UM ketengah nilai inklusif, interaktif budaya melalui “Songket Pop”
Festival yang berlangsung selama tujuh hari itu menghimpunkan lebih 2,000 pelajar universiti dan masyarakat umum menerusi penganjuran karnival kemanusiaan dan kebudayaan berskala besar.
KUALA LUMPUR, 21 Mei 2026 – Festival MKAI 3.0 2026 anjuran Sekretariat Misi Kemanusiaan Antarabangsa Indonesia (MKAI) 3.0 Universiti Malaya (UM) mengetengahkan nilai inklusif dan interaktif budaya menerusi tema unik “Songket Pop”, yang menggabungkan keindahan warisan tradisional Nusantara dengan sentuhan moden yang dinamik.
Festival yang berlangsung selama tujuh hari itu menghimpunkan lebih 2,000 pelajar universiti serta masyarakat umum menerusi penganjuran karnival kemanusiaan dan kebudayaan berskala besar.
Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang festival berkenaan, antaranya Rumah Hantu Tantirana, persembahan artis seperti Ara Johari, Drama Band dan Tam Spider, selain Podcast Cerita Apa Hari Ini, Busk and Chill, kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) serta Pulse and Rhythm Zumba.
Penganjur memaklumkan kepelbagaian aktiviti itu bukan sahaja bertujuan menghiburkan pengunjung, malah menjadi medium strategik dalam memperkukuh hubungan sosial antara komuniti universiti dan masyarakat luar.

Festival MKAI 3.0 2026 turut berperanan sebagai platform pengumpulan dana bagi menjayakan MKAI 3.0 yang memberi fokus kepada usaha memperkasa komuniti di Indonesia menerusi aspek pendidikan, kesihatan, pembangunan infrastruktur, kelestarian alam sekitar serta pemerkasaan wanita.
Pada masa sama, inisiatif itu membuka ruang kepada pelajar Universiti Malaya untuk memperoleh pengalaman langsung dalam pengurusan projek sukarelawan di peringkat antarabangsa.
Menurut Pengarah Program, Nur Allisya Suffiah Mohd Hedrisham, festival itu bukan sekadar platform mengumpul dana, sebaliknya menjadi inisiatif penting dalam membentuk generasi belia yang berdaya saing, berempati dan bertanggungjawab terhadap masyarakat global.

Mengimbas kejayaan program terdahulu, MKAI 2.0 telah berlangsung di Nagari Batu Kalang, Padang, Indonesia dari 23 hingga 31 Julai 2025 dengan tema “Outreaching Community: Volunteerism with Passion”.
Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang program berkenaan termasuk penanaman rumput vetiver, pemasangan sensor kelembapan tanah, pengajaran STEM dan Bahasa Inggeris, program kesedaran kesihatan, kelas masakan tradisional Malaysia serta penambahbaikan infrastruktur kampung.
Usaha itu bukan sahaja memberi impak positif kepada komuniti setempat, malah memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia dalam semangat ASEAN.
Festival MKAI 3.0 kali ini turut membawa aspirasi lebih besar menerusi pelaksanaan program pendidikan alam sekitar, pemuliharaan terumbu karang serta pembangunan kemahiran belia di kawasan seperti Pulau Tidung sebagai langkah memastikan kelestarian masa depan komuniti terlibat.

Selain menjadi platform hiburan dan kebudayaan, festival berkenaan turut menyemai nilai empati, kasih sayang serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan penganjur, peserta dan pengunjung melalui peningkatan kesedaran terhadap realiti kehidupan masyarakat lain.
Penganjur turut berharap kerjasama pelbagai pihak mampu menjadikan festival itu sebagai gerakan yang menggalakkan lebih ramai individu menjadi agen perubahan, sekali gus mencipta impak berpanjangan kepada komuniti di Indonesia serta melahirkan generasi masa depan yang lebih prihatin, berilmu dan bertanggungjawab sosial.
