PTAR Kejuruteraan dan JSM perkasa literasi standard, hubungkan ilmu akademik dengan keperluan industri

Program Bicara Pakar PTAR Kejuruteraan UiTM bersama Jabatan Standard Malaysia meningkatkan kefahaman mahasiswa tentang standard, akreditasi dan jaminan kualiti industri.

Feature Image (4)

Oleh: NURUL FARIHAH SARMIN PANUT

KUALA LUMPUR, 6 November 2026 – Kefahaman terhadap standard, keselamatan dan jaminan kualiti merupakan antara kompetensi penting yang perlu dikuasai oleh mahasiswa kejuruteraan bagi memenuhi keperluan industri yang semakin mencabar.

Sehubungan itu, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia (JSM), telah menganjurkan Program Bicara Pakar: Jabatan Standard Malaysia pada 3 November 2026 di Dewan Kuliah D, Fakulti Kejuruteraan Kimia, Menara 2, UiTM Shah Alam.

Program yang melibatkan 50 orang mahasiswa, lapan orang wakil JSM dan tujuh orang staf PTAR Kejuruteraan ini bertujuan meningkatkan literasi standard serta memberikan pendedahan tentang kepentingan pematuhan, akreditasi dan pengurusan kualiti dalam bidang kejuruteraan

Memperkukuh Kefahaman Standard dalam Bidang Kejuruteraan

Program ini menampilkan empat sesi perkongsian kepakaran oleh wakil JSM. Encik Muhammad Aliff Ali membentangkan tajuk National Quality Infrastructure (NQI), diikuti Puan Karmila Abdul Wahab yang berkongsi tentang kepentingan standard dalam bidang kejuruteraan.

Seterusnya, Puan Saidatul Atyah Mohd Apendai menyampaikan taklimat berkaitan akreditasi dan pensijilan sistem pengurusan kualiti, manakala Encik Hussin Ibrahim memperkenalkan fungsi serta perkhidmatan Pusat Maklumat JSM.
Perkongsian ini memberikan pendedahan kepada mahasiswa tentang penggunaan standard sebagai rujukan dalam memastikan keselamatan, kualiti dan kebolehpercayaan proses serta produk kejuruteraan.

Pembelajaran Interaktif Tingkatkan Penglibatan Mahasiswa

Selain sesi perkongsian, program ini turut diserikan dengan aktiviti kuiz, pameran maklumat dan permainan interaktif Eksplorasi Standard yang menggalakkan penyertaan aktif mahasiswa.

Reruai Pusat Maklumat JSM yang dibuka di PTAR Kejuruteraan turut memberikan peluang kepada pengunjung untuk mengenali Malaysian Standard (MS), mendapatkan maklumat tentang perkhidmatan JSM serta memahami kepentingan standard dalam bidang profesional dan kehidupan seharian.

Pendekatan interaktif ini menjadikan topik standardisasi lebih mudah difahami melalui pengalaman pembelajaran yang praktikal dan menarik.

Memperkukuh Kompetensi Mahasiswa dan Peranan Perpustakaan

Penganjuran program ini memberikan nilai tambah kepada pembelajaran akademik melalui pendedahan terhadap amalan standard dalam industri, khususnya berkaitan keselamatan proses, kawalan kualiti dan pembinaan infrastruktur. Antara impak yang diharapkan ialah peningkatan kesedaran terhadap kepentingan standard, pemahaman tentang amalan jaminan kualiti serta kesediaan mahasiswa menghadapi tuntutan profesional dalam bidang kejuruteraan.

Bagi PTAR Kejuruteraan, kerjasama dengan JSM memperkukuh peranan perpustakaan sebagai penghubung antara mahasiswa dengan sumber maklumat berautoriti dan kepakaran industri. Inisiatif ini turut mencerminkan peranan pustakawan sebagai rakan ilmu (Knowledge Partner) dalam menyokong pengajaran, pembelajaran dan pembangunan kompetensi mahasiswa.

Usaha ini selari dengan aspirasi perpustakaan sebagai Vibrant Centre of Learning yang menyediakan ruang pembelajaran dinamik, kolaboratif dan relevan dengan keperluan semasa.

Kerjasama strategik antara PTAR Kejuruteraan dengan JSM diharapkan dapat diteruskan melalui program literasi standard dan perkongsian kepakaran bagi menyokong pembangunan graduan kejuruteraan yang kompeten, berintegriti serta mengutamakan keselamatan dan kualiti.

Inisiatif ini turut mendukung aspirasi “Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa” melalui penyebaran ilmu dan pengukuhan hubungan antara universiti dengan agensi profesional.

* Penulis merupakan Timbalan Ketua Pustakawan, Jabatan perpustakaan Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor.