabila sesuatu amalan jatuh di bawah standard adna al-kamal (kesempurnaan minimum), maka perbuatan yang terkurang daripadanya dihukumkan sebagai makruh tanzih (tegahan lebih ringan) atau khilaf al-awla (menyalahi yang lebih utama) ).

Dalam hal ini tindakan sengaja mengurangkan hak fakir miskin daripada unjuran 1/3 secara drastik (seperti kes memberikan token 500 gram daripada seekor lembu) adalah makruh yang bersangatan. Ia bukan sahaja mencatatkan kecacatan pada roh dan fadhilat korban, malah mempamerkan sifat bakhil pemilik korban yang membelakangkan kepentingan asnaf dalam rukun intipati Mazhab Syafi’i.

Atas prinsip inilah, kelonggaran teks literal ba’dh (sebahagian) ini tidak boleh dibiarkan menjadi lubang manipulasi masyarakat berada. Kita menuntut institusi fatwa negeri di Malaysia untuk menerapkan instrumen Siasah Syar’iyyah iaitu hak pemerintah mengambil tindakan undang-undang demi memelihara kepentingan rakyat. Pihak berkuasa agama berhak mengangkat formula /3 ini menjadi satu Regulasi Pentadbiran yang wajib dipatuhi di oleh pengendali ibadat korban di Malaysia sama ada NGO, kariah atau masjid secara bertingkat:

1. Wajib Standard 1/3: Meletakkan status wajib pengeluaran total sekurang-kurangnya 1/3 daripada keseluruhan berat daging haiwan korban untuk diserahkan kepada fakir miskin, sekiranya bilangan asnaf di kariah tersebut mencukupi.

2. Kadar Pengecualian (1/4): Penurunan kadar pengeluaran total di bawah satu pertiga seperti 1/4 hanya dibenarkan sebagai batas sah darurat sekiranya sesebuah lokaliti terbukti mengalami kesukaran menjejaki golongan fakir miskin.

Langkah ini penting bagi memastikan kuantiti daging yang mengalir keluar mempunyai nilai ekonomi yang signifikan dan berkesan untuk lauk isi rumah miskin, bukan sekadar pemberian sisa yang menghina maruah asnaf. Hakikatnya ia bukan tidakan menukar hukum sewenang-wenangnya tetapi mengawal hak fakir miskin agar kebajikan mereka terpelihara.

Ia sama dengan hak pemerintah yang dilakukan oleh Sayyidina Umar al-Khattab iaitu menghukumkan ungkapan talak tiga dalam satu lafaz menjadi talak tiga sekali gus bukan talak satu sebagaimana yang berlaku di zaman Nabi s.a.w., Sayyidina Abu Bakar dan di awal pemerintahan Umar.

Pemerintah atau pihak berkuasa agama mempunyai hak di bawah kaedah fiqh: “Tasarruf al-Imam ‘ala al-ra’iyyah manutun bi al-maslahah” (Tindakan pemerintah ke atas rakyat mestilah terikat dengan maslahat).

Meskipun dari sudut fakta teks fiqh muktamad, 1/3 itu tidak wajib, namun hujah ini tidak seharusnya dijadikan lesen untuk menghalalkan sifat bakhil peserta korban era moden. Di sinilah kritikan falsafah perundangan Islam (Maqasid) perlu bertindak.

Dalam hal ini tokoh mujtahid besar, Imam al-Mawardi dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir menggariskan bahawa pengagihan yang terlalu sedikit sehingga mengabaikan kelaparan fakir tempatan demi memenuhkan keinginan sendiri adalah perbuatan yang sangat dibenci kerana merosakkan nilai al-muwasaat (menyantuni si miskin).

Penyakit Sistemik Zakat dan Korban

Kegagalan mentafsir roh nas al-Ba’is al-Faqir dalam isu korban ini sejajar dengan kehendak semasa dan setempat sebenarnya berkongsi ‘penyakit kapitalisme sistemik’ yang sama dengan isu agihan zakat moden di Malaysia. Apabila nas zakat menetapkan rukun keutamaan Innamas sadaqat lil fuqara’ wa al-masakin (Surah at-Taubah: 60), takwil fatwa semasa pula telah melonggarkan asnaf Fi Sabilillah secara melampau.

Ia merangkumi pelbagai kebaikan umat merangkumi NGO tertentu manakala bagi negeri tertentu, pelaksanaan Asnaf Fi Sabilillah diperluaskan hingga menjadi majoriti pengagihan zakat melebihi 80 peratus bagi sesetengah negeri kerana tiada standard kawalan yang ketat.

Akibatnya, zakat yang mengalir dalam kalangan bukan miskin menenggelami zakat kalangan para faqir miskin sekali gus menyalahi objektif utama zakat iaitu mengutamakan asnaf miskin berbanding asnaf lain.

Sama ada dalam koridor zakat mahupun ibadah korban, sudah tiba masanya umat Islam mendesak agar keutamaan mutlak dikembalikan kepada golongan mustadh’afin (mereka yang lemah dan tertindas). Fiqh Islam tidak boleh diturunkan darjatnya menjadi pelindung harta orang kaya semata-mata tetapi ia wajib kekal berfungsi sebagai instrumen pembebasan dan pembelaan hak orang miskin seperti yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya.

Mengubah dasar agihan daging korban melalui fatwa semasa daripada token 500 gram kepada agihan 1/3 secara total dari sudut pelaksanaannya adalah langkah pertama untuk membersihkan ibadah kita daripada jerat kapitalisme berwajah agama.Wa Allah a’lam.