Pasar Seloka JPNR suburkan ekosistem usahawan dalam kalangan mahasiswa non-resident UiTM Kampus Rembau

Pasar Seloka anjuran JPNR UiTM Rembau membantu mahasiswa mengembangkan bakat keusahawanan, menjana pendapatan sampingan dan mengasah kemahiran insaniah.

Feature Image

KUALA LUMPUR, 6 November 2026 – Jawatankuasa Perwakilan Non-Resident (JPNR) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau baru-baru ini melakar kejayaan tersendiri apabila menganjurkan program keusahawanan ‘Pasar Seloka’ dalam usaha melatih dan melahirkan lebih ramai usahawan muda dalam kalangan mahasiswa, khususnya pelajar luar kampus.

Program yang berlangsung meriah di perkarangan bangunan pentadbiran itu bukan sekadar menjadi medan interaksi sosial, malah berfungsi sebagai platform praktikal bagi mahasiswa mengasah bakat pengurusan perniagaan, strategi pemasaran, dan kemahiran komunikasi bersama pelanggan.

Membawa kelainan yang cukup istimewa, Pasar Seloka yang julung kali diadakan ini diserikan dengan elemen sentuhan tradisional yang menggamit memori, sekali gus membezakannya daripada aktiviti jualan kampus yang biasa. Pelbagai gerai jualan dibuka menawarkan makanan, minuman, aksesori wanita, pakaian dan barangan pre-loved.

Suasana ini berjaya menarik perhatian ramai warga kampus, termasuk kakitangan akademik dan pelajar untuk turun padang memberikan sokongan padu. Bagi memeriahkan lagi penganjuran, aktiviti permainan tradisional seperti congkak, batu seremban, dan dam aji turut diadakan sebagai penambah seri program.

Menurut Ketua Projek, Muhammad Hazim Izzat Mohd Sani, program ini direka khas untuk memberi ruang kepada mahasiswa Non-Resident mengeksplorasi potensi diri dalam bidang perniagaan, memandangkan mereka sering berdepan dengan kekangan masa, kewangan dan logistik di luar kampus.

“Pihak JPNR mahu membuktikan bahawa kehidupan pelajar di luar kampus bukanlah penghalang untuk bergiat aktif. Melalui Pasar Seloka, mereka bukan sahaja dapat menjana pendapatan sampingan, malah dapat mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi berkesan, penyelesaian masalah, dan kerja berpasukan yang amat penting bagi mendepani alam pekerjaan kelak,” katanya.

Lebih menarik, program ini turut diperkasakan dengan kehadiran reruai khas pasukan Setel Petronas yang mempromosikan aplikasi Setel kepada warga kampus. Kehadiran rakan industri ini bagi memperkenalkan aplikasi pembayaran digital pintar serta inisiatif bantuan subsidi Kerajaan ‘Budi Madani’ kepada komuniti mahasiswa.

Inisiatif JPNR menawarkan kadar sewaan tapak serendah RM5 memberikan peluang inklusif kepada para usahawan siswa untuk memulakan perniagaan tanpa bebanan modal yang tinggi, sekali gus membuktikan komitmen universiti dalam menyuburkan budaya keusahawanan di peringkat menara gading.

Kejayaan penganjuran Pasar Seloka oleh JPNR UiTM Kampus Rembau ini diharapkan dapat diteruskan sebagai acara wajib pada masa hadapan. Usaha seumpama ini bukan sahaja merintis jalan ke arah melahirkan graduan yang cemerlang dalam bidang akademik, malah melahirkan usahawan muda yang berdaya saing serta bersedia mendepani cabaran ekonomi sebenar.