WADAH kecam kenyataan didakwa hina Sahabat Nabi SAW

Feature Image (7)

KUALA LUMPUR, 13 Mei 2026 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) mengecam kenyataan seorang Ahli Parlimen, Datuk Dr Zawawi Nik Nik Salleh yang didakwa menghina serta merendah-rendahkan kewibawaan para Sahabat Nabi Muhammad SAW menerusi satu ceramah baru-baru ini.

Timbalan Presiden WADAH, Hasri Harun berkata WADAH memandang serius kenyataan berkenaan kerana para Sahabat Rasulullah SAW merupakan generasi terbaik umat Islam yang dipilih Allah SWT untuk mendampingi, membantu dan menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia.

Beliau berkata kedudukan para Sahabat turut dimuliakan menerusi al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW.

“Sebarang usaha untuk mencemarkan nama para Sahabat bukan sahaja bertentangan dengan adab Islam, malah boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam, menggugat keharmonian masyarakat serta mencetuskan kekeliruan terhadap kewibawaan para Sahabat Nabi SAW yang telah berjasa besar kepada agama Islam,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, tindakan membangkitkan sejarah lampau para Sahabat sebelum kedatangan Islam juga tidak wajar kerana ia boleh mengundang salah faham dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, WADAH menyeru semua pihak supaya berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan, khususnya berkaitan sejarah Islam dan kedudukan tokoh-tokoh Islam.

Antara gesaan yang dikemukakan ialah menghormati kedudukan para Sahabat Nabi SAW sebagai tokoh agung Islam, mengelakkan provokasi atau kenyataan tidak berasas berkaitan sejarah Islam serta merujuk kepada autoriti ilmiah dan ulama muktabar dalam memahami isu berkaitan.

Selain itu, WADAH turut mengingatkan kepentingan memelihara perpaduan umat dan mengutamakan adab dalam perbezaan pandangan.

Dalam pada itu, pertubuhan berkenaan turut menggesa pihak berkuasa dan institusi berkaitan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang sengaja menimbulkan kebencian terhadap tokoh-tokoh Islam.

Hasri berkata umat Islam perlu kembali kepada nilai ilmu, hikmah dan akhlak mulia dalam menyampaikan pandangan selaras dengan tuntutan Islam sebagai agama rahmat untuk sekalian alam.