Aminuddin jalankan tugas Menteri Besar seperti biasa

Perkara itu dititahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ketika beliau menghadap baginda semalam.

Feature Image

KUALA LUMPUR, 28 April 2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan Datuk Seri Aminuddin Harun akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Anwar berkata perkara itu dititahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ketika beliau menghadap baginda semalam.

“Semalam saya menghadap Tuanku Muhriz dan menjunjung kasih atas pertimbangan baginda untuk pertamanya atas titah baginda supaya Aminuddin meneruskan tugas sebagai Menteri Besar demi kepentingan negeri dan kebajikan rakyat.

“Keputusan setakat ini, dengan titah Tuanku yang saya dengar semalam, kerajaan negeri harus berjalan seperti biasa sehingga ada keperluan untuk membawa apa-apa perubahan.

“Setakat ini saya telah minta Menteri Besar (Aminuddin) jalankan (tugas) seperti biasa dan proses undang-undang tidak menghalang dan kami juga tidak menghalang proses undang-undang itu diteruskan dengan baik. Tidak menyentuh sama ada institusi Raja atau Undang, kami muliakan,” katanya selepas sesi Temu Anwar dan peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI di sini hari ini.

Semalam, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin, susulan kemelut pemerintahan dan pemakluman rasmi berhubung perkara itu akan dihantar kepada Yang Dipertua DUN dan Setiausaha DUN.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan tidak mewujudkan sebarang implikasi lain serta menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Malah, beliau menjangkakan untuk bertemu Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bagi membincangkan perkembangan isu tersebut.

“Setakat ini tidak timbul isu bubar… yang setakat saya bincang, minta pandangan, nasihat Tuanku, beliau (Aminuddin) diminta jalan terus (tugas Menteri Besar) sementara proses yang lain itu dijalankan ikut undang-undang,” katanya.

Selain mengingatkan supaya tiada yang membuat andaian mengenai kemelut negeri itu, Anwar meminta semua pihak untuk memberikan ruang bagi membolehkan rundingan dijalankan dengan baik melibatkan sebarang keputusan sistem perundangan di negeri berkenaan.

Tanpa memberikan tempoh bagi melihat kemelut politik di Negeri Sembilan berakhir, Anwar berkata, keputusan yang dibuat kelak perlu mengambil kira sistem perundangan negeri berkenaan.

“Saya tidak boleh bagi satu tarikh kerana wajar kita beri ruang untuk semua pihak berunding dengan baik kerana keputusan dibuat bagi yang memahami sistem perundangan Negeri Sembilan, umpamanya pelantikan Menteri Besar itu bersama empat Undang.

“Kalau kita ambil keputusan pelantikan itu dengan empat Undang, pengunduran pun begitu juga. Jadi ia tidak semudah yang dibayangkan,” kata Perdana Menteri.

Beliau juga berkata sebarang keputusan yang diambil kelak perlu menjaga kepentingan negeri serta menghormati dan memuliakan institusi Diraja.

Sementara itu, Perdana Menteri dalam kenyataan berkata Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan kerjasama penuh untuk memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri berkenaan.

“Saya juga menyeru rakyat khususnya di Negeri Sembilan terus berhemah, beradab dan menjaga ketertiban terutama dalam membicarakan ehwal institusi Raja dan undang-undang negeri,” katanya. – Bernama